21 Januari 2009

Kembara Ke Vietnam Bhgn. III

16 Jun 2008

Perjalanan kami ke Da Nang diteruskan dengan pesawat Vietnam Airlines kerana tiada pesawat MAS beroperasi hingga ke Da Nang. Entah bagaimana kami tetap dihidangkan dengan makanan yang mengandungi 'babe' semasa di dalam pesawat. Bukankah sudah diaturkan yang kami mahukan makanan halal? Entahlah..

Isyh.. Aku batalkan saja niat untuk makan. Nak minum pun dah tak selera. Di dalam pesawat, aku asyik memerhatikan saja orang sekeliling. Budak-budak Cina yang tidak terhalang diet mereka sedang menikmati 'babe' yang disediakan. Yang tidak makan, sudah mula menutup mata mereka, seolah-olah memaksa diri untuk tidur kerana kebosanan.

Aku melihat saja gerak-geri pramugara dan pramugari yang bertugas. Pakaian pramugari tidaklah menjolok mata kalau dibandingkan dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain. Mereka memakai pakaian tradisional Vietnam. Bajunya berwarna merah macam Cheongsam tetapi labuh ke bawah separas betis. Dari pinggul ke bawah, kainnya terbelah di kedua-dua sisi. Namun tidaklah nampak yang di belahan itu kerana ada seluar pula berwarna putih, labuh sehingga ke paras tumit. Kalau berjalan, belahan baju di depan bergerak mengikut gerakan lutut manakala yang belakang berjuntaian ke bawah.

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pesawat Vietnam Airlines yang kami naik ke Da Nang.


Perjalanan ke Da Nang agak jauh, selama satu jam 10 minit. Satu waktu yang lama untuk ditempuhi di dalam suasana penuh kebosanan ini. Mataku pula tidak mengantuk. Aku duduk di tepi tingkap, posisi kegemaran aku kerana aku suka mengambil gambar di bawah. Di bawah sana pula tidak kelihatan apa pun melainkan awan putih yang terus-menerus menyeliputi langit Vietnam.

Akhirnya setelah hampir ke destinasi dan pesawat mula menurunkan altitutnya di bawah awan-awan tadi, barulah nampak keindahan bumi Vietnam yang dulunya pernah hancur akibat perang. Di Da Nang, panorama di sini sangat cantik. Nun jauh kelihatan gunung-ganang menghiasi latar belakang pemandangan, di depan pula terhampar bumi hijau yang subur dihiasi sawah-sawah padi. Manakala sungai-sungai pula nampak lesu mengalir berliku-liku menghubungkan gunung-ganang dengan bumi yang subur menghijau itu.

Tatkala pesawat kami menuruni bumi, mentari petang memancar melalui celah-celah awan tebal itu menghasilkan garisan-garis putih. Garisan-garisan cahaya itu pula terpantul di permukaan air sungai menghasilkan satu pemandangan indah bumi ciptaan Yang Maha Kuasa.

From Vietnam Trip - Da Nang

Sebatang sungai disinari mentari di Da Nang.


From Vietnam Trip - Da Nang

Mentari petang kelam menyinari bumi Da Nang.


From Vietnam Trip - Da Nang

Sungai berlengkang-lengkok di Da Nang.


From Vietnam Trip - Da Nang

Sungai semakin melebar di Da Nang.


Setelah beberapa minit, akhirnya pesawat kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang. Lapangan terbang ini kecil sedikit berbanding yang di Bandaraya Ho Chi Minh tadi. Tiada jambatan udara yang menghubungkan ke terminal di sini. Kami menuruni kapal terbang dengan tangga dan selepas itu menaiki bas ke terminal, umpama Bandara Soekarno-Hatta di Jakarta. Sekali lagi, pemandu bas berada di sebelah kiri. Agak pening aku memikirkan, apalagi kalau aku sendiri yang memandu. Aku tak biasa.

From Vietnam Trip - Da Nang

Kami turun melalui tangga dan seterusnya menaiki bas.


Tiada pemeriksaa imigresen di sini kerana kami sudahpun mendarat di Bandaraya Ho Chi Minh tadi. Jadi, kami terus ke tempat mengambil bagasi. Sepertimana di Lapangan Terbang Tan Son Nhat di Bandaraya Ho Chi Minh tadi, kelihatan ramai sungguh orang menunggu ketibaan di terminal. Adakah mereka mahu menjemput seseorang ataupun mahu mencari wang dengan menawarkan pelbagai servis kepada para pelawat yang baru sampai? Kami tidak mempedulikan semua itu kerana ada sebuah bas sedia untuk menunggu. Pemandu bas itu sudah sampai awal menunggu kami dengan sepanduk nama syarikat kami.

Destinasi kami ialah ke Furama Resort. Di dalam perjalanan, suasana tidak ubah seperti di Bandaraya Ho Chi Minh. Banyak betul motosikal yang ada di sini. Masing-masing menunggang dengan kelajuan perlahan namun tetap lancar. Kalau yang naik basikal, kelajuan mereka sama dengan yang menunggang motosikal! Boleh mengayuh basikal di tengah-tengah jalan. Kalau ada kenderaan besar di belakang dan hon dibunyikan untuk meminta laluan barulah mereka ke tepi. Sungguh tertib, tidak kalut seperti di tempat kita.

Pembangunan di Da Nang juga tidak kalah. Pesat sungguh pembangunan di sini. Nampaknya mereka betul-betul telah bangkit daripada zaman gelap perang. Kadar pertumbuhan ekonomi Vietnam sebenarnya adalah lebih tinggi daripada Malaysia sendiri! Dengan kos buruh dan operasi yang murah, banyak kilang telah beroperasi di sini. Namun, agak sedikit kecewa kerana kos sara hidup rakyat juga naik mendadak. Jadinya, rakyat agak keperitan kerana upah yang diberi masih murah dan tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup, kesan pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam.

Tidak lama menaiki bas, kami sampai ke Furama Resort. Resort ini menghadap laut iaitu Laut China Selatan yang juga menganjur ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan pantai Barat Sabah dan Sarawak di selatan. Pantai di sini terkenal dengan keindahannya sejak dari zaman perang dulu lagi dan menjadi tempat persantaian tentera Amerika dan sekutunya. Pasirnya putih, luas dan jauh ke tengah laut, sesuai untuk pelbagai aktiviti pantai. Airnya pula membiru namun tidaklah dalam dan sesuai untuk berenang. Di samping ufuk langit yang membiru, pantai ini juga berlatarbelakangkan Pergunungan Monyet di mana pantainya terkenal dengan aktiviti menyelam.

Pada malam itu, kami ada aktiviti koktel. Namun aku tidak seronok sangat. Sudahlah penat, makanan pula tidak kena dengan diet - banyak sangat yang ada 'babe'... Aku balik awal, order makanan yang aku boleh makan di bilik, bersiap diri, bersolat dan tidur.

..bersambung..

Entri-entri terdahulu:
Kembara Ke Vietnam Bhgn. I
Kembara Ke Vietnam Bhgn. II

2 ulasan:

KNizam berkata...

whahhhh bila la aku nak sampai sana eh

areteam berkata...

trip menarek ni bro.. good work geng

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin