25 Disember 2008

Kembara Ke Vietnam Bhgn. II

16 Jun 2008

Semakin jauh pesawat kami melintasi kawasan tanah besar, semakin kelihatan banyak sawah-sawah yang menuruti garisan sungai. Di sesetengah tempat, ada petempatan. Saiz dan bentuk sawah di sini unik berbanding dengan yang kita biasa lihat iaitu sawah-sawah di sini meskipun lebarnya kecil namun sawah-sawah memanjang ke belakang. Nampak batas-batas kecil mengelilingi sawah-sawah yang berbentuk unik tersebut.

Semakin lama semakin nampak petempatan semakin padat. Itu adalah tanda kami sedang menghampiri Bandaraya Ho Chi Minh yang dulunya dikenali dengan Saigon. Semakin lama semakin kurang kehijauan sawah-sawah tersebut dan digantikan dengan atap-atap rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang berwarna merah di samping warna dinding yang keputihan ataupun berwarna tanah.

Akhirnya kami sampai ke ruang udara Bandaraya Ho Chi Minh. Sungguh luas bandaraya ini. Memang jauh lebih luas daripada Lembah Kelang! Tidak banyak bangunan-bangunan tinggi di sini melainkan bangunan-bangunan rendah yang bertaburan padat di lembah yang terbentang luas itu.

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City
>
Bandaraya Ho Chi Minh, Viet Nam yang terbentang luas. Dulu dikenali dengan Saigon.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Lagi gambar Bandaraya Ho Chi Minh, Viet Nam yang luas.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Sebatang sungai merentasi Bandaraya Ho Chi Minh, Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pemandangan di pinggir Bandaraya Ho Chi Minh, Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Bandaraya Ho Chi Minh, Viet Nam - sebuah kota yang padat.


Selang beberapa minit, kami pun selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa, Bandaraya Ho Chi Minh. Teruja kumelihat kemajuan Viet Nam sekarang. Nampaknya mereka telah bangkit dari zaman gelap peperangan. Bangunan terminal lapangan terbang di sini kelihatan moden. Sekali imbas, rekabentuknya seakan-akan KLIA. Dindingnya berkaca dan sedikit senget ke luar dari lantai ke bumbung. Ini memberikan rasa ruang yang seakan-akan luas.

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City
>
Terminal baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Tepat jam 10.24 pagi waktu tempatan kami sampai ke terminal. Kelihatan di senarai pesawat terbaru yang sampai adalah pesawat MAS yang kami naiki.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Tempat mengambil bagasi.


Meskipun nampak ramai orang namun pemeriksaan imigresen dan kastam agak efisyen kerana banyak kaunter yang dibuka. Para pegawai di situ juga tidak banyak karenah. Tidak terasa sesak dan berserabut di sini kerana rekabentuk ruangan dalam terminal yang nampak luas. Bumbungnya kelihatan tinggi hasil penggunaan kaca pada dinding yang menutupi ruang terminal itu.

Sebenarnya Bandaraya Ho Chi Minh bukanlah destinasi terakhir kami. Kami harus meneruskan perjalanan ke bandar yang lebih utara iaitu Da Nang, yang terkenal dengan sejarahnya sama ada zaman kerajaan Champa dulu ataupun zaman perang tentera Amerika-Viet Chong dulu. Kami masih ada empat jam sebelum berlepas ke Da Nang. Memang telah dirancang sejak awal lagi, kami mahu menyewa van dan berpusing-pusing di sekitar Ho Chi Minh dulu. Destinasi utama kami ialah pasar Ben Thanh.

Kami keluar dari terminal dan mahu mencari van sewa serta menyimpan bagasi kami yang berat-berat belaka ini. Apabila keluar saja, aku agak terkejut melihat ramainya orang sedang menunggu ataupun para penumpang yang baru sampai. Tidak ada kerjakah mereka ini? Kenapa ramai sangat? Entahlah..

Setelah dapat menyewa van dan meninggalkan bagasi kami, kami dibawa keluar dari kawasan lapangan terbang dan masuk ke jalan utama di Ho Chi Minh. Agak janggal aku melihat pemanduan di sebelah kiri di sini. Ini adalah salah satu tinggalan Amerika di Viet Nam. Sebenarnya Malaysia dan negara-negara jajahan British serta Thailand dan Indonesia sahaja yang memandu di sebelah kanan. Majoriti di dunia ini memandu di sebelah kiri!

Satu lagi keunikan Viet Nam di atas jalanraya ialah berjuta-juta motosikal ditunggang di jalanan. Di mana-mana saja ada motosikal. Di kiri kanan van kami dipenuhi dengan motosikal. Yang menunggu di lampu-lampu isyarat juga penuh dengan penunggang-penunggang motosikal yang berhelmet pelbagai rona dan bentuk itu. Sudah menjadi identiti Viet Nam dengan motosikalnya. Dulu, semasa pertandingan ratu cantik dunia yang juga diadakan di Viet Nam, adegan naik motosikal juga dipertontonkan di pentas.

Banyak sebab kenapa rakyat Viet Nam bermotosikal. Selain daripada baru bangkit daripada perang di mana ekonomi baru saja berkembang, hanya motosikal yang mampu dibeli secara tunai. Di sini kenderaan tidak ada yang boleh dibayar secara ansuran! Jadi dapat menaiki motosikal pun sudah dikira beruntung kerana sudah dapat mengumpul sejumlah wang yang agak besar nilainya untuk membayar harga motosikal secara tunai. Bayangkan kita orang Malaysia pun tidak semua mampu membayar harga motosikal secara tunai. Apalagi memiliki kereta di sini di mana hanya yang berada saja yang mampu membayar secara tunai.

