24 Februari 2009

Kembara ke Vietnam Bhgn. V

18-19 Jun 2008

Di sekitar Da Nang, banyak tempat-tempat menarik yang kita boleh lawati. Selain pantai yang luas memutih pasirnya, di sini juga terletak salah sebuah tapak warisan dunia iaitu Hoi An. Di sinilah terletaknya bekas pusat pemerintahan Kerajaan Champa.

Pada malam kedua di sini, kami berpeluang pergi ke Hoi An konon-konon untuk melihat Festival Bulan Mengambang (Full Moon Festival). Alih-alih bulan yang diharapkan mengambang penuh langsung tak muncul. Sepertimana waktu kami mula-mula sampai ke sini, awan tebal terus-menerus meliputi bumi Da Nang. Jadi, tiada langusng kelibat bulan.

Semasa festival ini, lilin-lilin diletakkan di atas hiasan daun teratai dan dihanyutkan ke sungai dengan bot atau perahu kecil. Pada malam itu juga, tidak banyak kelihatan bot atau perahu kecil di sungai yang menghanyutkan lilin-lilin tersebut. Mungkin bulan tak kelihatan agaknya.

From Vietnam Trip - Da Nang

Tanglung-tanglung dihanyutkan daripada sebuah bot di Hoi An, Vietnam. Tidak banyak bot kelihatan mungkin kerana bulan mengambang tidak muncul.


Kebetulan kududuk semeja dengan salah seorang penganjur yang berasal dari Thailand sewaktu makan malam. Aku komplain kepadanya. Bukannya marah, tapi sekadar berlawak. Sebelum ke sana, dia menjanjikan segala yang terbaik. Namun katanya dia tak mampu mengawal bulan. Karakternya bersahaja namun lawak. Maklumlah dia sebenarnya seorang yang terkenal di Thailand. Beliau sering muncul di kaca TV di sana berlawak dan juga mengadakan rancangan temubual. Penonton malah sanggup membayar mahal untuk mendengar celotehnya.

Bercakap pasal makan, memang dari dalam pesawat dan di mana sahaja, setiap kali makan mesti ada bab* . Bila dibakar daging 'istimewa' itu, maka menerawanglah segala aroma kurang mengasyikkan ke lubang hidung.. Isyk... Aku duduk semeja bersama sekumpulan rakan dari Indonesia yang perlukan special arrangementtentang makan. Salah seorang rakan tak berselera hendak makan. Alih-alih, duk gelak je buat lawak..

Berbalik kepada Hoi An, bandar ini merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia, seperti yang Melaka dan Pulau Pinang baru perolehi itu. Di sini merupakan kota purba yang pernah menjadi pelabuhan entreport dan maritim utama dahulu, yang juga merupakan salah satu persinggahan penting laluan rempah. Sekarang, tempat ini menjadi tumpuan para backpackers menikmati makanan, membeli-belah dan melakukan aktiviti-aktiviti laut. Kami ke sana buat kali kedua di suatu petang kerana ada pertandingan ala-ala mencari harta karun di situ.

Berhampiran Hoi An juga terletak Pulau Cham yang sungguh bersejarah yang terkait dengan bangsa Melayu kita. Dulu, Da Nang dipanggil Indrapura dan di sini adalah pusat kegemilangan kerajaan Hindu-Buddha Champa. Mengikut salah-satu teori yang berasaskan tinggalan sejarah, orang Melayu berasal daripada orang Champa.

Mengikut sejarah, kerajaan Champa telah dikalahkan kerajaan Viet Nam dan pemerintah terakhirnya bersama-sama rakyat telah lari ke Kemboja (Cambodia) dan mengasakan semula tamadun yang berpusat di tebing Sungai Mekong yang dipanggil Kampong Cham. Jika dilihat daripada nama tempat di sini, bahasa Cham dan bahasa Melayu mempunyai persamaan. Memang ada beberapa perkataan lain yang sama seperti sungai, banyak, ikan dan orang. Ada juga yang lari ke Terengganu, Kelantan dan wilayah-wilayah Selatan Thai dan juga ke utara iaitu ke Pulau Hainan, China. Kalau dulu, di Terengganu misalnya, banyak orang-orang Kemboja yang menjual kain dari rumah ke rumah. Mereka bijak berniaga.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang ikut lari dan masih tinggal di Viet Nam. Selain Pulau Cham, ada juga yang masih tinggal di Nha Trang. Pada zaman kegemilangannya, kerajaan Champa telah diIslamkan oleh pedagang Arab dan mempunyai hubungan dengan kerajaan Abbasiyyah di Baghdad dan juga membantu kerajaan Johor menentang Portugis di Melaka. Aku tidak berapa pasti sama ada mereka yang masih ada di Pulau Cham itu Islam. Orang Cham ini macam orang Jawa, masih kuat pengaruh Hindunya walaupun sudah Islam.

