13 April 2008

Impossible Is Nothing

Berikut adalah iklan-iklan Adidas dengan motonya, Impossible Is Nothing. Kutemui iklan ini sungguh menarik kerana memaparkan kartun-kartun pemain bola sepak ternama.


Tiga 'ekor' kartun, Steven Gerrard, Kaka dan Lionel Messi dengan fantasi mereka bermain bola sepak di dalam kotak kasut. Sungguhpun kita tidak memahami Bahasa Portugis dan Bahasa Sepanyol yang dipertuturkan Kaka dan Messi, animasi kartun ini cukup menceritakan segalanya.


Video penceritaan Lionel Messi tentang tumbesarannya yang terbantut. Pun begitu, itu adalah satu keistimewaan buatnya kerana saiz yang kecil membantunya menggelecek lawan dengan penuh licik.



Kisah David Beckham yang tertekan dan diugut bunuh kerana sikap petualangnya yang dibuang padang ketika menentang Argentina di Piala Dunia 1998 di Perancis. Walau bagaimanapun, dia kembali ke puncak setelah dijulang sebagai wira kerana membantu England layak ke Piala Dunia 2002 dengan sepakan lencong tersohornya yang menerjah gawang.


Ini video berkaitan, kisah pasukan cilik St. Margarets yang sering dibelasah teruk setiap kali perlawanan, termasuklah kalah 20-0. Apabila mereka berjaya menjaringkan satu gol walaupun kalah, betapa gembiranya mereka kerana gol itu sungguh bernilai dan bermakna.

07 April 2008

Kerajaan Atau Pemerintah?

Eh, mana satu yang betul ini? Kerajaan atau pemerintah? Kerajaan merujuk kepada negara yang mempunyai raja atau sultan. Manakala pemerintah pula merujuk kepada negara yang tidak mempunyai sistem monarki ataupun dalam erti kata lain, pemerintah terkait dengan sesebuah republik.

Di Malaysia, government selalunya diterjemah kepada 'kerajaan'. Hal ini terjadi kerana Malaysia sudah sinonim dengan pemerintahan raja berperlembagaan di mana sembilan sultan bergilir-gilir menjadi Yang Dipertuan Agong untuk tempoh lima tahun setiap sultan.

Kendatipun begitu, ada beberapa keadaan di mana istilah kerajaan tidak digunakan secara tepat. Menyebut beberapa contoh, antaranya kerajaan Indonesia ataupun kerajaan Singapura adalah salah. Di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Jelatek, ada papan iklan tertulis kerajaan Swiss. Sudahlah istilah kerajaan salah, istilah Swiss pun juga salah. Kalau melayari sesetengah laman, tertera iklan Kad Hijau Amerika Syarikat yang ditulis kerajaan Amerika.

Kesemua contoh di atas sepatutnya digunakan istilah pemerintah. Tidak pernah wujud kerajaan Indonesia, yang pernah ada hanyalah kerajaan Srivijaya, Majapahit ataupun Aceh. Switzerland adalah republik manakala Amerika Syarikat diketahui bahawa presiden yang menerajui negara itu.

Istilah kerajaan Malaysia, kerajaan Thai, kerajaan Brunei, kerajaan Arab Saudi ataupun kerajaan Britain kesemuanya adalah betul kerana negara-negara ini diketuai oleh raja atau sultan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...