06 Julai 2009

Mabuhay Pilipinas Bhgn. II - Sampai di Manila

29 Mac 2009

Semasa sampai, aku merupakan di antara orang pertama yang keluar dari pesawat. Sebelum perjalanan, kudikhabarkan ada seseorang bakal membawa sepanduk dengan kependekan namaku tertulis di atasnya iaitu “MKRS”. Aku tidak tahu di mana orang itu bakal menungguku.


From Philippines Trip - Manila
Sebuah pesawat Boeing 747 milik Philippines Airlines bergerak untuk berlepas.


Kuberjalan saja menuruti beberapa orang yang keluar dahulu di depanku. Tidak jauh dari pintu pesawat, kelihatan ada seseorang telah sedia menunggu dengan sepanduk tertulis sebuah nama. Kulihat yang tertera itu bukannya kependekan namaku tetapi ditulis “Mr. ‘Bapaku’”. Takut pula kalau-kalau ada juga orang lain yang bernama Mr. “Ayahku” itu dan dia sedang menunggu orang lain. Namun gerak hatiku mengatakan itu pastinya aku. Lalu kumendekatinya dan bertanyakan siapa yang sedang ditunggunya. Untuk kepastian, kutanya nama syarikat orang yang dicarinya dan jawapannya memang tepat sekali, itulah nama syarikatku dan akulah orang yang mahu dijemput.

Sebelum aku ke sini, aku telah diberitahu yang namanya Boy Katigbak. Boy pertengahan usia. Dia kelihatan begitu mahir sekali dengan selok-belok di sini. Semasa di pemeriksaan imigresen, dia membawa pasportku untuk diberikan kepada pegawai bertugas. Dia memberitahu pegawai di situ yang dia mahu membawaku.

Apabila pegawai tersebut mahu bertanyakan sesuatu daripadaku, maka bermula satu episod tidak sudah sepanjang aku berada di Filipina iaitu semua orang bercakap Tagalog denganku! Pegawai itu bercakap denganku di dalam bahasa Tagalog, iaitu bahasa kebangsaan rakyat Filipina yang terdiri daripada berbagai-bagai dialek itu. Sedang aku tercengang untuk menerangkan kepadanya, Boy dengan cepat-cepat mencelah yang mengatakan aku orang Malaysia. Lalu pegawai tersebut mengangguk tanda faham dan bercakap Inggeris denganku.

Kerana mukaku, muka orang Melayu yang rata-ratanya mirip orang Filipina, maka mereka akan menganggap orang Melayu juga orang Filipina. Sebenarnya orang Filipina juga adalah sebahagian rumpun Melayu, cuma agama mereka berlainan daripada majoriti rumpun Melayu yang lain iaitu Kristian berbanding majoriti yang beragama Islam, kecuali di wilayah Selatan di Mindanao yang beragama Islam. Orang Asli di Taiwan yang terletak di utara Filipina juga termasuk dalam rumpun Melayu. Penghijrahan besar-besaran orang-orang Cina Han dari Tanah Besar China telah merubah majoriti penduduk di pulau Taiwan.

Sedang kuberjalan ke kereta yang juga menungguku, kubertanyakan Boy sama ada dia juga bekerja di dalam syarikat kubekerja di sana namun katanya, dia sebenarnya adalah pekerja lapangan terbang. Oh, begitu rupanya. Sangkaku dia juga bekerja sama dengan syarikatku. Dia telah menerima arahan daripada syarikatku untuk menjemputku.

Yang menungguku di kereta itu namanya Hengson Juan (sebut Huan, bukan Juan kerana ini sebutan Sepanyol yang telah melekat tebal pengaruhnya di dalam penduduk Filipina). Hengson atau Heng bakal menjadi pemanduku sepanjang aku di sini kecuali di Cebu nanti yang ada orang lain bakal membawaku di sana. Terasa seperti VIP pula.. Heng bekerja dengan pihak ketiga yang menawarkan khidmat kenderaan kepada syarikat aku bekerja di sana.

Dia sungguh profesional. Sebelum memulakan perjalanan, dia menyuruhku memakai tali pinggang keledar dulu sungguhpun kududuk di belakang. Aku terlupa untuk memakai sebenarnya. Ini juga prosedur menaiki kenderaan syarikat aku bekerja. Kataku, kerajaan Malaysia juga sudah menguatkuasakan peraturan ini.