Aku bersembang pendek dengan salah seorang penjual air tebu di Hoi An. Apabila ditanya dari mana berasal, dia menjawab berasal dari Cham (singkatan untuk Champa). Tidak dijawabnya dari Vietnam kerana fikirku mereka tahu mereka sedang dijajah.. Aku tak sempat bertanya sama ada dia itu Islam kerana kesuntukan masa. Kami terkejar ke sana ke mari mencari barang atau tugasan untuk disiapkan.

Pasukan mencari harta karunku tu memang dari awal lagi dah tahu kalah. Rakan-rakan dari Thailand pergi membeli-belah, bukannya hendak mencari harta karun. Aku menyesal tidak membeli-belah sekali sebab harga di sini lebih murah jika dibandingkan dengan Bandaraya Ho Chi Minh. Pun begitu, aku pula santai mengambil gambar!

From Vietnam Trip - Da Nang

Wisel berbentuk haiwan yang dibuat daripada tanah liat merupakan salah satu hasil tangan yang terkenal dari Vietnam. Gambar diambil di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Antara juadah tempatan yang dijual di Hoi An. Yang macam kayu itulah adalah kulit kayu yang wangi.

From Vietnam Trip - Da Nang

Hanya pejalan kaki dan pengayuh basikal dibenarkan di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pengangkutan air masih penting di Hoi An. Bot dari Pulau Cham membawa penumpang dan motosikal.

From Vietnam Trip - Da Nang

Sebuah muzium di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Kandar masih digunakan secara meluas di Hoi An untuk mengangkut barang-barang. Di Pulau Pinang dulu untuk menjual nasi dan akhirnya dipanggil Nasi Kandar.

From Vietnam Trip - Da Nang

Jambatan Jepun yang dibina semasa penjajahan Jepun.

From Vietnam Trip - Da Nang

Seorang wanita sedang membuat tanglung di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Antara tanglung-tanglung yang dijual di Hoi An.


Semasa perjalanan ke Hoi An, kelihatan bekas depot udara tentera Amerika semasa perang Vietnam dahulu. Di sekitar Da Nang, nampak kesan-kesan pertempuran berlaku. Di tengah kawasan-kawasan berpasir, kelihatan ada banyak lubang besar bekas letupan bom. Sebuah candi tinggalan kerajaan Champa juga sedang diperbaiki setelah hancur terkena bom.

Rumah-rumah orang Viet Nam sebenarnya unik. Bukaan depannya amat sempit, sekadar boleh memuatkan sebuah kereta manakala panjangnya jauh ke belakang seperti panjang dua buah rumah teres kita. Kalau yang kaya dan mahukan rumah lebih besar, mereka buat sampai tiga tingkat! Tak tahulah aku kenapa mereka tidak melebarkan rumah mereka. Mungkin terhalang oleh pelan tanah yang sememangnya berbentuk begitu. Sawah-sawah padi juga berbentuk sama, mengukuhkan andaian sememangnya pelan tanah di Vietnam sempit bukaannya tetapi memanjang ke belakang.

Satu lagi keunikan Vietnam ialah di belakang rumah ada kubur! Dulu, orang Viet Nam mengkebumikan mayat di halaman rumah mereka. Namun kerajaan Viet Nam tidak lagi membenarkan pengkebumian mayat di belakang rumah dan kini disediakan tanah perkuburan khas macam di negara kita. Di sini, kubur mereka seperti jirat Cina di negara kita kerana orang Vietnam termasuk di dalam rumpun orang Cina. Perkataan-perkataan bahasa Vietnam dulu ditulis dalam tulisan Cina namun kesan penjajahan menyebabkan bahasa Vietnam ditulis di dalam Rumi, seperti bahasa Melayu kita yang telah diRumikan daripada tulisan Jawi.

..bersambung..

From Vietnam Trip - Da Nang

Salah sebuah bekas depot tentera Amerika di Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Rumah yang bukaannya sempit tetapi panjang ke belakang di Vietnam.


Entri-entri terdahulu:
Kembara Ke Vietnam Bhgn. I
Kembara Ke Vietnam Bhgn. II
Kembara Ke Vietnam Bhgn. III
Kembara Ke Vietnam Bhgn. IV

2 ulasan:

  1. yang menarik bila melawat negara ketiga nie, kita dapat lihat true color diorang..
    masih nampak kekampungan..
    mendamaikan...
    mungkin yus tak dapat jejakkan kaki..
    kat tempat nie..
    dapat tumpang 'tgk' dah kira beruntung..
    strozze pun rajin buat research...
    dapat tambah ilmu...

    BalasPadam
  2. bgs blog ni,dgn gmbr2 cantik and info2 menarik..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...