07 Mac 2009

Bahasa Tertentu Bukan Pengukur Kemajuan

Di Malaysia, kita bercakap dalam pelbagai bahasa. Sedar atau tidak, bahasa yang kita pilih untuk bercakap menggambarkan keyakinan kita dan tingkat status orang yang kita bercakap. Kalau dengan orang berpelajaran ataupun orang atasan kita bercakap Inggeris. Kalau dengan kelas bawahan, dengan pembantu rumah, pekerja buruh ataupun di kedai-kedai mamak barulah bercakap Melayu.

Orang sering mengatakan Bahasa Inggeris lambang kemajuan. Namun di Malaysia hakikatnya tidaklah benar. Yang bercakap Inggeris tunggang-langgang nahunya mendakwa mereka selangkah di hadapan. Kalau bercakap Inggeris dengan orang luar, pastinya mereka tidak faham kerana telo yang kelokalan dan bersifat kreol.

Hari ini, perhimpunan mega 100,000 orang bakal diadakan di Masjid Negara pada jam 2 petang membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dianggap satu pelaksanaan membuta tuli dan tergesa-gesa. Pelajar-pelajar dan bahkan guru-guru sendiri terkial-kial untuk menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik yang bermediumkan Bahasa Inggeris. Setakat ini, segala rintihan langsung tidak didengari Kementerian Pelajaran, umpama menyiram air ke daun keladi.

Anak-anak orang kampung menghadapi masalah kerana mereka langsung tidak bercakap Inggeris di rumah bahkan di persekitaran mereka. Penyampaian ilmu yang berkesan memang sepatutnya di dalam bahasa sendiri. Ustaz-ustaz yang mengajar agama Islam sejak dari dulu lagi menafsirkan segala kitab Arab ke Bahasa Melayu dulu sebelum diajarkan kepada para pelajar. Orang-orang Belanda juga mengajarkan agama Kristian kepada penduduk bukan Islam Indonesia di dalam Bahasa Indonesia/Melayu kerana pemahaman yang lebih mudah.

Orang-orang bandar pula tidak menghadapi masalah kerana dibesarkan dalam persekitaran 'Inggeris'. Mereka bercakap Inggeris di rumah. Anak-anak orang kaya dan orang besar ini sudah tentu mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris tetapi mendapat markah tercorot di dalam Bahasa Melayu. Jadi, mungkin salah satu sebab mengapa rintihan ini tidak didengari adalah kerana persekitaran 'Inggeris' mereka. Yang ada di atas pula bukannya dari kampung, mereka juga golongan elitis dan dibesarkan dalam Inggeris celup tersebut. Lancang sungguh mulutku ini..

Ironinya, dalam diperkatakan tentang PPSMI ini, kini berlangsung Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM) dianjurkan oleh kerajaan di Putrajaya. Peserta dari seluruh pelosok dunia daripada pelbagai adat, budaya dan bahasa datang ke sini untuk berbahas dalam Bahasa Melayu. Nah, kenapa hendak diragukan lagi. Orang lain belajar bahasa kita untuk memperkayakan diri, kita pula semakin menidakkan keupayaan bahasa kita.

Kalau tidak kerana keupayaan bahasa kita, tidak mungkin bahasa kita dapat dijadikan alat pertuturan pelbagai etnik di rantau ini sejak beratus tahun dulu. Bahasa Melayu/Indonesia merupakan sekurang-kurangnya antara bahasa keenam paling dituturi di dunia ini. Kenapa ada bangsa lain yang juga tegar bertutur dalam bahasa mereka tidaklah mundur bahkan maju daripada kita. Lihta saja Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan Bahasa Jerman yang jumlah penuturnya kurang daripada bahasa kita masih tetap di hadapan walaupun bercakap dalam bahasa ibunda mereka.

Kalau pergi mengembara, di negara mana saja, pastinya ada rangkaian TV khusus untuk mereka. Ada NHK untuk Jepun, KBS untuk Korea ataupun DW untuk Jerman. Bilakah TV berbahasa Melayu dipancarkan global akan diadakan? Takkan ada selagi ada keraguan.

Sila ke laman web pabm untuk menonton video bahas Juara PABM 2008 dari Australia.


Entri berkaitan di sini.

7 ulasan:

  1. Bahasa menunjukkan bangsa... Betul strozze, kita kena bangga dengan bahasa sendiri.

    Anak akak yang ke 2 baru2 ini masuk pertandingan debat Bahasa Inggeris di sekolahnya. Alhamdulillah maju setapak lagi dari hanya debat mewakili rumah dapat dilanjutkan lagi ke peringkat daerah. Walaupun masih banyak kesalahan dari segi grammer nya namun beliau seorang yang yakin dalam ucapannya. 'Confident' pada diri sendiri perlu ada dalam usaha cuba menguasai bahasa orang lain.

    Walau bagaimanapun bahasa ibunda tetap jadi kebanggaan.

    BalasPadam
  2. Jauh perjalanan luas pemandangan dan pengalaman. Keep up the good work. One phrase I can remember from the book I read called THE PRESENT by Spencer Johnson is that - we Live The Present, Learn from The Past, and Plan for The Future. All the best anak muda!

    BalasPadam
  3. Emm,,,,semoga Bahasa Melayu tak menjadi seperti tulisan rumi,,,
    semakin lama semakin menipis penggunaannya,,,,

    BalasPadam
  4. setuju ngan entry kali ni...kalau dah dak faham apa yang dipelajari, sudah tercicir dari awal yang asasnya, sudah tentu la makin hancur jadinya...

    tgk saja negara2 maju seperti perancis, german, jepun, korea dan lain2...mereka mgunakan bahasa mereka tapi tetap maju juga...

    memang orang kita amat bangga berbahasa inggeris...huhu...

    Re : heheh dh pegi dh ms sabtu lepas...belikan nafisa tricycle ngan meja tulis...lenkali kita pakat gether2 gi sama yer...saya pn pakai yg biasa2 jer brg bb..yg tu sbb nk beli botol susu khas utk bb bf jerk pehtu terus tersangkut gak mende lain...tu yg mls mendekatkan diri kat tempat2 gitu...

    BalasPadam
  5. memang setuju dengan penulisan ko ni bro...bahasa melayu sepatutnya lebih diagungkan berbanding bahasa inggeris...tapi sudah menjadi lumrah malaysia nak maju ke hadapan tapi sebenarnya tak maju...bak kata perumpamaan inggers "see through walls, but still stuck at the door"

    BalasPadam
  6. penggunaan bahasa melayu untuk dua matapelajaran tu memang patut dikembalikan ke bahasa melayu semula..
    yus ada 2 keluarga ipar yang mempunyai 4 orang anak yang bersekolah rendah...yus nampak sendiri bagaimana susahnya ibubapa mereka membantu mereka selesaikan kerja rumah...
    dengan corak pengajaran guru2 yang suka melonggokkan kerjarumah membuatkan kami yang kadang2 pening dengan pegunaan terma berbahasa inggeris...
    kasihan anak2 di kampung yang terkial2 nak buka kamus lagi...
    bila nak menjawab soalan...

    BalasPadam
  7. Syabas, tahniah dan terima kasih. Tugas memartabatkan bahasa Melayu harus bermula dari diri kita orang Melayu sendiri.

    Sama-samalah kita berjuang untuk itu

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...