27 November 2008

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) - Perkembangan Terkini



Kalau dulu, sudah diulas tentang permulaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa II dari Jabor ke Kuala Terengganu, kali ini pula akan diulas tentang perkembangan terkini LPT.

Entri terdahulu:
Pantai Timur dan LPT Bhgn I
Pantai Timur dan LPT Bhgn II

Kubertemu sebuah laman web Jabatan Kerja Raya (JKR) tentang LPT Fasa II. Informasi di sini cukup lengkap berbanding maklumat terdahulu dari laman web kerajaan negeri Terengganu.

Paling menarik ialah tentang rekabentuk kawasan-kawasan rehat yang bakal didirikan di Perasing, Paka dan Ajil serta hentian-hentian sebelah di Kijal dan Bukit Besi (gambar di atas).

Ada juga dikemaskini gambar-gambar terkini pembinaan lebuhraya tersebut dan peta setiap pakej yang sedang disiapkan. Klik jaringan di bawah untuk maklumat lanjut.

Laman web rasmi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2


Sumber gambar: laman web rasmi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2

25 November 2008

Papan Tanda Pelbagai Bahasa Atau...?

Mutakhir ini banyak pihak memperkatakan isu yang asalnya remeh-temeh. Namun, isu ini seakan-akan implikasinya besar. Papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang telah menimbulkan banyak polemik. Sebenarnya isu ini sangat berkait dengan politik.

Ketika menonton berita Menteri Pelancongan menempelak YB Kota Melaka, menteri itu nampaknya telah keluar daripada kebiasaannya. Beliau nampak lebih rasional kali ini berbanding kebiasaannya apabila YB daripada kerajaan nampak sangat lemah hujahnya. YB Ketua Puteri Umno misalnya sangat marah apabila diajukan soalan yang agak 'mencabar' daripada YB pembangkang. Beliau amat emosional dalam menjawab soalan dan akhirnya memberi jawapan klise seperti Bos Besarnya seperti "Kita sentiasa bekerja kuat..."

YB Menteri Pelancongan dalam menjawab soalan adakah Jonker Walk di Melaka juga akan diletakkan papan tanda pelbagai bahasa seperti di Kawasan Warisan George Town di Pulau Pinang telah memberikan hujah yang lebih baik daripada kebiasaannya. Kata beliau, amatlah cetek pemikiran apabila semua nama tempat mahu diterjemahkan semata-mata untuk menarik perhatian para pelancong. Pelancong tidak berminat misalnya jika Jalan Alor di KL diterjemahkan ke Bahasa Cina, Tamil atau Arab. Kekalkan nama asal yang telah pun dikenali dan yang paling penting, penerangan tentang latarbelakang ataupun sejarah tentang nama jalan itu yang perlu diterjemahkan untuk memudahkan para pelancong memahaminya.

Tanya diri kita sebagai seorang pelancong, adakah kita akan ke tempat tertentu jika nama tempat itu diterjemah ke bahasa kita? Tentu sekali tidak. Takkan mahu ke tempat orang mahu nama tempat itu di dalam bahasa kita.

Sebenarnya isu ini hanyalah satu alasan untuk kepentingan yang lain. Dulu ADUN Bukit Mertajam mahukan papan tanda pelbagai bahasa dinaikkan di kawasan tersebut supaya memudahkan penduduk pelbagai bangsa memahaminya. Alasan yang diberikan itu ditolak termasuk oleh para ahli akademik. Pelik, sudah berpuluh tahun merdeka, masih adakah lagi rakyat Malaysia tidak memahami Bahasa Malaysia? Tidak pergi sekolahkah?

Selepas kalah dalam PRU Mac lalu, Gerakan seperti orang gila talak cuba mengingatkan DAP yang kini memerintah supaya menaikkan papan tanda bertulisan Cina di Pulau Pinang. Hendak tergelak pun ada. Kenapa dah bertahun memerintah tidak dinaikkan saja? 'Takut' dengan UMNO? Inilah orang tidak berprinsip dan melakukan sesuatu demi kepentingan.

Sebenarnya alasan untuk pelancong hanyalah satu alasan. Mungkin ada para chauvinist yang hanya mahu menjadi pejuang kelompok sendiri? Semuanya mahukan terus berada dalam kelompok sendiri, hidup dalam dunia sendiri dan tidak mahu bercampur dengan kelompok yang lain?

