26 Ogos 2008

Alahai Nasi Ayam Mak Saya...

Terasa macam tidak berbaloi dan tertipu pula setelah makan di restoran milik Linda Onn, My Mom's Chicken Rice (MMCR). Dengan harga premium untuk Nasi Ayam, apa yang disediakan rasanya tidak menepati harganya. Bayangkan makan Nasi Ayam, salad yang disediakan hanyalah sekeping hirisan tomato dan timun pahit... Terlalu ringkas juadahnya. Nasib baik sambalnya sedap.

Aku juga memesan Tauhu Bakar. Huh, memang tertipu! Kepingan tauhu yang entah baru dibakar atau tidak, ditaburi dengan tauge keras dan kuah kacang campur kicap pedas yang cair. Kalau semasa aku tinggal di Johor Bahru dulu, tempat asal Linda Onn, restoran ini sudah lama tak laku dan bungkus tikar sajalah kerana banyak lagi Tauhu Bakar yang lebih sedap dijual di sana...

Kalau dengan harga sebegitu, baik saja pergi makan Nasi Ayam di Chicken Rice. Lebih sedap, lebih banyak pilihan. Kalau tak pun, pergi saja ke gerai Nasi Ayam Pak Mal di Shah Alam. Lebih murah lebih sedap. Boleh beli tiga dengan harga MMCR.

p/s: satu lagi gerai makanan yang bakal masuk dalam Ban List aku ialah Ayam Dara. Tadi pergi dia kata bermula hari ini, dah naik 50 sen daripada RM5. Jadinya naik lagi ke RM5.50. Dulu RM4.50 saja. Aku buat pekak saja bila pakcik penjual itu membebel memberikan alasan kenaikan Ayam Daranya.. Beras dah turun, diesel dah turun, dia pulak yang naik..

25 Ogos 2008

Datuk Itu Atau Datukku?

Mutakhir ini, semua orang dapat gelaran datuk. Yang dapat cucu itu tidak mengapalah tetapi yang mendapat gelaran Datuk daripada Sultan-sultan ataupun Yang Dipertua Negeri yang ingin kuperkatakan.

Mudah sangat sekarang ini untuk seseorang mendapat gelaran Datuk. Dulu, tidak ramai yang dapat dan apabila kita bertemu seseorang dengan gelaran Datuk, wujud rasa hormat dan mungkin rasa segan. Namun apabila terlalu ramai Datuk, adakah gelaran itu sesuatu yang eksklusif?

Yang muda-muda sekarang sudah mendapat Datuk, tidak seperti dulu-dulu apabila hanya yang dah berumur dan sudah banyak berbakti boleh mendapat gelaran Datuk. Lee Chong Wei dikhabarkan akan mendapat gelaran Datuk dan Misbun Sidek juga akan mendapat Datuk. Bukan kuasaku menentukan seseorang untuk mendapat Datuk, namun apakah kesannya jika terlalu mudah untuk seseorang mendapat gelaran Datuk. Jika hanya menang pingat perak Olimpik sudah mendapat Datuk, maka ramai lagilah dengan mudah mendapat Datuk.

Fikirku Nicol David juga terlalu muda untuk mendapat Datuk. Lihat saja arwah Tan Sri P Ramlee. Anugerah yang diterimanya diberikan sesudah beliau tiada lagi di dunia ini. Dulu, bukan mudah untuk mendapat gelaran. Kini, berapa banyak artis yang bergelaran Datuk.

Memang kuhormati dan kusanjung Sultan-sultan yang mahukan pemberian gelaran ini dibataskan. Sesuatu harus dilakukan supaya seseorang yang mendapat gelaran itu terasa nilai gelaran itu. Jangan jadi seperti Datuk Harry Lee @ Lee Kuan Yew yang langsung tidak peduli gelaran dikurniakan Sultan Johor itu kerana tiada nilainya di tempatnya.

Mungkin hanya para Sultan patut diberikan kuasa mengurniakan gelaran Datuk. Yang Dipertua Negeri yang terdiri daripada kalangan orang biasa pula dikurangkan atau ditiadakan langsung kuasa pengurniaan gelaran Datuk. Lihat sahaja Yang Dipertua Negeri Melaka dulu. Terlalu panjang senarai penerima gelaran Datuk...

Ampun maaf. Patik hanya meluahkan apa yang tersirat di hati..

19 Ogos 2008

Satu Emas Satu Juta Yang Maha Berat

Lee Chong Wei berkata dia adalah underdog sebelum perlawanan akhir yang juga penentuan pingat emas acara perseorangan lelaki badminton Olimpik Beijing 2008. Ini kerana dia adalah pilihan kedua berbanding Lin Dan yang diletakkan sebagai pilihan pertama.

Namun hakikatnya di bahu Chong Wei tergantung harapan 27 juta rakyat Malaysia supaya emas pertama menjelma. Habuannya, satu juta Ringgit telah dijanjikan kerajaan Malaysia. Lin Dan pula sekadar mahu menambah sudah beberapa emas yang dirangkul China.

Jadi siapa yang underdog di sini? Pastinya Chong Wei. Beliau biasanya tenang menghadapi tekanan namun serba tak menjadi hari itu. Entah apa yang berlaku.

