09 Jun 2009

Mabuhay Pilipinas Bhgn. I - Permulaan Perjalanan

29 Mac 2009

Sebenarnya perjalanan ke Filipina ini sudah lama hendak direncanakan, cuma tiada justifikasi kukuh mahu kuberikan kepada pihak pengurusan. Lagipun, di sana bukanlah satu tempat yang ‘mesra makan’.

Setelah bertangguh-tangguh kerana komitmen lain, akhirnya rancanganku ke sana telah berjaya. Mudah pula kumendapat kelulusan walaupun pada mulanya kusangka pelbagai persoalan akan ditanya.

Seperti biasa, pemandu teksi Limo KLIA yang biasa kunaik itu datang ke rumah di awal pagi. Namun hari ini tidak seperti yang sudah-sudah, dia datang sedikit lewat. Katanya ada kesesakan lalulintas di tol LDP ke Putrajaya. Katanya, lebih baik menggunakan jalan alternatif kerana kesesakan bakal melambatkan perjalanan ke KLIA.

Kami telah mengambil keputusan untuk menggunakan Lebuhraya ELITE. Kalau dengan kereta biasa, kena bayar tol lebih. Kalau melalui Putrajaya dari Puchong, hanya bayar tol sekali di LDP dan seterusnya menggunakan jalan biasa melewati Dengkil hingga ke Jalan KLIA-Nilai. Dekat, cepat dan murah. Namun, tidak mengapa, teksi bukannya kisah sangat kerana mereka membayar separuh harga tol dan masa itu memang emas buat pemandu teksi. Lagi banyak perjalanan dibuat, makin banyak yang 'masuk'.

Sedang kami di dalam teksi, kedengaran laporan kesesakan lalulintas tadi adalah disebabkan oleh satu kemalangan dan kenderaan-kenderaan terlibat masih belum dialihkan. Nasib baik dia melalui laluan bertentangan dengan laluan yang bakal kami lalui ke KLIA. Kalau tidak, alamat terperangkaplah kami. Tidak dapat kubayangkan betapa resahnya aku memikirkan bakal tertinggal kapal terbang, lebih-lebih lagi ‘makan percuma’ di KLIA nanti! Itu yang kukempunan semasa perjalanan ke Vietnam tahun lepas gara-gara rakan yang membawa tiketku kelewatan.

From Philippines Trip - Manila
KLIA di awal pagi.


Kami sampai tepat pada waktu jangkaan di KLIA, iaitu dua jam lagi sebelum penerbangan. Tidak perlulah tergesa-gesa mendaftar masuk. Di KLIA sekarang, daftar masuk untuk ke negara-negara ASEAN disediakan kaunter berlainan daripada kaunter daftar masuk ke destinasi-destinasi luar negara lain. Jadi tidaklah sesak sangat.

Selepas mendaftar masuk, kubeli dulu apa-apa yang patut termasuklah Panadol di kedai Pusrawi berhampiran kaunter daftar masuk. Manalah tahu di sana nanti kesukaran mencari yang ubat-ubat yang halal. Proses-proses pemeriksaan keselamatan dan imgresen juga lancar hari ini. Tidak ramai penumpang kelihatan. Aku pergi sarapan ‘percuma’ dulu.

Kuberharap pintu penerbangan tidaklah jauh di Terminal Satelit namun setelah melihat kepada boarding pass, rupanya ke sana juga. Mana-mana pintu bermula huruf C itulah jauh di sana. Pintu C adalah untuk penerbangan antarabangsa. Ada juga yang berlepas di Pintu B yang terletak di bangunan utama terminal.

Dulu semasa pulang dari Kota Kinabalu (KK), pesawat berhenti di Pintu C kerana pesawat yang kunaiki memulakan perjalanan dari Narita, Jepun dan transit di KK. Semasa berjalan untuk mengambil bagasi, kuterfikir bagaimana untuk melepasi Imigresen nanti. Bukannya kubawa pasport kerana aku dari KK. Setelah melihat penumpang lain berjalan dulu di depan, rupanya aku hanya perlu ke kaunter dan beritahu yang aku berlepas dari KK sambil menunjukkan boarding pass.

Untuk ke Terminal Satelit, para penumpang hendaklah mengambil Aerotrain, yang seperti LRT. Kebetulan semasa aku berjalan ke Aerotrain, sebuah koc yang ke Terminal Satelit yang sudah pun mahu berjalan. Lalu kukejar dan nasib baik sempat masuk.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan di luar tingkap semasa menaiki Aerotrain.


Sampai di Terminal Satelit, terasa semua orang agak santai. Tidak tergesa-gesa. Sempat kuambil beberapa keping gambar. Apabila sampai di pintu, penumpang-penumpang sudah mulai masuk ke pesawat. Tidak banyak orang kelihatan. Mungkin juga kerana sudah ramai yang masuk dan aku pula memang dari awal bercadang untuk masuk lambat sedikit.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan di ruang legar Satelit Terminal.