Adakah mereka menolak penggunaan bahasa kebangsaan? Kalau benar, maka tidak hairan ada yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan. Ada yang memilih untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris apabila bercakap dengan bangsa lain di Malaysia. Macam pelancong asing pula.

Kerajaan Pulau Pinang pula dalam mengimbangi desakan para pengundi mereka dan kepentingan bahasa kebangsaan memilih untuk mempelbagaikan bahasa mengikut sejarah sesuatu jalan. Kawasan Arab ada tulisan Arab, kawasan India ada tulisan Tamil dan kawasan Cina ada tulisan Cina. Bahasa kebangsaan dikekal di atas dengan tulisan lebih besar dan bahasa kedua berada di bawah dengan tulisan yang lebih kecil.

20 November 2008

Berakhirnya The Amazing Race Asia 2008

Berakhir sudah. Tahniah kepada Sam and Vince kerana memenangi The Amazing Race Asia. Sungguh senang melihat mereka menang. Bagiku, mereka adalah pasukan 'neutral' dan mereka memang berhak menang.

Sebenarnya sepanjang perlumbaan, semestinya aku dari Malaysia, aku menyokong pasukan-pasukan dari Malaysia - Ida & Tania dan Henry & Bernie. Pun begitu, aku memilih menyokong Ida & Tania. Entahlah, mungkin perwatakan ceria dan gila-gila mereka yang menarik perhatianku. Di dalam perlumbaan terakhir itu, aku memang berharap Ida dan Tania dapat memenangi perlumbaan. Walau bagaimanapn, nasib tidak menyebelahi mereka. Terperangkap di dalam pasir gurun dan terlepas penerbangan memang sesuatu yang mahal yang harus dibayar.

Semenjak beberapa episod terakhir, secara peribadi aku memang benci pasangan dari Filipina itu, Geoff dan Tisha. Geoff sungguh berlagak dan tiada semangat kesukanan. Seringkali berada di hadapan, dia memang penuh dengan sikap besar diri dan terlalu yakin. Mereka adalah satu-satunya pasukan yang membuli pasukan-pasukan lain. Di dalam satu episod, mereka membuatkan Henry & Bernie terpaksa menunggu lama. Di dalam episod yang lain, mereka telah membuatkan pasangan paling tenang, AD & Fuzzie membuat pusingan U. Jikalau aku di tempat mereka, disebabkan penat dan tertekan, mungkin aku sudah menumbuk muka Geoff. Selamat, mereka tak menang! Aku sebenarnya kagum dengan pasangan AD & Fuzzie yang mampu pergi sejauh itu sungguhpun mereka adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah berlari!

Ingin kuberikan beberapa komen berkenaan beberapa kesalahan yang dilakukan para peserta semasa perlumbaan terakhir itu. Semasa aktiviti di padang pasir di mana peserta mesti menarik unta-unta masuk ke dalam kandang, Vince telah melakukan satu kesilapan. 'Shuh' adalah bahasa sejagat antara manusia dan haiwan yang bermaksud untuk menghalau atau 'pergi'! Bila dia berkata 'shuh', itu bermaksud seoalah-olah dia mahu menghalau unta-unta itu walaupun di tangannya dia masih memegang tali unta tersebut. Oleh kerana itulah kita dapat melihat unta-unta seperti mahu melarikan diri.

Kesilapan terakhir yang terbukti amat berharga nilainya terhadap pasangan Filipina ialah tidak menggunakan tenaga yang seimbang semasa berkanu. Para pendayung biasanya mendayung di satu sisi dan diikuti dengan sisi yang lain. Jika bermula di sebelah kanan, diikuti pula dengan sebelah kiri. Mereka bagaimanapun tidak mengikut cara ini dan berdayung di dalam satu bulatan adalah kesilapan biasa seseorang yang baru atau tidak berpengalaman lakukan. Terlalu banyak tenaga dikenakan di satu sisi, umpamanya orang tangan kanan mengenakan terlalu banyak tenaga di sebelah kanan tetapi kurang di sebelah kiri, juga boleh menyebabkan kanu berpusing.

