05 Disember 2009

Perang Jalur Lebar di PC Fair

Nota:
"Sudah berhabuk blog ini kerana sudah lama tidak dikemaskinikan. Sejak kembali bekerja di pejabat, seolah-olah tiada masa lagi untuk mem'blog'. Keluar sebelum terbit matahari dan kadang-kadang balik setelah terbenam matahari. Kembalinya ke rumah, mata sudah tidak tertahan lagi dek mengantuk. Alya pula makin membesar, maka blogging ini adalah keutamaan terakhir..."

Hari ini, sejak sekian lama, aku pergi ke PC Fair di Pusat Konvensyen KL. Walaupun dekat dengan pejabat namun tidak pula terasa hendak ke sana sebelum ini. Namun, disebabkan wireless router aku sudah tidak dapat digunakan lagi, maka terpaksalahku ke sana mencari yang ganti.

Rupanya aku sudah ketinggalan zaman. Tidak pula kutahu yang adanya media player seperti D-Link yang boleh memainkan semua format video. Pemain video ini boleh disambung terus ke TV dan juga boleh dimuat turun secara terus fail dari Internet menerusi BitTorrent dan sebagainya ke cakera keras yang tersedia di dalamnya. Aku tercari-cari pula sebuah pemain DVD yang boleh memainkan semua jenis format video. Rupanya ada cara lain..

OK, lupakan sekejap berkenaan My Channel Media Player tersebut. Yang ingin kuperkatakan di sini ialah perang jalur lebar. Setelah iklan 'potong' mencetus kontroversi gara-gara dikatakan membawa mesej kurang menyenangkan sungguhpun ramai yang berfikiran terbuka menyukainya, P1 Wimax menjadi bualan ramai. Streamyx terpaksa mengatur langkah menyerang balas dengan iklan 'jangan potong'nya.

Tadi berduyung juga para promoter syarikat-syarikat jalur lebar 'menyerang'ku yang merupakan antara orang pertama mulai masuk ke dewan pameran pada hari pertama. Di dewan pameran atas, pada permulaan perjalanan yang memakan lebih satu kilometer seperti yang tertera di pintu masuk itu, seorang promoter Maxis menahanku. Mulanya, malas hendak kumelayan kerana kumahu mencari router. Namun kudengar sajalah dia bercerita padaku.

Berjalan terus ke depan, maka terjumpalah P1 Wimax tersebut. Aku memang penasaran berkenaan P1 Wimax ini lantas kumendekati salah seorang promoter di situ. Yang kutahu rumahku di Puchong tidak terjangkau P1 Wimax ini kerana rumahku agak jauh dari Pusat Bandar Puchong tetapi apa salahnya kubertanya dulu. Setelah lama bertanya dan akhirnya faham, aku berlalu begitu saja. Kesian pula si promoter itu namun apakan daya, itulah resmi orang berniaga. He he..

Kuturun pula ke tingkat bawah, ada seorang remaja perempuan membuat gimik kononnya aku telah berjanji padanya aku mahu melihat thumb drive jalur lebar Celcomnya. Meluat pula kulihat gimik kurang intelektual ini. Kukatakan padanya, "Bila masa kita berjumpa?" Dijawabnya dengan gaya 'gedik-gedik' itu, berkuranglah minatku. Hmm, cara lama..

Di depan pula Digi pula tidak putus-putus menawarkan jalur lebar mereka namun ku tidak berminat. Setelah berjalan di depan, ternampak pula ada orang membimbit 'beg pergi pasar' Digi. Hmm, melepas pulak tidak berhenti tadi. Masa pula sudah suntuk. Router belum dibeli lagi dan sembahyang Jumaat bakal bermula nanti.

Akhir sekali, Streamyx memang juga tidak mahu kalah. Ramai juga angkatan promoternya. Aku dengan selamba menjawab, sudah ada Streamyx. Bagiku, Streamyx yang paling bagus mengambil kira harga dan jangkauannya di kawasan rumahku.

Dengan harga RM88, aku mendapat lebih daripada 1 Mbps. Dengan P1 Wimax, harganya RM99 untuk 1.2 Mbps tetapi untuk had 20GB sebulan sahaja. See the catch.. Lagi pula, P1 Wimax belum terjangkau lagi ke kawasan rumahku. Maxis, Digi dan Celcom semuanya cekik darah dengan harga 'macam bedil'nya..

Pautan berkaitan:
Forum P1 Wimax

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...