03 Mac 2009

Kembara ke Vietnam Bhgn. VI (Akhir)

19 Jun 2008

Hari terakhir kami di sini, kami bertolak awal ke Bandaraya Ho Chi Minh dengan Vietnam Airlines sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur dengan pesawat MAS. Tiada penerbangan terus ke Da Nang dari Kuala Lumpur. Harap-harap AirAsia suatu hari nanti dapat menambah Da Nang sebagai destinsai barunya. Memang berbaloi pergi ke Da Nang.

Pagi itu, aku agak terlewat untuk daftar keluar. Aku merupakan orang terakhir menaiki bas ke lapangan terbang. Nasib baik masih sempat. Menjadi antara orang terakhir masuk ke bas juga merupakan satu kelebihan. Sekurang-kurangnya dapat duduk di depan dan mendapat pandangan luas di hadapan bas.

Nampaklah betapa banyaknya motosikal berada di jalan raya Da Nang. Mana-mana ada motosikal. Bas bergerak perlahan dan santai saja. Tenang, tidak tergesa-gesa seperti di KL. Bas kadang-kadang membunyikan hon supaya kenderaan yang lebih perlahan memberi laluan. Di sini, membunyikan hon diterima dan tidak dianggap menjengkelkan seperti di tempat kita di mana seseorang yang membunyikan hon sering dianggap kurang sopan.

Sedang kami melalui satu jambatan di Da Nang, jelas kelihatan Vietnam sememangnya pesat membangun dan seolah-olah tiada peristiwa hitam pernah berlaku di sini. Kelihatan sebuah stadium sedang dibina di tepi sungai. Di tengah-tengah sungai, kelihatan bot-bot sedang bergerak menandakan banyak aktiviti berlaku di sini. Sedikit jauh ke belakang, kelihatan barisan pencakar langit Da Nang menyerlah dari muka bumi yang rata. Nun di kejauhan, barisan gunung-ganang berwarna biru menghiasi panorama Da Nang yang sememangnya indah mata memandang.

Kami sampai di lapangan terbang ketika kami masih punya banyak masa. Kami makan dulu. Tidak banyak yang boleh dipilih melainkan biskut dan makanan yang boleh sedia makan kerana yang lain tidak halal. Di lapangan terbang, pemandangan juga tidak kalah cantiknya. Dari sini, lebih jelas barisan gunung-ganang kebiruan tadi. Juga kelihatan seberang landasan sebuah bekas depot tentera Amerika. Da Nang memang merupakan salah-satu medan perang sewaktu Perang Vietnam dulu. Maka, masih banyak tinggalan perang boleh ditemui yang di antaranya depot-depot tadi.

From Vietnam Trip - Da Nang

Trafik yang perlahan tetapi lancar di Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Sebuah stadium sedang rancak dibina di Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Antara berjuta motosikal di Vietnam. Dirakam di Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pesawat-pesawat mendarat di lapangan terbang Da Nang yang berlatarbelakangkan pergunungan yang indah.

From Vietnam Trip - Da Nang

Panorama lapangan terbang Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Sebuah empangan di Da Nang kelihatan dari atas.


Pesawat yang kami naiki ke Bandaraya Ho Chi Minh agak penuh juga. Seperti biasa, aku agak kebosanan di dalam kapal terbang. Tiada mood pula untuk mengambil gambar-gambar dari atas sungguhpun cuaca agak baik. Hanya sekeping dua sahaja yang diambil.

Kami sampai ke Bandaraya Ho Chi Minh ketika tengah hari. Hajat kami ialah shopping lagi di Pasar Ben Thanh!! Sebelum ke Ben Thanh, kami ke sebuah pusat membeli-belah yang aku sudah lupa namanya (mungkin Saigon Center). Walau bagaimanapun, barang-barang yang dijual tidaklah sehebat Ben Thanh yang mempunyai lebih banyak pilihan dan barang-barang yang unik. Di sini, lebih kurang pusat membeli-belah yang ada Malaysia saja.

Sedang aku meninjau-ninjau di situ, terasa perit pula tekak ini. Mungkin kesan aktiviti luar di Hoi An semalam. Aku pula kurang minum air kerana kesukaran mencari tandas. Terpaksa bersusah payah membeli gula-gula untuk melegakan tekak.

Jarak antara pusat membeli-belah itu dengan Pasar Ben Thanh tidaklah jauh. Kami berjalan kaki sahaja menuju ke Ben Thanh. Sungguhpun trafik agak padat di jalan raya, kami boleh melintas dengan mudah kerana kelajuannya perlahan.

Di Ben Thanh, kami terus menuju ke kedai yang kami telah tinjau ketika mula-mula sampai ke sini dulu. Aku menuju ke kedai yang menjual cadar yang bersulam benang-benang yang dijahit menyerupai bunga ros dan daunnya. Memang cantik. Yang menjual itu bercakap Melayu. Mungkin pernah kerja di Malaysia ataupun memang orang Melayu Cham yang juga ramai di sini.

Yang lain mencari beg laptop mereka. Banyak pilihan dan sekali imbas seperti yang tulen. Bila ditanya sama ada tulen atau tidak, dijawabnya,

"Same, same like original."