Walau bagaimanapun, perlumbaan telah berakhir. Tahniah kepada semua peserta kerana mendapat pengalaman yang sangat berharga dan sudah tentu dapat melancong ke beberapa negara secara percuma. Harap dapat melihat satu perlumbaan yang lebih mencabar tahun depan!

19 November 2008

Dia Kata Tak Betul Tapi...

Aku ini memang tak suka Tun Mahathir tetapi masih menyanjungi akal tajamnya. Selalu juga membaca blog beliau. Berikut adalah salah satu petikan entri beliau:

Truly Malaysian politics have not been decoupled from racial sentiments and loyalties. And it is going to remain so for as long as the different races prefer to be separated and divided, prefer to strongly uphold their languages, cultures and their historical origins and links. All that is said about reforms and liberalism is mere lip service.

Inilah realiti Malaysia. Bercakap tentang perpaduan kaum namun sejak kecil anak-anak dihantar ke sekolah berbeza. Setiap kaum duduk dalam kelompok masing-masing. Bercakap dalam bahasa masing-masing. Sekarang diparahkan lagi dengan stesen TV berbayar Astro yang menawarkan rangkaian dalam bahasa masing-masing. Tepat jam 8 malam, semua rangkaian berlumba-lumba menyiarkan berita dalam bahasa masing-masing. Macam mana hendak bersatu? Nak bercakap antara satu sama lain dalam satu bahasa common pun susah.

Ada yang bercakap tentang reformasi pendidikan. Mahukan Bahasa Inggeris kembali menjadi bahasa pengantar. Alasannya bahasa neutral. Adakah neutral di sini menggambarkan penolakan terhadap bahasa kebangsaan? Menggunakan bahasa kebangsaan seolah-olah tunduk kepada Melayu? Sesetengah memanggil sekolah kebangsaan sebagai Malay school, SJKC sebagai Chinese school dan SJKT sebagai Indian school. Inilah realiti.

Apa yang kulihat pengelempokan kaum sangat terserlah di Pantai Barat Semenanjung dan Sarawak. Nampaknya dasar pecah dan perintah Inggeris berterusan hingga ke hari ini. Kecuali Sabah, Pantai Timur dan Utara Kedah/Perlis, nampak ada interaksi antara kaum. Atau lebih tepat di bandar-bandar besar, interaksi antara kaum sangat kurang berbanding di kampung-kampung.

Satu bangsa dipersalahkan kerana rasis. Yang menjadi mangsa rasis itu terus bersikap rasis memandang rendah yang dikatakan rasis itu. Akhirnya tiada kesudahan. Tiada bangsa di dunia ini yang lebih bijak daripada bangsa yang lain. Bukan tiada bangsa yang paling kaya di Malaysia itu bodoh. Bukan tiada bangsa yang paling ramai itu bijak. Bukan tiada bangsa paling gelap itu kaya. Jadi, mengklasifikasikan kaum dengan kebijaksanaan adalah salah.

Hidup mesti diteruskan. Rakyat Malaysia selesa hidup seperti hari ini. Mustahil ini bakal berubah semudah dan secepat itu. Ini bukan Amerika di mana orang yang sepatutnya separuh putih dan separuh hitam menjadi 100% hitam menjadi Presiden. Perdana Menteri Malaysia adalah Melayu, Perdana Menteri Singapura adalah Cina dan Presiden Indonesia adalah Jawa (marah orang Indonesia ni... jangan ganyang aku...). Apapun alasan diberikan, itu adalah sindrom penafian. Majority rule...

17 November 2008

Apabila Pemimpin Sudah Lemah...

Dia lemah sekarang. Jarang nampak muka dia bercakap berapi-api dan ditepuk pula oleh para pengampu. Dia sudah tidak berdaya. Dia tak mampu berbuat apa-apa. Dia juga tidak mampu berfikir.

Kalau kebiasaannya waktu hendak menyambut kemerdekaan, seluruh lapisan rakyat diseru untuk mengibarkan panji negara. Tahun lepas dia buat gila menghabiskan duit rakyat mengubahsuai Stadium Merdeka kembali ke rekabentuk asal 1957 untuknya berteriak merdeka. Malang tidak berbau, dia terbatuk-batuk sewaktu mengucapkan kalimah merdeka. Tahun ini dia dan orang-orangnya lebih sibuk untuk membidas para lawannya dan ada yang bersumpah untuk menjadi laknatullah. Nauzubillah, dunia sudah mahu kiamat. Tiada lagi sambutan merdeka.

