22 April 2009

Alamak, Terpancut!


Kiranya aku adalah generasi zaman mengisi minyak layan diri. Setelah kumemiliki kereta, waktu itu dah bermula sistem layan diri ini. Kalau di pam minyak, semuanya secara automatik.

Namun hari itu, aku sedikit janggal. Sewaktu mahu pulang ke kampung sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuantan, kami singgah sebentar di sebuah stesen minyak di bandar Temerloh. Stesen ini terletak di tepi Sungai Pahang di bawah jambatan Sungai Pahang. Pertama kali kumengisi minyak di situ.

Yang kelakarnya, stesen minyak itu masih menggunakan pam minyak lama yang manual. Kalau diingati iklan semasa mula-mula sistem layan diri dulu, ada mengatakan setelah diangkat muncung pam, hendaklah diangkat satu tuil di pam.

Setelah dengan yakin menyuruh juruwang mengaktifkan pam di mana keretaku berhenti, aku mengangkat muncung pam dan memasukkan ke dalam lubang minyak di keretaku. Kutunggu-tunggu namun pam tak berjalan. Setelah agak lama, kelihatan juruwang berlari-lari ke arahku, dia mengangkat tuil itu. La.. begitu rupanya.. Barulah minyak dipam masuk ke tangki kereta.

Bising juga bunyi pamnya. Berderum bunyinya, merisaukanku. Setelah bersusah payah memastikan amaun yang aku pam menepati sen terdekat, aku mengangkat muncung pam itu untuk memasukkan semula ke tempat asalnya. Setelah diangkat, bunyi deruman tadi masih belum hilang.

Kulihat cangkuk untuk meneruskan pengepaman minyak masih lagi berada di takuknya. Seperti kebiasaannya, aku mengepam sedikit untuk melepaskan cangkuk tadi. Namun tanpa kusedari, akhirnya minyak terpancut! Nasib baik ke depan, kalau ke seluar dan kakiku, tak tahulah macam mana. Hisyk.. nasib baik tak ada orang nampak. Rupanya tuil tadi hendaklah diturunkan dulu barulah pam berhenti. Setelah diturunkan, tiada lagi bunyi deruman itu.

Oh, begitu rupanya.. Penat saja mengepam ke sen terdekat tadi. Yang tertumpah tadi adalah 16 sen.. Bayar sekali dengan yang tumpah..

1 ulasan:

  1. sama lah kita,
    generasi yang mengepam masuk minyak kete sendiri..
    pernah gak jumpa pam macam ni kat kulai..
    tapi hubby yang isi..pun kena minta tolong baru tahu camner nak isi...
    yus ni kira untung gak, hubby tak bagi yus turun isi minyak kete kalau dia yang drive..
    bila tanya nape, dia kata sebab sayang..hmmm boleh ler tu...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...