08 Julai 2009

Mabuhay Pilipinas Bhgn. III - Perjalanan dari Manila ke Cebu

29 Mac 2009

Sekejap saja kami sudah pun sampai ke terminal domestik kerana lokasinya yang sangat dekat. Heng menurunkanku di depan pintu masuk utama. Selepas mengucapkan selamat jalan dan terima kasih buat Heng (sebelum bertemu lagi nanti), aku berkeseorangan di situ.

Berpusing-pusing aku di situ mencari arah tuju. Papan tanda di situ agak mengelirukan. Ku tidak tahu di mana kaunter daftar masuk. Lalu aku bertanya orang di situ. Sebelum sempat aku bertanya, dia sudahpun menunjukkan arah kaunter sambil bercakap Tagalog denganku. Aku menyapanya dengan memberitahu aku tidak bercakap Tagalog. Barulah dia tersengeh dan bercakap Inggeris.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan di kaunter daftar masuk di terminal domestik Centennial, Manila.

Urusan mendaftar masuk berjalan lancar dan cepat kerana tidak ramai orang di kaunter. Selepas mendaftar masuk, barulah kusedar yang aku mesti membayar cukai lapangan terbang dulu sebelum masuk ke pemeriksaan keselamatan. Eh, bagaimana ini? Aku langsung tidak membawa matawang Peso kerana aku mahu mengeluarkannya melalui mesin ATM sahaja. Mesin ATM pula langsung tidak kelihatan.

Dalam keadaan tidak tahu hendak membuat apa-apa itu, kumenelefon seorang rakan dari sana untuk bertanyakan bagaimana hendak menyelesaikan masalahku ini. Katanya tiada mesin ATM di situ tetapi ada kaunter pengurup wang. Boleh menukarkan duit ke Peso di situ. Ah, lega rasanya. Aku bernasib baik kerana aku ada membawa matawang Dolar Amerika. Tidak tahu pula kalau Ringgit boleh diterima di sini. Fikirku, mungkin tidak dan aku pula tidak bertanyakan hal ini kepada pengurup wang tadi.

Semasa pemeriksaan keselamatan, lagu lagi insiden berlaku. Kali ini melucukan. Setelah aku selesai meletakkan begku di atas conveyor, aku mahu berjalan masuk melalui gerbang mesin pengesan namun aku telah ditahan oleh pegawai bertugas di situ dan menyuruhku berpatah balik. Dia bercakap Tagalog lagi. Kumenuruti saja arahannya berdasarkan bahasa badannya.

Yang aku faham dia menyuruhku berpatah balik dan menggunakan laluan pemeriksaan keselamatan yang lain. Lalu aku menggunakan laluan di sebelah. Sekali lagi seorang pegawai di situ menyuruhku berpatah balik. Dia berbahasa Tagalog juga. Namun kali ini aku dapat menangkap apa yang diperkatakan olehnya. Kudengar,

“Sepatu! Sepatu!“

Oh, kena buka sepatu atau kasut sebenarnya.. Aku tersengih saja. Aku pelik juga kenapa aku tidak dibenarkan masuk tadi. Bahasa Tagalog sebenarnya mempunyai banyak perkataan yang sama dengan Bahasa Melayu. Namun setelah diperiksa dengan kawanku, bukan sepatu tetapi “sapatos“ (tapi lebih kurang sama, kan..)

Setelah pemeriksaan keselamatan, aku terus ke ruang menunggu. Terasa betapa bosannya menunggu kerana aku ada lebih dua jam lagi untuk berlepas. Ruang menunggu pula tidaklah selesa sangat. Untuk makan harus memilih yang halal sahaja. Aku menghabiskan masa dengan membaca surat khabar saja. Di sini, balik-balik berita pasal pemisah Mindanao dan penculikan warga asing.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan di balai berlepas di terminal domestik Centennial, Manila.

From Philippines Trip - Manila
Antara gerai makanan yang ada di terminal domestik Centennial, Manila.

From Philippines Trip - Manila
Antara kemudahan yang disediakan di terminal domestik Manila iaitu stesen laptop.

From Philippines Trip - Manila
Pandangan ke luar dari terminal domestik Centennial, Manila.

Pesawat berlepas tepat jam 5.30 petang. Ramai betul orang yang mahu ke Cebu. Rata-ratanya berpakaian ringkas dan membimbit banyak barang. Macam naik bas saja. Yalah, Filipina terdiri daripada pelbagai pulau, maka mod pengangkutan adalah terhad dan kapal terbanglah menjadi pengangkutan paling efisyen. Seperti juga orang Sabah dan Sarawak yang berulang-alik ke Semenanjung.


From Philippines Trip - Manila
Pemandangan cantik Bandaraya Makati di Metro Manila yang menempatkan daerah pusat perniagaan.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan Metro Manila dari atas pesawat.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan dari atas pinggir Pulau Luzon, Filipina.

From Philippines Trip - Manila
Pelangi petang mengiringi perjalanan ke Cebu, Filipina.

Aku seperti biasa, kebosanan di dalam pesawat. Makanan yang disediakan juga tidak halal. Aku minum saja. Pesawat sampai di sana tatkala hari sudah pun gelap iaitu sekitar jam 6.55 petang. Pemandangan Bandaraya Cebu yang terletak dekat dengan laut sangat cantik dari atas namun apakan daya, kualiti gambar kameraku tidak cantik sewaktu gelap. Tidak dapatlah kumengabadikan pemandangan indah ini.