Tatkala orang menyambut Ramadan dan seterusnya menyambut kedatangan Syawal, tiada langsung kemeriahan-kemeriahan yang dulu. Semuanya hambar. Tiada langsung lampu-lampu bergemerlapan menerangi simpang-simpang dan pencakar-pencakar langit di ibukota.

Dia sudah tidak berdaya lagi. Kini semuanya tidak terkawal. Semua orang mahukan hak masing-masing. Semua orang mahu berdemonstrasi.

Paling mutakhir, hari itu memang menjadi sejarah, sekumpulan pelampau yang hanya berteraskan akal fikiran manusia yang cetek berunjuk rasa di jalanan. Mereka adalah golongan yang membantah tindakan para ulama yang jauh lebih cerdik pandai dalam mengharamkan golongan pengkid dan lesbian. Kata golongan yang sesat yang juga terdiri daripada golongan muslimin sendiri dan malah ada juga para kafirun itu mempertahankan perlakuan songsang itu adalah hak masing-masing. Sungguh sesat. Bukankah ayat Quran menyatakan,

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."

Malah ada juga seorang pemimpin kafir daripada sekutu partinya mempertikaikan fatwa yang bakal diumumkan para mufti jika amalan yoga itu salah di sisi Islam. Apa hak dia mempertikaikan perihal yang bersangkutan dengan Islam? Banyak yang sudah keliru sekarang. Nampaknya pengaruh sekularisma menular di dalam fikiran orang Malaysia. Semuanya nampak sama saja hatta hal agama sekalipun. Deepavali contohnya mahu dirayakan dengan Hari Raya Aidilfitri.

Ini adalah sejarah. Tidak ada sebelum ini ada orang bukan Islam sebegitu berani mempertikaikan hukum Islam. Mereka tidak faham. Mereka mahu mencampuri urusan agama orang lain. Adakah orang Islam boleh menghalang orang Kristian ke gereja pada hari Ahad? Adakah orang Islam boleh memaksa orang Hindu makan daging lembu? Kenapa mahu dicampuri urusan Islam? Get off! Kenapa ini boleh berlaku. Bila? Hanya di zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.

p/s: teringat aku Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah yang sangat lemah. Akhirnya negeri Melaka tinggal sekecil hari ini.

14 November 2008

Jangan Kedekut...

Hari ini sewaktu mendengar khutbah Jumaat, seperti biasa ada seorang budak membawa 'tupperware' yang sudah terisi dengan duit ke saf-saf untuk menerima sumbangan para jemaah. Aku dah bersedia untuk memberikan sumbanganku yang tak seberapa ini namun dia tidak sampai di depanku kerana di sebelahku ada seorang jemaah lain sedang bersolat sunat. Terlepas aku. Tidak apa, lain kali sajalah.

Teringat pula aku tentang jumlah sumbangan yang diberikan orang ramai kepada masjid-masjid atau surau-surau setiap kali ke sana. Semasa kecil dulu, 20 atau 50 sen sudah cukup. Pada masa itu, jumlah kutipan memang sudah memadai buat membayar bil air dan elektrik. Lagipun kos sara hidup pada masa itu tidaklah setinggi hari ini manakala orang-orang kampung pula bukanlah orang-orang yang berada.

Tahun demi tahun, jumlah sumbangan naik. Namun pertambahan sumbangan itu tidaklah setimpal dengan pertambahan pendapatan dan gaya hidup. Rakyat Malaysia semakin senang hidup sekarang. Sungguhpun ramai merungut tentang kenaikan kos barang makanan dan tol-tol lebuhraya, tidaklah hidup mereka melarat sampai terpaksa menebus rumah dan kereta yang dibeli.

Kalau dulu hanya naik motosikal, kemudian memandu Kancil dan seterusnya memandu Proton. Sekarang pula memandu Toyota ataupun Honda. Di dalam hati ada menyimpan untuk memandu BMW atau Mercedes pula. Kalau dulu semasa naik motosikal, sumbangan ke masjid-masjid atau surau-surau adalah seringgit, kini setelah memandu Toyota atau Honda, masih seringgit itulah yang disumbangkan.