Terus mendapat jawapan! Seorang rakan lain pula membeli gaun putih beriben dan bersulamkan bunga ros untuk anak perempuannya. Cantik pula. Sutera Vietnam juga ada di sini dan harganya memang murah. Kelihatan seorang wanita Melayu dari Malaysia memborong kain untuk pengantin. Memang banyak pilihan yang cantik-cantik dan murah-murah pula di sini. Memang boleh juling biji mata untuk kaki shopping!

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Sebuah kereta antik ditemui semasa berjalan kaki ke Pasar Ben Thanh.


Selepas puas membeli-belah di Pasar Ben Thanh, kami ke sebuah restoran Melayu halal untuk makan tengah hari. Nama restoran itu ialah Bon Mua Four Seasons Restaurant (rujuk Google Map). Pemiliknya orang Melayu, mungkin orang Melayu Champa atau Melayu Kemboja (lihat entri terdahulu berkenaan Melayu Cham ini). Beliau fasih berbahasa Melayu dan dilihat dari sebuah sweater yang tersangkut di restoran itu, seseorang pernah belajar di sebuah IPT di Melaka. Walau bagaimanapun, generasi muda mereka tidak lagi fasih berbahasa Melayu termasuk anak pemilik itu. Ini disebabkan penggunaan yang terhad di samping sekolah yang bermediumkan Bahasa Vietnam.

Makanan di sini sama dengan tempat kita. Ada Tom Yam, Daging Gulai, Sambal Belacan, Ikan Tiga Rasa dan lain-lain yang kita biasa makan. Setelah menjamah makanan di situ, barulah terasa kenyang! Inilah dia baru dikatakan makan! Selama ini asyik terhad pilihan kami gara-gara makanan yang tidak halal. Kami makan berselera sekali. Dah berapa hari aku tak kenyang! Ini barulah kenyang!

Sedang kami makan ada sekeluarga dari Indonesia bersama-sama makan. Selepas itu, ada satu lagi keluarga dari Malaysia turut sama berkunjung.

Four Seasons Restaurant ini terletak tidak jauh dari Masjid Dong Du atau Jamia Al-Muslimin (rujuk Islamic Finder) yang juga terletak bersebelahan dengan Hotel Sheraton. Kami ke sana untuk bersolat selepas kenyang menikmati hidangan makan yang sebenar.

Di masjid itu, kami berjumpa dengan komuniti di situ yang rata-rata bercakap Melayu. Ada juga yang kami jumpa mungkin orang Malaysia yang bekerja di sini. Rupa-rupanya selepas dilungsuri di Internet, ada juga sebuah tempat makan di masjid itu. Selain daripada aktiviti ibadah, masjid ini memang merupakan pusat aktiviti komuniti Islam di sini.

Selepas itu, kami ke lapangan terbang semula untuk berlepas ke tanah air. Tahap kesihatanku juga semakin teruk. Tadi semasa di restoran, aku makan pil selesema. Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang aku tidur kesan pil tersebut. Di dalam pesawat juga aku tidur.

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh.

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Meninggalkan Vietnam.


Kami sampai di KLIA setelah waktu agak senja. Setelah sampai, aku terus ke klinik. Sudah tidak tahan lagi tekak ini. Apabila doktor bertanyakan aku dari mana dan dijawab Vietnam, maka dia tidak hairan melihat keadaan aku. Katanya, biasa bagi orang yang baru balik dari Vietnam mendapat selesema. Jadi, bagi anda yang mahu ke Vietnam, bersedia dengan perubahan cuaca dan minum air dengan banyak.

Sedih pula setelah meninggalkan Vietnam kerana pelbagai pengalaman baru telah diperolehi. Sungguhpun Vietnam mungkin tempat yang bukan pilihan kita untuk bercuti di rantau ini, selain daripada Indonesia dan Thailand, adalah amat berbaloi untuk meluangkan masa ke Vietnam.

Vietnam bukan seperti dulu lagi. Dulu, mereka datang sebagai pelarian, kini mereka datang sebagai pekerja asing. Maka tak hairan, mereka akan pulang lagi ke Vietnam menyumbang kepada negara mereka yang sedang pesat membangun dan datang kembali ke sini sebagai pelancong!

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Senja di Port Dickson, sebelum mendarat di KLIA.


Entri-entri terdahulu:
Kembara Ke Vietnam Bhgn. I
Kembara Ke Vietnam Bhgn. II
Kembara Ke Vietnam Bhgn. III
Kembara Ke Vietnam Bhgn. IV
Kembara Ke Vietnam Bhgn. V

2 ulasan:

  1. Salam.

    Akak klik blog strozze dari blog yus. Tahniah, hari ni jumpa satu blog yang penuh info!

    Puas melawat Vietnam via siri entri "Kembara ke Vietnam".

    Boleh akak singgah lagi?

    BalasPadam
  2. Salam bro,

    Sy akan ke Danang in 2 weeks time ader simposium kat saner, bole tolong bagi list2 restoren halal kat saner ker pasal dalam entri cakap sana-sini sume "baby" jer kalo xder nak pack megi byk skit.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...