Hengson membawaku ke terminal domestik, Centennial dari terminal antarabangsa, tempat pesawat dari KL mendarat. Trafik agak sesak dan bergerak perlahan. Namun aku punya waktu lebih daripada yang sepatutnya. Aku mendarat jam 2.10 petang dan pesawatku ke Cebu pula berlepas jam 5.30 petang nanti. Jenuh juga hendak kumenunggu nanti.

Di atas jalan, kelihatan di merata-rata ruang jalan ada kenderaan awam yang popular yang menjadi ikon Filipina iaitu jeepney. Jeepney asalnya kenderaan peninggalan tentera Amerika dulu dan kini dijadikan pengangkutan awam. Jeepney sememangnya nadi seharian para penduduk Filipina.

From Philippines Trip - Manila
Jeepney ada di merata-rata tempat di Filipina.

From Philippines Trip - Manila
Jeepney adalah kenderaan awam yang mudah, cepat dan murah serta tidak berhawa dingin.


Aku bersembang pendek dengan Heng, bertanyakan kesesakan trafik di Metro Manila. Katanya,


“Always traffic here.“
(“Selalu trafik di sini.”)

“Hmm..” aku menjawab sambil menunggu dia menghabiskan ayatnya kerana aku tidak faham. Dia bagaimanapun berhenti, diam. Lalu aku bertanya pula,

“Traffic?“
(“Trafik?“)

Jawabnya,

“Yes.“
(“Ya.“)

Aku pelik. Tanyaku lagi,

“Do you mean traffic jam?“
(”Maksud awak kesesakan lalulintas?”)

Dijawabnya ya. Oh, baru kufaham rupanya “traffic” merujuk kepada “traffic jam”. Di dalam loghat Inggeris Filipina, trafik bermaksud kesesakan lalulintas. Kataku, di Malaysia dipanggil “jam”. Barulah dia faham dan aku pun faham juga..

From Philippines Trip - Manila
Trafik padat di atas jalan di Manila.


Sedang kenderaan kami mengengsot-engsot, kelihatan sebuah teksi berhenti di bahu kanan jalan. Di sini bukan di kiri jalan seperti tempat kita kerana trafik di sini mengikut pengaruh Amerika iaitu memandu di sebelah kiri dan jalan mesti ikut kanan. (Jangan pening ya… :-)   ) Di atas kaki lima berdekatan dengan teksi itu berhenti pula kelihatan satu pondok kecil seperti pondok telefon, mempunyai penghadang di sekelilingnya. Pintu masuk berpenghadang dua lapis dan berjarak di antara kedua-duanya sebagai laluan masuk supaya tidak kelihatan dari luar. Penghadang itu bermula separas lutut dan naik tinggi melepasi kepala. Pondok itu pula tidak berbumbung.

Apabila kenderaan kunaiki dekat dengan pondok itu, rupanya itu bukan pondok telefon tetapi tempat kencing lelaki! Sesiapa yang tidak tahan lagi semasa terperangkap di dalam kesesakan lalulintas bolehlah melepas di situ. Memang kurang sopan! Semasa melalui di situ, ternampak ‘air’ mengalir menuruni tiang utama di dalam.. Eiii… sudahlah tidak dibilas..

..bersambung..

Entri terdahulu:
Mabuhay Pilipinas Bhgn. I - Permulaan Perjalanan

6 ulasan:

  1. amboi ke filipin pulak...syoknya.

    huhu ada jugak toilet segera cam tu yer ish ish ish

    BalasPadam
  2. Salam strozze...
    Baca intro post kali ni terkenang akak dulu pun ada orang tunggu dengan sepanduk bertulis 'FZI' kat luar pintu pesawat, kena follow dia untuk masuk pesawat lain *masa tu flight ke Taipei, Taiwan* ... :p

    BalasPadam
  3. Bro sanggup ke buang air kat toilet mcm tu. Itulah namanya pengalaman, lain tempat lainlah budayanya kan...

    BalasPadam
  4. huhuhu nak baca tp pc ni buat hal page asyik urun naik walau pun x usik apa2.... pening pala nak baca.... tulun... sesapa boleh tulun....

    nampaknya kena tunggu naik opis la baru blh baca blog ni.... huhuhuhu

    BalasPadam
  5. seronok kan tgk neg org..

    bas dia tu unik la.. heheh..

    BalasPadam
  6. kalau tgk kat tv ..
    orang philippines ni cakap inggeris loghat spanish kan..

    setiap negara ader jer cara yang berbeza dengan kita

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...