Kenapa warna duitnya tidak berubah? Bila nak bertukar ke merah ataupun paling kedekut pun warna hijau? Kalau mampu makan makanan segera paling tidak RM10 harganya, kenapa tidak sumbangan ke masjid atau surau sejumlah itu juga? Kenapa kalau kita sanggup bertemu kawan di KLCC, mengharung beberapa tol, bayaran meletak kereta sekurang-kurangnya RM5, belum masuk lagi harga segelas minuman sekurang-kurangnya RM8, kenapa tidak?

Fikirku, RM5-lah yang paling kedekut pun...

09 November 2008

Makanan Halal Selamatkan Muslim China

Di sebalik malapetaka keracunan melamin di dalam produk tenusu di China di mana beberapa bayi meninggal sementara beribu-ribu lagi telah jatuh sakit, masih ada rakyat China yang terselamat daripada kesan melamin ini. Mereka adalah masyarakat Islam Uighur di Xinjiang (disebut macam Sinjiang), di wilayah barat yang majoritinya Islam.

Hasil pemantauan institusi agama dan pemerintah, barangan yang dihasilkan di Xinjiang bebas daripada sebarang pencemaran dan berstatus halal. Makanan halal di sana diperbuat dengan cara tradisional dan tidak terancam oleh bahan-bahan kimia moden yang membahayakan.

Penduduk Xinjiang juga beruntung kerana kebanyakan hasil tenusu dihasilkan sendiri di wilayah itu sehingga digelar New Zealand China. Sudah tentu mereka yakin selamat kerana cara penghasilannya mengikut tatacara, budaya dan citarasa mereka sendiri yang berlandaskan konsep halal seorang Muslim. Manakala wilayah-wilayah lain terdedah dengan pencemaran melamin kerana keraguan tentang dari mana para orang tengah memperolehi hasil tenusu.

Di bawah undang-undang Xinjiang, pembekal makanan halal mesti mengambil 15% pekerja Muslim dan selalunya mereka mengambil lebih daripada itu. Contohnya syarikat gula-gula Ihlas, mereka mengambil semua pekerja Islam kecuali presiden syarikat yang dari kalangan orang Cina Han. (Orang Han adalah etnik terbesar China. Orang Han termasuklah orang Cina yang ada di Asia Tenggara seperti Malaysia manakala Uighur adalah sebuah etnik minoriti yang beragama Islam.)

Sumber:
Halal food saves China Muslims
Islamic dietary laws help Chinese region's milk
Makanan halal penyelamat

06 November 2008

Di Sebalik Biodata Obama

Setelah ramai pesimis bahawa Obama bakal memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat, kini semuanya terpaksa menelan ludah sendiri kerana rakyat Amerika berani membuat perubahan. Siapa sangka seorang yang berkulit hitam mampu merebut jawatan yang dianggap terkuat dan terpengaruh di maya pada ini. Namun, adakah juga Obama dipilih kerana sungguhpun berkulit gelap, beliau sebenarnya adalah separuh hitam dan separuh putih kerana ibunya berkulit putih? Entahlah..

Obama dilahirkan pada tahun 1961 hasil perkahwinan antara bapanya, Barack Hussein Obama Sr. yang berasal dari Kenya dengan Ann Dunham dari Kansas. Ibubapanya bertemu ketika belajar di Hawaii. Umum mungkin tertarik dengan nama tengah Obama dan juga bapanya iaitu Hussein. Nama itu adalah sebuah nama Islam dan bagaimana pula boleh berada di dalam nama seorang yang beragama Kristian?

Sebenarnya, bapanya dilahirkan oleh sebuah keluarga Islam di Kenya namun bapanya tidak mempratikkan ajaran Islam dan Obama sendiri menggambarkan bapanya seorang atheist iaitu tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Manakala ibunya pula tidak mengamalkan ajaran Methodist dan Baptist bagi seorang Kristian. Jadi, yang ada padanya hanyalah sebuah nama.

