28 September 2008

Terawih Lapan Atau Dua Puluh?

Seringkali bercakap tentang sembahyang terawih di bulan Ramadan ini, kita bertanyakan berapa rakaat sembahyang yang dibuat. Tidak kurang juga yang bertanyakan pukul berapa sembahyang habis. Yang habis cepat itulah yang mahu disertai bersama. Pengalamanku di Ramadan ini pula, aku telah melalui pelbagai agenda bersolat terawih ini.

Di awal Ramadan, aku telah bersembahyang di salah sebuah sebuah IPT di Pantai Timur. Rakaatnya bukan main lama kerana seorang hafiz yang mengimami solat. Terasa keras dan tegang betis-betisku ini. Walaupun hanya membuat lapan rakaat, jangka masanya lama seolah-olah 20 rakaat. Pukul 10.30 baru habis. Setelah habis lapan rakaat, diadakan pula tazkirah sebelum diakhiri dengan solat sunat witir.

Di masjid USJ Taipan pula, saban tahun berduyun-duyun jemaah tidak lupa menyertai solat terawih di situ sehinggakan beribu Ringgit mampu dikumpul setiap malam. (Aku pula terfikir kalau mahu kuderma, baik kusalurkan saja ke masjid-masjid lain yang lebih daif..) Bacaannya panjang namun mengasyikkan. Aku pula setelah sepetang memandu jauh, tidak mampu kuhabiskan 20 rakaat di sana. Lapan sudah cukup melenguhkan kaki. Bagi budak-budak muda yang tidak tahan, 6 rakaat sudah keluar.

Di sebuah surau di Wangsa Maju, sembahyang terawihnya agak lambat habis. Pukul 11.00 malam baru selesai. Sembahyang Isyak dimulakan agak lambat dan diteruskan dengan tazkirah sebelum sembahyang terawih bermula.
Di masjid berhampiran rumahku pula. Bacaannya biasa saja. Jam 9.30 sudah habis lapan, 10.30 habislah 2o rakaat. Kalau di rumah lama, seusai lapan rakaat, diadakan tazkirah oleh ustaz jemputan. Pun begitu, jangka masanya tidak lama kerana bacaannya sederhana saja.

Apa-apapun, bersembahyang lapan ataupun 20, itu bukanlah isu yang besar kerana junjungan Rasulullah SAW pernah melakukan kedua-duanya. Pergi ke masjid-masjid atau surau-surau untuk bersembahyang adalah lebih baik daripada duduk di rumah menonton TV ataupun menghabiskan masa ke pusat membeli belah membeli barangan persiapan raya yang melebihi keperluan. Apalagi, di malam-malam sepuluh terakhir ini, marilah kita gandakan amal ibadah kerana Ramadan tahun depan belum tentu lagi kita dapat merasainya. Teringat Mat-Mat Bangla mengaji Al-Quran di bangku sebuah taman di Pekan Nenas, Johor tatkala masa rehat tengah hari…

24 September 2008

Ku Dan Mu

Akhir-akhir ini sering kelihatan kesilapan ejaan ‘ku’ dan ‘mu’ (kependekan untuk aku dan kau/kamu). Kalau menonton Astro Ria, ada sebuah rancangan yang dinamakan Pandangan Ku Cerita Ku. Ejaan ini salah kerana ‘ku’ sepatutnya dirapatkan dengan perkataan sebelumnya iaitu Pandanganku Ceritaku. Begitu juga kalau ‘ku’ dan ‘mu’ berada di depan kata kerja. Contohnya ‘kuharapkan’, bukannya ‘ku harapkan’.

Dalam rancangan Jangan Lupa Lirik di Astro Ria juga, ‘ku’ dan ‘mu’ yang ada dalam lirik lagu juga dijauhkan. Namun akhir-akhir ini, ejaannya telah diperbetulkan. Kalau dulu ‘ku harapkan’ adalah dua patah kata, manakala sekarang pula dah menjadi satu perkataan iaitu ‘kuharapkan’. Lebih senang buat para peserta kerana tidak perlu banyak perkataan untuk diingati tetapi mungkin mengelirukan kerana seringkali ramai orang fikir itu adalah dua perkataan…

20 September 2008

Antara Makan Pakai Tangan Dengan Makan Pakai Sudu

Jikalau kita makan dengan menggunakan tangan di tempat-tempat makan eksklusif seperti di restoran-restoran besar ataupun hotel-hotel, seringkali kita merasa malu. Kelihatannya agak kolot dan tidak tahu menjaga adab makan. Namun, adakah pendapat sebegini benar?

Bukankah menggunakan tangan merupakan adat ataupun lebih tepat lagi kemahiran turun-temurun kita? Adakah salah jika menggunakan tangan semasa makan sekeluarga di kampung?