Sewaktu menaiki teksi ke hotel, rakanku yang sedang menunggu untuk makan malam telah menelefon untu bertanya di mana keberadaanku. Kataku sebentar lagi akan sampai. Pun begitu, terasa lama pula hendak sampai ke hotel. Maklumlah, kalau tempat yang kita tidak ketahui, kita akan terasa amat lama untuk sampai.

Semasa teksi menurunkanku di lobi hotel, terjadi satu peristiwa. Hotel yang kuinap mengenakan kawalan sangat ketat dek kejadian-kejadian jenayah yang agak berleluasa yang biasanya ditujukan kepada orang-orang Barat. Sedang aku hendak keluar dari teksi, pemandu teksi itu terlebih dahulu keluar dan mengambil beg bagasiku dari bonet lalu diletakkan di depan pengawal keselamatan. Selepas aku menggalas beg laptopku dan berpaling, kelihatan seekor anjing sedang menghidu dan menggeselkan badannya ke beg bagasiku itu. Ah, sudah! Bagaimana aku hendak samak nanti?!

Pengawal keselamatan itu kemudian menyuruhku menurunkan beg laptopku dari galasanku sedikit supaya anjing tersebut dapat menghidu tetapi aku menurunkan beg laptopku itu jauh sedikit dari mulut anjing. Selepas anjing tersebut berlalu tanda tiada apa-apa barang terlarang di dalam begku, pengawal tersebut mempersilakanku masuk. Sedang aku mendaftar masuk ke hotel, kurunsing memikirkan tentang beg-beg aku itu. Biarkan dulu, fikir kemudian nanti. Kalau yang mahu ke Cebu itu, kalau tidak mahu beg-beg anda dihidu anjing, elakkan menginap di Hotel Marriott Cebu..

Setelah hemat diri, rakanku menjemput aku untuk makan malam. Mulanya dia berkata susah untuk mencari makanan halal namun dia berjanji untuk berusaha sampai dapat. Dia bertemu satu restoran Parsi yang bernama Persian Palate yang menyediakan makanan halal. Restoran ini yang satu-satunya yang menyediakan makanan halal di sekitar kawasan ini menjadi tumpuan orang-orang Islam terutamanya para mahasiswa Arab yang menjalani projek pertukaran pelajar di sini. Rakanku mengatakan mereka itu sudahpun tua tapi masih belajar lagi. Bagiku, tidak mengapa. Bila-bila saja boleh belajar.

Restoran ini terletak di sebuah pusat membeli-belah yang terletak hanya bersebelahan dengan hotel tempat kumenginap. Untuk masuk ke pusat membeli-belah tersebut, pemeriksaan keselamatan juga ketat. Ada dua laluan masuk, satu untuk lelaki dan satu untuk wanita. Setiap orang diperiksa dengan alat pengesan logam atau senjata. Bercakap tentang pengasingan laluan lelaki dan wanita ini, sewaktu di Kelantan melaksanakan peraturan ini, ada sesetengah orang mempertikaikannya. Mereka ini sungguh sinis dengan peraturan Islam. Di Filipina yang majoritinya beragama Kristian ini pun ada membuat peraturan yang sama.

Khabarnya pemeriksaan lebih ketat pada malam ini kerana ramai orang datang untuk menyaksikan sebuah konsert artis tempatan di situ. Semasa mahu mencari parkir tadi, betapa susahnya untuk menemui petak yang kosong. Semuanya penuh belaka. Terpaksa menunggu orang lain keluar, barulah boleh meletakkan kereta.

Satu hal yang menarik di sini, para pemandu Filipina bersabar. Walaupun kereta yang kami naiki menghalang laluan kerana kami menunggu sebuah kereta lain yang perlahan-lahan keluar dari petak parkir kerana ruang yang terhad, namun tiada langsung yang membunyikan hon. Semua menunggu sabar walaupun barisan sudahpun panjang. Yang menariknya di sini, membunyikan hon bukanlah sesuatu yang mengjengkelkan seperti di negara kita tetapi sebagai tanda terima kasih kerana memberi laluan dan juga tanda untuk menyapa seseorang. Mereka sering membunyikan hon apabila berada di atas jalan raya.

Selepas makan, aku pulang semula ke hotel. Sudah penat setelah seharian berkelana.

..bersambung..

Entri terdahulu:
Mabuhay Pilipinas Bhgn. I - Permulaan Perjalanan
Mabuhay Pilipinas Bhgn. II - Sampai di Manila

7 ulasan:

  1. >> kena tengok your blog ni utk dijadikan panduan sebab pernah gak terfikir nak ke filipina...
    >> dengar cerita menarik tempatnya...

    BalasPadam
  2. brother jeff siap buat nota tu...
    best arr dapat jejalan negera orang nie..

    BalasPadam
  3. best la catatan perjalanan awak ni.

    BalasPadam
  4. best n syok tu dapat melancong..tengok2 negara orang...

    BalasPadam
  5. Salam strozze...
    Cantik view ambik dari atas tu strozze... akak mintak izin kopipes gambar langit yang nampak pelangi tu k strozze... cantik sesangat...Subhanallah....

    BalasPadam
  6. "izinkanku menyusun kata maaf
    untuk lisan yang tak terjaga
    untuk hati yang selalu berprasangka,
    untuk sikap yang menyakitkan
    selamat menjalani ibadah puasa"

    BalasPadam
  7. Salam. Macammana nak pastikan kita x kena tipu kalo n
    aik teksi. Sy akan ke manila dan cebu pd phjung nov ni. Takut pulak tgok video baca blog rmai pmdu teksi ambik tmbang mahal,x mau guna meter. Cammana nak naik teksi ke manila city coz sy bmlm d manila smlaman sblm ke cebu..please bg sdikit info

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...