Sepanjang perjalanan, aku kebosanan seperti biasa. Mahu mengambil gambar namun awan-awan tebal terus-menerus menyelubungi bumi di bawah. Cuma di awal perjalanan, dapatlah mengambil gambar-gambar bandaraya KL sementara pesawat belum naik tinggi lagi.

From Philippines Trip - Manila
Panorama Kuala Lumpur dan Lembah Kelang dari atas.


Disebabkan perjalananku bakal mengambil masa sehari suntuk hari ini, kumemikirkan bagaimana untuk bersolat. Kubertolak dari KLIA pada waktu pagi, bakal sampai ke Manila apabila petang bermula dan seterusnya meneruskan perjalanan lagi ke Cebu setelah transit beberapa jam di Manila. Pastinya aku bakal sampai ke Cebu setelah malam.

Kufikir lebih baik kutunggu saja lebih kurang setengah jam sebelum waktu sampai untuk bersolat di dalam kapal terbang. Namun akhirnya kudapati waktu itu sebenarnya kurang sesuai. Kulihat kapten kapal terbang keluar dari ruangan yang selalu diduduki para pramugara dan pramugari sambil membawa sejadah. Hendak kubersolat di sana juga tetapi mungkin sudah agak lambat. Semasa kuberjalan ke lavatori pun lampu untuk memakai tali pinggang keselamatan sudah pun dinyalakan.

From Philippines Trip - Manila
Sambil kebosanan, terpaksalah layan lagu Rain. Kudapati banyak lagu-lagu artis Korea semuanya macam gaya rap. Namun yang sedap didengar tentulah lagu-lagu dramanya..


Sewaktu aku berada di dalam lavatori untuk mengambil air sembahyang, kedengaran pintu diketuk beberapa kali oleh seorang pramugari untuk memeriksa kalau-kalau ada orang di dalam. Aku tidak menyahut kerana sedang mengambil air sembahyang dan fikirku pramugari itu bakal berlalu sekejap lagi. Namun dia membukanya dari luar melalui satu kunci rahsia yang para penumpang tidak tahu. Nasib baik aku sedang mengambil air sembahyang, kalau buat yang lain, tidak tahulah apa bakal berlaku.. Tidak habis-habis si pramugari itu meminta maaf. Fikirnya, kapten tadi masih lagi berada di dalam.

Aku bersolat saja di kerusi. Seusai solat, pesawat sudahpun memulakan penerbangan turun. Sekejap saja, panorama pantai di Pulau Luzon, iaitu pulau yang menempatkan Metro Manila, sudah kelihatan. Banyak kawasan pertanian berada di sepanjang gigi air. Petempatan mulai padat apabila pesawat terus bergerak menghampiri lapangan terbang. Terlalu banyak rumah yang dibina seolah-olah tidak cukup tanah dan ada yang dibina di atas air.

From Philippines Trip - Manila
Sebuah petempatan padat berhampiran laut di Pulau Luzon, Filipina.


Setelah pesawat turun hampir ke bumi, maka nampaklah panorama Metro Manila yang luas terbentang. Kelihatan sekelompok pencakar langit terserlah berbanding bangunan-bangunan lain yang lebih rendah. Khabarnya itulah Bandaraya Makati yang menempatkan daerah pusat perniagaan (CBD), yang juga bakal menjadi tempat kumenginap sekembalinya dari Cebu nanti. Sebatang lebuhraya turut kelihatan merentasi kawasan pinggir kota berdekatan dengan gigi air.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan semasa pesawat mulai turun ke landasan. Kelihatan sebatang lebuhraya merentasi pinggir Metro Manila.


Terasa berdebar pula kerana pertama kali sampai ke Filipina ini. Tidak banyak yang kuketahui tentang Filipina ini. Aku berkeseorangan ke sini namun kubernasib baik kerana ada orang bakal menjemputku nanti.

…bersambung…

From Philippines Trip - Manila
Sampai ke Lapangan Terbang Ninoy Aquino, Manila. Nun kelihatan di belakang adalah kelompok pencakar langit Bandaraya Makati yang menempatkan CBD.

Entri berkaitan:

Tuntutan Sultan Sulu ke Atas Sabah

4 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Salam...
    Best baca intro ke filipins ni. Best baca cara strozze solat dalam plane. Bagus tu strozze, kalau kita ingat Allah, Allah akan ingat kita. Moga sentiasa dalam pengawasan Allah walau di bumi mana berada...

    BalasPadam
  3. Seronok jalan-jalan ye. Dari dulu sampai sekarang mesti banyak cerita jalan2 tu...

    BalasPadam
  4. patut lama tak update..
    gi jalan jauh rupanyer..
    ada kawan yer kat sana..

    memang susah nak dapat yang halal kat sana..
    diorang makan macam2..

    tak sabar nak baca selanjutnyer

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...