Setelah rumahtangganya gagal pada tahun 1963, bapa Obama, Barack Hussein Obama Sr. pulang semula ke Kenya. Obama hanya sempat bertemu bapanya sekali sahaja sebelum bapanya meninggal akibat kemalangan jalanraya pada tahun 1982. Manakala ibunya, Ann Dunham berkahwin pula dengan seorang pemuda Indonesia, Lolo Soetoro yang juga dikatakan seorang Islam. Obama mengikut ibu dan bapa tirinya ke Indonesia pada tahun 1967. Namun suami baru Ann ini juga tidak mengambil berat tentang hal-hal agama. Di Indonesialah, Obama mendapat pendidikan tempatan termasuk pendidikan Islam.

Pada usia 10 tahun, pada tahun 1971, Obama dihantar ibunya balik ke Hawaii untuk tinggal bersama datuk dan neneknya. Ibunya pulang semula ke Indonesia pada tahun 1972 untuk menghabiskan kerja lapangan kedoktorannya. Bagaimanapun ibunya meninggal pada tahun 1995.

Sejak detik itulah bermula zaman malap Obama. Akibat keruntuhan rumahtangga dan ketidakpedulian keluarganya, ditambah pula dengan kelonggaran pegangan agama, Obama mula berjinak-jinak dengan dadah dan alkohol. Namun hasil bimbingan datuk dan neneknya yang masih ada, Obama berjaya melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi. Beliau merupakan seorang siswa yang pintar dan aktif dalam kegiatan luar termasuk memegang jawatan pengarah projek komuniti yang berasaskan gereja.

Dari situlah Obama yang terumbang-ambing hidupnya mula mendekati ajaran Kristian. Beilau pernah menulis sebuah buku, In The Audacity of Hope yang diinspirasikan daripada khutbah seorang paderi yang membimbingnya.

Itulah dunia Obama, sebuah dunia yang biasa terutamanya di negara-negara Barat yang mana rata-ratanya sudah memisahkan agama dari kehidupan seharian. Bukan sahaja orang Kristian sendiri, malah banyak orang-orang Islam juga yang meninggalkan ajaran agama. Obama pula 'bernasib baik' setelah mendapat 'hidayat' untuk memperbetulkan arah tuju kehidupannya. Cuma kita berharap supaya tidak ramai 'Obama' di sana - tersesat dari jalan yang lurus, mahu mencari jalan yang lurus namun ketemu jalan yang tidak lurus.

Umum mengharapkan Obama lebih terbuka dengan isu-isu yang membelenggu dunia terutamanya isu Palestin-Israel, ibu segala kekacauan sejagat. Dengan latarbelakang yang penuh warna, beliau diharap mampu mengubahnya. Namun, aku masih sangsi itu bakal berlaku. Beliau hanya 'melihat dunia' setelah dewasa manakala zaman kanak-kanaknya masih kabur. Tidak semudah itu perubahan bakal berlaku. Masih ada tangan yang memegang telunjuk Obama. Sudah pasti.

02 November 2008

Hari Ahad Yang Kubenci

Hari Ahad merupakan hari yang ramai orang suka. Namun bagiku, kadang-kadang hari Ahad merupakan hari yang paling tidak menyeronokkan. Hari Ahadlah hari yang semua orang cuti (kecuali di negeri-negeri yang bercuti hari Jumaat) dan apabila bercuti semua orang, maka tutuplah kedai-kedai yang menjadi nadi seharian.

Menjadi seorang weekend husband atau kadang-kadang weekend pun bukan husband, kedai makanlah tempat utama menterjemahkan ungkapan makan untuk hidup (bukan hidup untuk makan tau...) Apabila kedai-kedai ini ikut tutup sekali, makan terkial-kiallah daku mencari kalau-kalau ada kedai makan yang dibuka.

Untuk sarapan pagi bukanlah suatu masalah, tetapi makan tengah hari atau makan malam yang menjadi suatu kesulitan. Mungkin sarapan pagi mudah disediakan dan hanya meja kecil diperlukan buat memaparkan juadah tatkala mentari masih belum terik, ramai orang masih mahu berjualan di hujung minggu sebegini. Berbanding dengan makan tengah hari atau makan malam yang pastinya lebih berat, ramai orang tidak mahu mengorbankan masa hujung minggu yang telah dipilih sebagai waktu berehat.

Kalau dah darurat sangat, kedai mamak ataupun KFC ataupun McDonalds menjadi persinggahan.. Dapatlah kumengalas perut..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...