11 April 2009

Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. VI

11 Feb 2009

Selepas berehat dan hemat diri, kami dibawa ke Pantai Kamala untuk makan malam dan seterusnya menyaksikan acara kemuncak kami iaitu pertunjukan Phuket Fantasea. Seperti diperkatakan sebelum ini, jarak antara resort yang kami inap adalah jauh dari tempat-tempat tarikan utama. Jarak dari tempat kami iaitu Pantai Karon ke Pantai Kamala, di mana pertunjukan Phuket Fantasea berlangsung memakan masa hampir 45 minit. Kepenatan aktiviti-aktiviti luar petang tadi masing belum hilang, sampai aku tertidur di dalam van.

Namun, apabila sampai ke sana, keterujaan untuk menyaksikan pertunjukan yang dikatakan terbaik di Phuket ini membuatkan rasa penat hilang. (Inilah satu-satunya pertunjukan sebegitu di sini, maka terbaiklah itu..) Kami diberikan tiket oleh ejen. Di dalam tiket itu ada beberapa tempat di dalam kawasan Phuket Fantasea yang boleh kami pergi. Kami masuk dan tiket kami ditebuk lubang tanda sudah melalui satu titik pemeriksaan. Pada tiket itu, terdapat juga sehelai pelekat yang perlu ditampal di dada untuk memudahkan pengecaman tempat duduk semasa pertunjukan nanti.

Tiket masuk terdapat dua jenis iaitu untuk pertunjukan Phuket Fantasea sahaja dan satu lagi yang termasuk dengan buffet makan malam. Kami diberikan tiket yang ada buffet. Di sini, buffet diadakan di sebuah restoran yang besar, yang dapat memuatkan 4000 tempat duduk, dipanggil Restoran Golden Kinnaree. Walau bagaimanapun, kami disediakan tempat lain untuk makan malam kerana kami ada acara persendirian iaitu majlis penyampaian hadiah untuk pemenang team building petang tadi dan juga untuk pemenang pertandingan golf. Sambil makan, kami ketawa terbahak-bahak melihat aksi-aksi sendiri yang lucu semasa pertandingan team building petang tadi.

Selepas makan, kami bergerak ke Teater Istana Gajah, iaitu tempat di mana pertunjukan Phuket Fantasea diadakan. Pintu ke dewan pertunjukan dibuka jam 8.30 malam manakala pertunjukan yang memakan masa lebih kurang 1 jam setengah bermula pada jam 9.00 malam. Kami masuk awal kerana tidak mahu terlepas menyaksikan pertunjukan yang pernah memenangi banyak anugerah pelancongan ini.

Sebelum masuk, kami dikehendaki menyerahkan kamera dan telefon bimbit berkamera kerana pengambilan gambar atau video tidak dibenarkan di dalam dewan pertunjukan. Sistem yang diadakan untuk menyerahkan kamera atau telefon bimbit sungguh teratur. Pekerja mereka begitu teliti memegang barang-barang yang ditinggalkan dan sekeping tag berwarna diberikan kepada pengunjung untuk memudahkan pengambilan semula barang-barang yang ditinggalkan nanti. Fikirku bagus juga mereka tidak membenarkan mengambil gambar. Nanti flash yang berkelipan pastinya mengganggu keseronokan menyaksikan pertunjukan.

Berdasarkan pelekat yang ada di dada kami, para pekerja di sini membantu mencari tempat duduk kami di dewan besar yang boleh memuatkan 3000 penonton. Apabila masuk, terasa betul keterujaan kerana rekabentuk dewan ini yang membolehkan para penonton merasa mereka berada di tengah-tengah persembahan, bukannnya persembahan tipikal yang penonton duduk di bawah menyaksikan persembahan di atas pentas.

Tidak jauh dari tempat kududuk, ada satu laluan untuk gajah semasa persembahan nanti. Tidak sabar rasanya melihat gajah yang besar berjalan di tengah-tengah para penonton yang duduk. Di situ ditulis satu peringatan supaya penonton tidak menyentuh gajah kerana bakal mengganggu gajah tersebut. Iskh.. takut juga kalau-kalau gajah itu mengamuk..

Tidak lama menunggu, persembahan pun bermula. Gajah-gajah beserta juruiring gajah dan para pelakon mula masuk ke pentas. Kumpulan gajah-gajah itu berpecah dua. Satu kumpulan terus ke tepi pentas di sebelah kiri manakala yang satu lagi bergerak ke laluan di tengah-tengah penonton tadi. Wah, sungguh teruja aku melihat gajah-gajah yang besar yang membawa buah-buahan persembahan olok-olok lalu di hadapan kami. Gadingnya memang panjang dan di atas kepalanya duduk pengemudi gajah yang sememangnya mahir.



