24 April 2009

Pemandu Subang Kurang Kesopanan?

Lama juga kumengamati berkenaan ini, mungkin juga sedikit kontroversi. Kudapati pemandu-pemandu yang tinggal di Subang dan USJ agak kurang kesusilaan di jalan raya. Hari Sabtu biasanya selepas kelas, aku biasa memandu ke sana untuk berjumpa kawan ataupun membeli lauk tengah hari di sana, di samping mengelak tol LDP Sunway untuk ke Puchong.

Kalau memandu di sini, kenderaan semuanya agak laju. Kalau berlaku kesesakan, untuk menukar lorong pastinya agak sukar kerana para pemandu tidak mahu memberikan ruang. Masing-masing mementingkan diri sendiri.

Mungkin ada mengatakan ini adalah tidak benar. Namun aku ada pengalaman lain. Dulu, aku tinggal di Keramat. Sungguhpun tidak jauh dari pusat bandaraya, perjalanan ke sana di waktu puncak agak memakan masa juga. Pun begitu tidaklah terlalu teruk kerana trafik masih bergerak hasil tindakan efisyen pihak polis trafik di samping sikap para pemandu sendiri.

Di sekitar Ulu Kelang dan Ampang, pemandu tidak tergesa-gesa. Kalau yang mahu 'mencilok' di depan, masing-masing memberikan ruang. Tiada bunyi hon. Kalau dua lorong bercantum, satu demi satu kereta bersilih ganti bergerak ke depan. Masing-masing rileks kerana semua orang mahu ke tempat kerja.

Di Subang, gaya pemanduan sama seperti di JB. Kufikir ada satu teori untuk ini. Kalau yang tinggal jauh dari tempat kerja, mereka pastinya tergesa-gesa dan tidak langsung memberikan ruang untuk orang lain kerana bakal lambat. Di JB, ramai yang mahu ke Singapura dan terpaksa melalui kesesakan teruk di Tambak Johor. Yang dekat dengan tempat kerja pula lebih santai dan tidak perlu tergopoh-gapah. Namun yang tidak enaknya, tabiat tergesa-gesa ini terbawa-bawa ke hujung minggu. Hendak masuk ke simpang di depan saja namun memandu laju seolah-olah mahu ke JB!

Tempat lain bagaimana? Kunantikan komen anda semua..
Dicatat oleh stROZze pada Jumaat, April 24, 2009 |  
Label:

10 komen:

Entri-Entri Berkaitan Mengikut Label



Widget oleh Hoctro | Jack Book

Langgan: Catat Ulasan (Atom)