Yang mula-mula mempelopori ‘adab’ makan ini adalah orang-orang Barat. Mereka mencipta tatasusila menghadap makanan berasaskan budaya mereka. Tangan mana harus memegang sudu, tangan mana mesti memegang garfu ataupun pisau. Sudu untuk menikmati makanan berlainan juga tidak sama dan malah ada makanan yang tidak boleh dimakan dengan menggunakan sudu dan garfu.

Semasa zaman penjajahan dan setelah mereka sudah mula-mula maju ke depan berbanding tamadun lain, mereka menyebarkan cara pemakanan mereka ini ke serata dunia. Kita pula bulat-bulat menerima apa yang mereka ajar dan apa cara berlainan termasuk budaya kita sendiri dianggap sebagai tidak sesuai dan kolot. Mudahnya kita dipengaruhi orang.

Kalau diamati cara-cara pemakanan, orang-orang yang tinggal di kawasan sejuk tidak makan dengan menggunakan tangan. Mereka menggunakan alat-alat tertentu untuk menyuap makanan ke mulut mereka. Manakala orang yang tinggal di kawasan panas berhampiran Khatulistiwa, mereka secara tradisi makan dengan menggunakan tangan.

Orang-orang Barat makan dengan menggunakan sudu dan garfu. Orang-orang Asia Utara termasuklah China, Jepun, Korea dan Mongolia makan dengan menggunakan chop stick. Mengapa? Orang-orang yang tinggal di kawasan sejuk harus makan makanan panas untuk memanaskan badan. Jadi, mereka tidak boleh menggunakan tangan. Sebaliknya sesuatu alat mesti digunakan untuk mengambil makanan yang masih panas dan disuap ke mulut.

Orang-orang yang tinggal di kawasan panas seperti Asia Tenggara, Asia Selatan ataupun Timur Tengah pula tidak perlu memakan makanan panas kerana keadaan sekeliling sudahpun panas. Mereka boleh membiarkan makanan itu agak suam dahulu dan makan dengan menggunakan tangan mereka sendiri.

Jadi, cara pemakanan ini terevolusi dari keadaan sekeliling dan budaya setempat. Masing-masing punya cara tersendiri. Mengapa pula perlu merasa malu jika kita menggunakan tangan jika makan di khalayak ramai? Mungkin ada yang menyentuh bab kebersihan namun bukankah tangan boleh dibasuh? Ahli sains telah membuat kajian yang tangan kita merembeskan sejenis enzim yang dapat membantu penghadaman ketika kita makan menggunakan tangan. Makan dengan tangan juga merupakan satu kemahiran yang tidak semua orang tahu, sama seperti menggunakan sudu ataupun chop stick.

Kalau orang Jepun bangga dengan makan di meja teh dan duduk di atas lantai, adakah kita mahu mempelopori cara makan sambil bersila ataupun bersimpuh dan duduk di atas tikar mengkuang? Kalau ada yang membantah menggunakan tangan, suruh saja mereka itu cuba menggunakan tangan. Ini satu kemahiran, adakah mereka boleh juga? Kenapa kita tidak dapat menjalankan hak kita?!

14 September 2008

Hari Puttar Atau Harry Potter?

Sebuah pembikin filem di India, Mirchi Movies telah diarahkan mahkamah supaya ditunda tayangan sebuah filemnya kerana nama filem itu mirip filem terkenal Harry Potter. Pengeluar Harry Potter, Warner Bros telah menyaman pihak yang mengeluarkan filem Hari Puttar kerana tajuk filem itu mengelirukan.

Namun, menurut Mirchi Movies, filemnya tidak ada kena mengena dengan filem Harry Potter. Hari merupakan satu nama yang popular di Indian dan Puttar pula bermaksud anak lelaki di dalam Bahasa Hindi dan Punjabi.

Filem itu berkisar tentang cerita seorang budak berusia 10 tahun berpindah ke England dengan keluarganya dan terlibat dalam sebuah rancangan menyelamatkan dunia.

Macam-macam...

Sumber: bbc

13 September 2008

Dua Hari Jadi Setahun?

Semalam semasa memandu di MRR2 Ampang, kuterlihat papan iklan Hotlink tertera "Dua hari jadi setahun. Seronok kan?"

Sekali imbas, macam lain maksudnya. Dua hari jadi setahun (Two days become a year); tentu tak seronok. Bayangkan betapa bosannya jika menunggu selama dua hari yang seolah-olah lamanya macam setahun.

Namun maksud sebenar adalah dua hari lahir setahun (two birthdays a year). Ini merupakan salah satu kempen Hotlink untuk menghargai para pelanggannya.

Pun begitu, dilihat pada yang mula-mula itu, kalau bersama orang tersayang ataupun bercuti di tempat peranginan idaman ataupun dapat meminjam sebuah kereta mewah kawan, tentu seronok bukan?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...