Persembahan lebih kepada lagenda Putera Kamala dengan gajah saktinya. Di samping persembahan di atas pentas, persembahan juga banyak yang melibatkan aksi terbang oleh para pelakon yang mahir dalam akrobatik. Misalnya watak Putera Kamala yang boleh boleh duduk bersila 'terapung' di atas gajah. Aksi berkelahi antara Putera Kamala dengan watak jahat juga banyak yang terbang dan berpusing di udara. Watak pari-pari yang terbang meninggalkan pentas mengujakan penonton kerana 'terbang' di atas para penonton, betul-betul di atas kepala kami sambil melambai-lambaikan tangannya.



Selain daripada cerita legenda Putera Kamala, ada juga persembahan tarian tradisional rakyat Thai yang menceritakan pelbagai etnik yang ada di Thailand. Di samping itu, ada juga persembahan silap mata yang mengagumkan. Kucuba untuk mencari helah mereka tetapi sudah ditutup dengan baik.



Namun awas bagi yang duduk dekat dengan pentas kerana anda bakal ditarik ke atas untuk membantu persembahan mereka. Mereka mencari dua orang penonton. Seorang boleh turun semula ke bawah setelah beberapa persembahan ringan manakala seorang lagi akan ditarik semula ke atas untuk satu aksi ngeri iaitu memotong badan menjadi dua kerat dengan gergaji gersasi yang ligat berpusing. Kulihat seorang gadis yang menjadi 'mangsa' hampir menangis. Beberapa kali dia diacah boleh turun ke bawah namun ditarik semula ke pentas. Pun begitu, bukankah ini satu pengalaman mengujakan? Dia juga diberikan beberapa cenderahati buat kenang-kenangan.



Untuk memberikan lebih kesan kepada penonton, segenap ruang di dalam dewan digunakan untuk persembahan. Ini adalah satu keunikan Phuket Fantasea berbanding pertunjukan teater klise yang lain. Para pelakonnya sememangnya ramai. Apabila babak bergaduh, segenap pentas digunakan untuk bertarung antara watak baik dengan watak yang jahat. Ini termasuklah pentas di sisi kiri dan kanan dewan yang dilalui gajah ke pentas. Begitu juga dengan persembahan tarian yang menggunakan pentas di sisi dewan tersebut.



Di bumbung dewan betul-betul di atas kepala para penonton juga tidak disia-siakan. Di situ diadakan persembahan akrobatik yang menggunakan tali sambil melompat di atas udara. Kostum pelakon akrobatik tersebut bersinar ungu di dalam gelap dan mereka memakai topeng yang matanya bercahaya merah. Nampak spooky atau menyeramkan namun tampak jelas aksi-aksi lincah mereka di udara.



Selain gajah, beberapa haiwan lain juga terlibat dalam persembahan. Antaranya di dalam babak penceritaan tentang kehidupan rakyat Thai, wanita dari Selatan Thai mengejar beberapa ekor ayam dengan jaring. Yang menariknya ayam-ayam tersebut sudah dilatih dengan baik dan mereka berlari ke satu arah sahaja iaitu ke tangga di sebelah kiri pentas, tidak seperti ayam-ayam di kampung yang akan berlari ke segenap arah kalau dihambat.



Begitu juga dengan kambing-kambing yang berlarian dikejar. Kambing-kambing tersebut berlari sambil melompat comel melepasi halangan daripada prop lakonan ke satu arah secara beramai-ramai. Sungguh unik kerana mereka mampu melatih haiwan yang dikategorikan sebagai kurang daya intelektual. Ada juga sekumpulan kerbau yang montok berkilat kulitnya dipancari cahaya dibawa ke atas pentas. Tanduknya yang tajam turut bersinar kesan pantulan cahaya pentas. Di samping itu, ada juga burung-burung merpati terbang di atas para penonton. Mereka kesemuanya terbang ke satu ruang di bumbung pentas. Suatu pengalaman menarik!

Untuk memberikan lebih impak kepada lakonan, ada juga prop yang langsung kita tidak fikirkan. Apabila babak hujan dan ribut, air pancut keluar dari bumbung turun ke pentas seperti hujan. Tempat air jatuh ke pentas terbuka untuk mengalirkan air ke bawah. Beberapa letupan turut digunakan. Aku kagum melihat gajah yang sudah terlatih masih tetap tenang walaupun letupan kuat berlaku dekat dengan telinganya.

Pun begitu, ada juga adegan yang tidak sanggup kita lihat. Seekor gajah besar sudah tidak tertahan lagi telah kencing di atas pentas semasa persembahan aksi pintar gajah. Air kencingnya umpama pili bomba pecah telah membasahi pentas. Malang kerana gajah tersebut sedang membuat bulatan dan air kencingnya membasahi pentas mengikut jejaknya. Pekerja pentas lantas mengelap dan menolak air kencing tersebut ke tepi namun tetap basah kerana terlalu banyak dan berceceran di beberapa tempat. Apakan daya, binatang tetap binatang sekalipun terlatih. Persembahan sedikit terganggu kerana pentas basah dan licin. Namun mereka tetap profesional dalam menjayakan lakonan mereka.

Setelah habis persembahan, aku puas kerana dapat melihat satu persembahan unik dan menarik. Sesetengah rakan-rakan mengatakan ini persembahan membosankan dan terlalu lama. Mereka tidak sukakan banyak persembahan kebudayaan. Bagiku, letak persembahan kebudayaan ke tepi, fokuskan kepada keunikan-keunikan lain.

Kami mengambil semula kamera dan telefon bimbit kami. Sungguh efisyen mereka bekerja kerana ada satu sistem yang membolehkan penonton mengambil semula barang-barang mereka dengan cepat walaupun ramai orang. Mereka membuka banyak kaunter dan membahagi-bahagikan barisan penonton mengikut warna tag yang diberikan semasa masuk tadi. Aku juga berkesempatan mengambil gambar dengan seekor gajah daripada persembahan tadi. Agak risau aku kalau-kalau gajah itu bertindak di luar kawalan namun ada penjaganya tetap di sisi.

Di kawasan Phuket Fantasea ini, ada beberapa tarikan lain. Antaranya Pengembaraan Hutan Harimau, Sarang Hanuman (Pusat Hiburan Similan), Persembahan Fatasi Kerajaan dan Lorong Membeli-Belah Kampung Karnival. Namun masa kami terlalu suntuk. Tidak sempat untuk pergi ke semua tempat itu. Barang-barang cenderahati juga banyak dijual di sini. Fikirku harganya pasti mahal di tempat-tempat begini, lalu aku tidak meninjau sangat. Namun menurut rakan yang telah membeli sesuatu, harganya memang berpatutan. Hmm.. rugi pula tidak pergi melihat dulu..

Malam pun sudah larut, aku pulang dudu ke hotel. Sudah penat.

Tamat sudah perjalanan ke Phuket atau Bukit..

Nota: Disebabkan kamera tidak boleh dibawa masuk, tiada gambar-gambar persembahan diambil. Gambar-gambar di atas diambil dari archives.scene4.com. Berikut adalah gambar-gambar diambil sendiri di luar:

From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


Entri-entri terdahulu:
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. I
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. II
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. III
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. IV
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. V

6 ulasan:

  1. emm..nak dapat baby baru yer..
    boleh selama nie tak perasan lilypie kat bawah tu..dah 37 minggu dah dekat tu..
    tahniah yer...
    semoga selamat semuanyer...

    BalasPadam
  2. dahsyat nya persembahan dorang...siap ada gajah2 lagi....rasa2 kalau duduk depan tuh boleh kena percikkan kencing gajah tak hehehhehe....tapi tak bestlah tak boleh ambik gambar..

    BalasPadam
  3. wow..kagum2! best eh event sane..kene g gak ni!

    BalasPadam
  4. hai..
    saya setiap hujung tahun pasti akan ke phuket ,tk pernah rasa jemu,tapi saya dan family akan drive dari penang ke phuket,pengalaman mmg menarik,terlalu panjang nk di cerikan di sini,phuket fantasea bagi saya mmg hapenning,tpi untk pertunjukan silap mata tu mmg kita dah kena tipu,heheh,perempuan rambut panjang yg kena kantoi dgn ahli silap mata kembar siam tu ,sebenarnya adalah 'org mereka' juga,hehehe kerana setiap tahun kami ke phuket,tu pasal lah tau skit2 citer,kedai cenderamata kt sana harga mmg berpatutan selain kuality brg yg baik,saya penah ke langkawi tapi ntah kenapa saya tk rasa 'setenang' di phuket,mungkin kerana sya juga berdarah siam (sebelah abah)tu pasal saya rasa siam tu mcm saudara kot,hehehe...

    BalasPadam
  5. niza, hehe.. kalau tak pergi lebih sekali takkan tahu kan.. isyk.. mati2 igt penonton jugak.. :)

    BalasPadam
  6. hai...
    selain phuket koh samui juga best,tapi yg susah nya kt sana ,makanan halal agak sukar di temui,kalau nk beli mee segera pun kena hati,sbb ader perisa khinzir,restauran makanan segera lagi kan tak halal,diphuket skg dh byk makanan halal kerana pelancong dari arab dh banyak kesana,hehehe satu lagi yg menarik,bab mat2,mek2 salah kat sana yg suka berbogel tk heenggat ...huhhh memula tu juling biji mata,tapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa...hmmm

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...