19 Februari 2009

Shasha Kembali

Kalau dulu, pernah kukatakan Din Highway telah menghilangkan diri meninggalkan dunia penyampai radio dan menghampakan ramai para peminatnya. Kini, Shasha, salah satu watak Din Highway telah kembali semula ke corong udara.

Shasha dan Din Beramboi, nama baru Din, telah ke udara melalui radio Era di segmen paginya bermula dari 6 hingga 10 pagi bersama-sama Aznil. Ini telah mengembalikan nostalgia Time Highway Radio (THR) dahulu dan secara langsung menambahkan kerancakan persaingan rangkaian radio-radio Melayu di Malaysia.

Tahun 1996-97 dulu merupakan tahun emas THR. Pada masa itu, THR adalah rangkaian radio nombor satu Malaysia, menggantikan rangkaian radio RTM seperti Radio Muzik dan Radio-Radio 3 setiap negeri sebagai radio pilihan pendengar. Penyampai-penyampai seperti Din Highway, Adi, Nasa, Andy Hakim dan Richie Rachman adalah antara penyampai yang paling digemari para pendengar. Pada masa itu, Din membawa pembaharuan dengan membawa pelbagai watak suara antaranya Shasha, Atuk Ipin, Encik Rostam dan Uncle Lim.

Di zaman kegemilangannya, Din juga telah menghasilkan sebuah album nyanyian dan memuatkan watak-watak tersebut dalam acara berbalas pantun. Din juga bijak mempromosikan album sendiri dengan ‘menyuruh’ Shasha mengudarakan lagu-lagu beliau. Shasha juga pernah menemubual beberapa orang penyanyi lain. Tidak kering gusi melayan karenah Shasha menemubual artis-artis yang juga tidak kurang kelakarnya. Antaranya Shasha pernah menemubual Harun Salim Bachik dan Iwan. Iwan yang asyik ketawa sahaja ketika mempromosikan album yang memuatkan lagu Yang Sedang-Sedang Saja. Namun, album Din ini menjadi kontroversi kerana dikatakan meniru konsep lawak kaset dan CD keluaran Majalah Ujang.

THR mula melalui zaman gelapnya akibat kegawatan ekonomi pada masa itu di samping kemunculan rangkaian-rangkaian radio AMP (Astro). Pendengar mula beralih ke radio Inggeris, Hitz yang membawa pembaharuan pada masa itu. Kemudian rangkaian Inggeris, Rock yang ditukar ke rangkaian Melayu, Era telah mengambil alih rangkaian radio nombor satu Malaysia. Pada masa itu, Era membawa pembaharuan dalam siaran radio Melayu dengan barisan penyampai yang meningkat naik. Walau bagaimanapun, Era menjadi kontroversi kerana dikatakan menceduk konsep rangkaian Ria di Singapura. Sejak itu, Era terus bertahan sebagai radio nombor satu sehinggalah sekarang di mana kedudukannya telah tergugat.

Pada zaman malap THR, Din hanya kadang-kadang muncul dan berduet dengan Abby Fana dengan suara watak siri kartun Jepun. Walaupun THR melalui zaman sukar, Abby Fana adalah antara penyampai yang masih setia dan mula mengembangkan barisan pendengar setia beliau.

THR mula tenggelam timbul dan menjadi satu rangkaian khas untuk pendengar Tamil dan Hindi bagi mengelakkan persaingan daripada rangkaian-rangkaian radio Melayu lain. Akhirnya THR telah diambil alih oleh Astro. Abby Fana telah ditukarkan ke Sinar dan terus bertapak kukuh di situ. Andi Hakim yang sebelumnya keluar daripada THR telah kembali semula. THR juga telah mengembangkan sayapnya ke Pantai Timur dengan menyiarkan rangkaian lagu-lagu Melayu khusus untuk orang Pantai Timur. THR di Pantai Timur dipanggil Gegar manakala di Pantai Barat yang masih menyiarkan lagu-lagu Tamil dipanggil Raaga. Percaturan THR menfokuskan pendengar Pantai Timur membuahkan hasil dan menaikkan kembali THR yang pernah berada di atas dulu. Kini, Gegar menjadi rangkaian nombor satu di Pantai Timur. Lagu-lagunya memang cocok dengan pendengar di sana seperti lagu dikir barat Kelantan, lagu-lagu rakyat Terengganu dan Pahang. Selain itu, lagu-lagu ‘tangkap leleh’ seperti Hajat oleh Haida dan Pelamin Anganku Musnah nyanyian Azie menjadi pilihan pendengar di sana.

Tatkala Hot FM mula menaburkan peluru terbarunya dengan gandingan Jawa Rangers, Era pula tidak mahu kalah dengan gandingan terbaru Din Beramboi dan Aznil. Kini, pendengar punya banyak pilihan – Din Beramboi/Aznil, Fafau/Faizal Ismail ataupun Abang Jem dengan rakan-rakannya...

Entri berkaitan:
Din Beramboi @ Din Highway

6 ulasan:

  1. satu kupasan yang sungguh menarik.
    sepanjang hayat THR, ia telah berpindah tangan beberapa kali sehinggalah Astro mengambil alih. Hayat THR mash panjang rupanya.

    BalasPadam
  2. layan THR ni ms sek men dulu...ada lg rupanya...ms tu yg glamer din highway tu la kan...BBD tu pon under THR ye tak..byk sgt dh radio skrg xtau mana nk dgr daaa

    BalasPadam
  3. skang dok layan hot fm jek.. tapi radio2 kat mesia ni asek2 ulang lagun indon jek..huhu..

    BalasPadam
  4. Mama suka layan radio ERA dan SINAR. Rajin juga dengar Din Bramboi dengan Pak Nil dalam drama sebabak tu. Cuma at times, ma macam ngeri je nak dengar Din cakap sebab adakalanya, macam sedikit kasar, takut orang kecik hati je... Maaflah cik Din, ini pendapat mama je...

    BalasPadam
  5. awal 90-an yus budak lagi..
    so radio pilihan ialah RIA dan ERA. tak pernah dengar siaran lain sebab radio kami tu dah kira taraf antik ler gitu...
    sekarang ni yus suka dengar HOT.FM ngan SINAR je...

    re: sekarang ni yus kerja kat dlm JOHOR PORT...company ni ambil contract repair kontena PIL/SELATAN AGENCY.
    kedai makan tu kat Taman Nusa Damai..Yus anta anak kat situ so balik ambil dia terus jer singgah...

    BalasPadam
  6. Saya dambakan sebuah penyiaran radio yg lebih intelek dan tidak sekadar hiburan semata. Yang mengundang perbincangan tentang isu-isu semasa dan global, tentang permasalahan umat, tentang matlamat hidup, dan saranan2 membina. Yang mendidik dan menjana kemajuan bukan sekadar di dunia yg sementara tetapi yg penting akhirat yg kekal abadi.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...