Atlet-atlet Malaysia memang hebat dari segi kekuatan dan kemahiran fizikal namun tidak kuat dari segi mental. Mungkin cara kita dilatih, cara kita berfikir di sini. Orang lain punya mental yang kuat. Bila kita ketinggalan kita tak punya semangat melawan lagi. Semuanya senyap termasuklah penonton yang sepatutnya membakar semangat atlet.

Dulu apabila Malaysia ketinggalan dengan Indonesia 3-0 dalam satu perlawanan bolasepak, seluruh penonton Malaysia diam membisu. Yang kedengaran Mat-Mat Indon yang bersorak gembira. Akhir-akhir, penonton pula yang bergaduh. Jadilah seperti penyokong Liverpool, walaupun ketinggalan 3-0, mereka masih boleh percaya pasukan mereka masih boleh menang. Di akhir perlawanan, keadaan telah terbalik apabila Liverpool menang ke atas AC Milan dalam perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah.

17 Ogos 2008

9.69s - Usain Bolt Pecahkan Rekod Dunia 100m



"Saya datang ke sini bukan untuk memecahkan rekod kerana saya sudah pun pemegang rekod dunia. Saya datang ke sini kerana untuk menang", kata jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt setelah menang pingat emas acara 100 meter Olimpik Beijing 2008 dengan catatan terpantas di atas trek, 9.69 saat.

Bayangkan jika beliau tidak mendepakan tangannya, tidak mendabik dadanya meraikan kemenangan meskipun belum menghabiskan perlumbaan atau tidak menoleh ke tepi melihatkan langsung tiada pencabar di sisinya, pastinya rekod baru dunia lebih baik dan lebih pantas. Fikirku, 9.50s adalah sesuatu yang amat senang buat Usain.

Usain Bolt adalah satu fenomena baru dalam percaturan manusia paling pantas di atas muka bumi. Dengan ketinggian 6 kaki 5 inci, langkah kaki beliau yang lebih besar dan lebih pantas daripada pelari-pelari pecut yang lain, dia pastinya terkehadapan di akhir permulaan walaupun lembab berlepas dari blok permulaan. Beliau memerlukan 41 langkah untuk menghabiskan 100 meter, anda pula berapa langkah?!

Lihat rekod-rekod dunia 100 meter di sini.

08 Ogos 2008

Olimpik Beijing 2008















Er ling ling ba Beijing ao yun kai mu. Beijing huanying ni.
(Sukan Olimpik Beijing 2008 bermula. Beijing mengalu-alukan kedatangan anda.)

Gui yi! Gui yi! Memang hebat Sukan Olimpik kali ini dimulakan di Beijing. Persiapan bertahun-tahun, banyak sudah perbelanjaan dicurahkan, memang tampak gah sekali acara pembukaan kali ini.

Nampaknya China telah menunjukkan taring mereka kepada dunia khususnya dunia Barat tentang kuasa mereka yang telah dilupakan. Dengan sejarah merangkumi lebih 5000 tahun, mereka telah memberi sumbangan besar kepada peradaban dunia dengan ciptaan yang menabjubkan yang sebelum ini seolah-olah hanya Barat yang mampu. (Dunia Islam juga tidak kurang sumbangannya.)

Berasaskan ciptaan kertas, persembahan bermula dari selembar kertas gergasi yang menceritakan segala-galanya. Amat teruja melihat kemahiran para penari melukis di kanvas gergasi itu sambil menari. Satu idea yang cerdik juga membiarkan ribuan tapak kaki atlet mewarnakan kanvas itu secara tidak sengaja.

Kemasyhuran Laluan Sutera sama ada laluan darat dan laut juga dipertontonkan. Kehehatan Laksamana Zheng He atau kita lebih kenali sebagai Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam menjelajah dunia juga dingati kembali.

Pastinya inilah penyertaan teramai untuk acara pembukaan. Beribu orang menyertai acara persembahan dan jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan satu bilion lebih rakyat China. Pastinya mereka ini adalah yang terpilih, bukan sembarangan. Cream of the Chinese.

Malang buat Brunei apabila ditolak penyertaan mereka kali ini kerana lewat mendaftar atlet mereka.

Apa-apa pun China berjaya memukau mata dunia tatkala ada kontroversi mencalar proses penganjuran Olimpik kali ini seperti layanan paling buruk ke atas penduduk Tibet dan provokasi terhadap penduduk Islam China. Pastinya dunia Barat yang bencikan Islam mengambil kesempatan mengacau keamanan masyarakat Islam China. Mereka sudah beribu tahun hidup aman damai, penuh toleransi dengan yang lain, mengapa dituduh sebagai pelampau atau ekstrimis?

Di sebalik kegembiraan, penonton pastinya tersentuh apabila mangsa-mangsa gempa bumi Szechuan diingati. Seorang budak kecil yang menyelamatkan nyama dua orang telah diberi penghargaan untuk sama-sama membawa bendera Zhong Guo atau China dengan bintang bola keranjang, Yao Ming semasa perarakan masuk kontinjen China.

Satu Dunia, Satu Impian!









Kredit gambar-gambar: Laman rasmi Olimpik Beijing 2008 dan Boston.com

Entri berkaitan:
Tuntutlah Ilmu Walau ke Negeri China
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...