Bagi orang yang tidak mampu membeli motosikal, mereka hanya mengayuh basikal. Namun tidaklah teruk sangat kalau hanya menaiki basikal kerana trafik di sini agak perlahan. Mengayuh basikal pun sama saja kelajuannya dengan menunggang motosikal. Semuanya slow and steady! Awas, bagi yang tidak mahir memandu di sini, anda tidak digalakkan memandu kerana cara pemanduan ataupun penunggangan di sini haru-biru. Bagi yang biasa saja boleh memandu. Bayangkan walaupun lampu isyarat kita hijau, masih ada orang dari arah berlainan hendak mencelah di depan kita yang baru hendak bergerak. Mereka tidak langsung membunyikan honk ataupun memarahi si pemandu tersebut. Mereka malah memberikan laluan. Sungguhpun cara pemanduan agak kacau-bilau, kadar kemalangan jalanraya di sini masih rendah!

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Semua orang naik motor di sini.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Sampai penuh satu laluan hanya dengan motosikal.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Sebahagian berjuta motosikal yang ada di jalan-jalan raya Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Barisan motor yang sedang menunggu di sebuah lampu isyarat di Bandaraya Ho Chi Minh.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Walaupun lampu isyarat kami hijau, sebuah 4WD ini dari arah lain masih mahu melintasi kami. Pun begitu, para pengguna jalan raya masih boleh memberi laluan. Hanya di Viet Nam! Malaysia? @#$%*&*&^&&&#$#%^!


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Aku memang suka gaya 'mamat' ini. Memang cool habis! Memang seronok kalau dapat memakai beg dan helmet itu!


Setelah lebih kurang setengah jam kami melalui jalan-jalan yang agak sibuk namun trafiknya lancar, kami sampai ke pasar Ben Thanh yang terletak di hadapan sebuah bulatan. Masuk saja kami ke pasar itu, kedengaran para peniaga memanggil-manggil kami dalam Bahasa Melayu! Mungkin mereka pernah tinggal ataupun berkerja di Malaysia dan sebab itulah mereka fasih berbahasa Melayu. Kerana biasa dan sudah kenal dengan pemakaian orang Malaysia, apalagi ada di antara kami yang bertudung, mereka sudah pasti bahawa kami dari Malaysia.

“Abang, kakak, cantik, cantik! Murah, murah!”

Mereka memanggil kami dengan Bahasa Melayu ke kedai-kedai mereka. Di sini, banyak barang dijual. Antaranya kraftangan, pakaian, kain dan juga makanan. Di mula-mula pintu utama tadi ada dijual lukisan sulam. Jalan di depan sedikit ada dijual kraftangan dan cenderahati. Masuk ke dalam lagi ada pakaian-pakaian dan kain-kain. Di depan kedai-kedai, duduk kebanyakannya para wanita menjaga kedai mereka. Kadang-kadang bangun apabila para pelanggan mendekati mereka. Yang tiada pelanggan, memanggil-manggil pelawat-pelawat yang tidak tahu hendak membeli apa.

Di sini juga barang-barang murah-murah belaka dibandingkan dengan tempat kita. Maka tidak hairan di sini merupakan tempat berborong orang-orang Malaysia. Kuternampak dua orang wanita Malaysia sedang memborong kain-kain untuk majlis perkahwinan.

Para rombongan wanita kami sudah tentu mencari kain-kain dan cadar bersulam. Yang lelaki pula mencari beg laptop. Semasa ditanya sama ada beg itu adalah yang asli, seorang pekedai menjawab,

"Same, same, like original.."

Hi hi.. terjawab sudah.. Namun kualitinya agak baik dan kalau dilihat, tidak ubah seperti yang asli. Aku pula terpaksa mengikuti rombongan "makcik-makcik" itu kerana ada pesanan untuk dibeli. Aku membeli cadar sulam. Hendak kubeli lukisan sulam namun agak mahal harganya.

Untuk urusan pembelian di Vietnam, selain matawang Dong, Dolar Amerika juga diterima. Yang paling kecil denominasinya adalah satu Dolar. Kalau wang baliknya kurang daripada itu, akan diberikan dalam Dong.

Setelah puas membeli-belah di pasar Ben Thanh, kami pulang semula ke lapangan terbang untuk meneruskan perjalanan ke Da Nang.

bersambung..

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Salah satu pintu masuk di Pasar Ben Thanh, Bandaraya Ho Chi Minh.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Kedai lukisan di Pasar Ben Thanh, Bandaraya Ho Chi Minh. Banyak lukisan di sini dibuat dengan sulaman tangan, bukan dengan cat.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Diagram Pasar Ben Thanh, Bandaraya Ho Chi Minh. Bermacam-macam barangan dijual di sini.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Bahagian pakaian di Pasar Ben Thanh, Bandaraya Ho Chi Minh.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Bahagian kraftangan di Pasar Ben Thanh, Bandaraya Ho Chi Minh.


Entri terdahulu:
Kembara ke Vietnam Bhgn. I

Tiada ulasan: