24 Februari 2009

Kembara ke Vietnam Bhgn. V

18-19 Jun 2008

Di sekitar Da Nang, banyak tempat-tempat menarik yang kita boleh lawati. Selain pantai yang luas memutih pasirnya, di sini juga terletak salah sebuah tapak warisan dunia iaitu Hoi An. Di sinilah terletaknya bekas pusat pemerintahan Kerajaan Champa.

Pada malam kedua di sini, kami berpeluang pergi ke Hoi An konon-konon untuk melihat Festival Bulan Mengambang (Full Moon Festival). Alih-alih bulan yang diharapkan mengambang penuh langsung tak muncul. Sepertimana waktu kami mula-mula sampai ke sini, awan tebal terus-menerus meliputi bumi Da Nang. Jadi, tiada langusng kelibat bulan.

Semasa festival ini, lilin-lilin diletakkan di atas hiasan daun teratai dan dihanyutkan ke sungai dengan bot atau perahu kecil. Pada malam itu juga, tidak banyak kelihatan bot atau perahu kecil di sungai yang menghanyutkan lilin-lilin tersebut. Mungkin bulan tak kelihatan agaknya.

From Vietnam Trip - Da Nang

Tanglung-tanglung dihanyutkan daripada sebuah bot di Hoi An, Vietnam. Tidak banyak bot kelihatan mungkin kerana bulan mengambang tidak muncul.


Kebetulan kududuk semeja dengan salah seorang penganjur yang berasal dari Thailand sewaktu makan malam. Aku komplain kepadanya. Bukannya marah, tapi sekadar berlawak. Sebelum ke sana, dia menjanjikan segala yang terbaik. Namun katanya dia tak mampu mengawal bulan. Karakternya bersahaja namun lawak. Maklumlah dia sebenarnya seorang yang terkenal di Thailand. Beliau sering muncul di kaca TV di sana berlawak dan juga mengadakan rancangan temubual. Penonton malah sanggup membayar mahal untuk mendengar celotehnya.

Bercakap pasal makan, memang dari dalam pesawat dan di mana sahaja, setiap kali makan mesti ada bab* . Bila dibakar daging 'istimewa' itu, maka menerawanglah segala aroma kurang mengasyikkan ke lubang hidung.. Isyk... Aku duduk semeja bersama sekumpulan rakan dari Indonesia yang perlukan special arrangementtentang makan. Salah seorang rakan tak berselera hendak makan. Alih-alih, duk gelak je buat lawak..

Berbalik kepada Hoi An, bandar ini merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia, seperti yang Melaka dan Pulau Pinang baru perolehi itu. Di sini merupakan kota purba yang pernah menjadi pelabuhan entreport dan maritim utama dahulu, yang juga merupakan salah satu persinggahan penting laluan rempah. Sekarang, tempat ini menjadi tumpuan para backpackers menikmati makanan, membeli-belah dan melakukan aktiviti-aktiviti laut. Kami ke sana buat kali kedua di suatu petang kerana ada pertandingan ala-ala mencari harta karun di situ.

Berhampiran Hoi An juga terletak Pulau Cham yang sungguh bersejarah yang terkait dengan bangsa Melayu kita. Dulu, Da Nang dipanggil Indrapura dan di sini adalah pusat kegemilangan kerajaan Hindu-Buddha Champa. Mengikut salah-satu teori yang berasaskan tinggalan sejarah, orang Melayu berasal daripada orang Champa.

Mengikut sejarah, kerajaan Champa telah dikalahkan kerajaan Viet Nam dan pemerintah terakhirnya bersama-sama rakyat telah lari ke Kemboja (Cambodia) dan mengasakan semula tamadun yang berpusat di tebing Sungai Mekong yang dipanggil Kampong Cham. Jika dilihat daripada nama tempat di sini, bahasa Cham dan bahasa Melayu mempunyai persamaan. Memang ada beberapa perkataan lain yang sama seperti sungai, banyak, ikan dan orang. Ada juga yang lari ke Terengganu, Kelantan dan wilayah-wilayah Selatan Thai dan juga ke utara iaitu ke Pulau Hainan, China. Kalau dulu, di Terengganu misalnya, banyak orang-orang Kemboja yang menjual kain dari rumah ke rumah. Mereka bijak berniaga.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang ikut lari dan masih tinggal di Viet Nam. Selain Pulau Cham, ada juga yang masih tinggal di Nha Trang. Pada zaman kegemilangannya, kerajaan Champa telah diIslamkan oleh pedagang Arab dan mempunyai hubungan dengan kerajaan Abbasiyyah di Baghdad dan juga membantu kerajaan Johor menentang Portugis di Melaka. Aku tidak berapa pasti sama ada mereka yang masih ada di Pulau Cham itu Islam. Orang Cham ini macam orang Jawa, masih kuat pengaruh Hindunya walaupun sudah Islam.

Aku bersembang pendek dengan salah seorang penjual air tebu di Hoi An. Apabila ditanya dari mana berasal, dia menjawab berasal dari Cham (singkatan untuk Champa). Tidak dijawabnya dari Vietnam kerana fikirku mereka tahu mereka sedang dijajah.. Aku tak sempat bertanya sama ada dia itu Islam kerana kesuntukan masa. Kami terkejar ke sana ke mari mencari barang atau tugasan untuk disiapkan.

Pasukan mencari harta karunku tu memang dari awal lagi dah tahu kalah. Rakan-rakan dari Thailand pergi membeli-belah, bukannya hendak mencari harta karun. Aku menyesal tidak membeli-belah sekali sebab harga di sini lebih murah jika dibandingkan dengan Bandaraya Ho Chi Minh. Pun begitu, aku pula santai mengambil gambar!

From Vietnam Trip - Da Nang

Wisel berbentuk haiwan yang dibuat daripada tanah liat merupakan salah satu hasil tangan yang terkenal dari Vietnam. Gambar diambil di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Antara juadah tempatan yang dijual di Hoi An. Yang macam kayu itulah adalah kulit kayu yang wangi.

From Vietnam Trip - Da Nang

Hanya pejalan kaki dan pengayuh basikal dibenarkan di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pengangkutan air masih penting di Hoi An. Bot dari Pulau Cham membawa penumpang dan motosikal.

From Vietnam Trip - Da Nang

Sebuah muzium di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Kandar masih digunakan secara meluas di Hoi An untuk mengangkut barang-barang. Di Pulau Pinang dulu untuk menjual nasi dan akhirnya dipanggil Nasi Kandar.

From Vietnam Trip - Da Nang

Jambatan Jepun yang dibina semasa penjajahan Jepun.

From Vietnam Trip - Da Nang

Seorang wanita sedang membuat tanglung di Hoi An.

From Vietnam Trip - Da Nang

Antara tanglung-tanglung yang dijual di Hoi An.


Semasa perjalanan ke Hoi An, kelihatan bekas depot udara tentera Amerika semasa perang Vietnam dahulu. Di sekitar Da Nang, nampak kesan-kesan pertempuran berlaku. Di tengah kawasan-kawasan berpasir, kelihatan ada banyak lubang besar bekas letupan bom. Sebuah candi tinggalan kerajaan Champa juga sedang diperbaiki setelah hancur terkena bom.

Rumah-rumah orang Viet Nam sebenarnya unik. Bukaan depannya amat sempit, sekadar boleh memuatkan sebuah kereta manakala panjangnya jauh ke belakang seperti panjang dua buah rumah teres kita. Kalau yang kaya dan mahukan rumah lebih besar, mereka buat sampai tiga tingkat! Tak tahulah aku kenapa mereka tidak melebarkan rumah mereka. Mungkin terhalang oleh pelan tanah yang sememangnya berbentuk begitu. Sawah-sawah padi juga berbentuk sama, mengukuhkan andaian sememangnya pelan tanah di Vietnam sempit bukaannya tetapi memanjang ke belakang.

Satu lagi keunikan Vietnam ialah di belakang rumah ada kubur! Dulu, orang Viet Nam mengkebumikan mayat di halaman rumah mereka. Namun kerajaan Viet Nam tidak lagi membenarkan pengkebumian mayat di belakang rumah dan kini disediakan tanah perkuburan khas macam di negara kita. Di sini, kubur mereka seperti jirat Cina di negara kita kerana orang Vietnam termasuk di dalam rumpun orang Cina. Perkataan-perkataan bahasa Vietnam dulu ditulis dalam tulisan Cina namun kesan penjajahan menyebabkan bahasa Vietnam ditulis di dalam Rumi, seperti bahasa Melayu kita yang telah diRumikan daripada tulisan Jawi.

..bersambung..

From Vietnam Trip - Da Nang

Salah sebuah bekas depot tentera Amerika di Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Rumah yang bukaannya sempit tetapi panjang ke belakang di Vietnam.


Entri-entri terdahulu:
Kembara Ke Vietnam Bhgn. I
Kembara Ke Vietnam Bhgn. II
Kembara Ke Vietnam Bhgn. III
Kembara Ke Vietnam Bhgn. IV

19 Februari 2009

Shasha Kembali

Kalau dulu, pernah kukatakan Din Highway telah menghilangkan diri meninggalkan dunia penyampai radio dan menghampakan ramai para peminatnya. Kini, Shasha, salah satu watak Din Highway telah kembali semula ke corong udara.

Shasha dan Din Beramboi, nama baru Din, telah ke udara melalui radio Era di segmen paginya bermula dari 6 hingga 10 pagi bersama-sama Aznil. Ini telah mengembalikan nostalgia Time Highway Radio (THR) dahulu dan secara langsung menambahkan kerancakan persaingan rangkaian radio-radio Melayu di Malaysia.

Tahun 1996-97 dulu merupakan tahun emas THR. Pada masa itu, THR adalah rangkaian radio nombor satu Malaysia, menggantikan rangkaian radio RTM seperti Radio Muzik dan Radio-Radio 3 setiap negeri sebagai radio pilihan pendengar. Penyampai-penyampai seperti Din Highway, Adi, Nasa, Andy Hakim dan Richie Rachman adalah antara penyampai yang paling digemari para pendengar. Pada masa itu, Din membawa pembaharuan dengan membawa pelbagai watak suara antaranya Shasha, Atuk Ipin, Encik Rostam dan Uncle Lim.

Di zaman kegemilangannya, Din juga telah menghasilkan sebuah album nyanyian dan memuatkan watak-watak tersebut dalam acara berbalas pantun. Din juga bijak mempromosikan album sendiri dengan ‘menyuruh’ Shasha mengudarakan lagu-lagu beliau. Shasha juga pernah menemubual beberapa orang penyanyi lain. Tidak kering gusi melayan karenah Shasha menemubual artis-artis yang juga tidak kurang kelakarnya. Antaranya Shasha pernah menemubual Harun Salim Bachik dan Iwan. Iwan yang asyik ketawa sahaja ketika mempromosikan album yang memuatkan lagu Yang Sedang-Sedang Saja. Namun, album Din ini menjadi kontroversi kerana dikatakan meniru konsep lawak kaset dan CD keluaran Majalah Ujang.

THR mula melalui zaman gelapnya akibat kegawatan ekonomi pada masa itu di samping kemunculan rangkaian-rangkaian radio AMP (Astro). Pendengar mula beralih ke radio Inggeris, Hitz yang membawa pembaharuan pada masa itu. Kemudian rangkaian Inggeris, Rock yang ditukar ke rangkaian Melayu, Era telah mengambil alih rangkaian radio nombor satu Malaysia. Pada masa itu, Era membawa pembaharuan dalam siaran radio Melayu dengan barisan penyampai yang meningkat naik. Walau bagaimanapun, Era menjadi kontroversi kerana dikatakan menceduk konsep rangkaian Ria di Singapura. Sejak itu, Era terus bertahan sebagai radio nombor satu sehinggalah sekarang di mana kedudukannya telah tergugat.

Pada zaman malap THR, Din hanya kadang-kadang muncul dan berduet dengan Abby Fana dengan suara watak siri kartun Jepun. Walaupun THR melalui zaman sukar, Abby Fana adalah antara penyampai yang masih setia dan mula mengembangkan barisan pendengar setia beliau.

THR mula tenggelam timbul dan menjadi satu rangkaian khas untuk pendengar Tamil dan Hindi bagi mengelakkan persaingan daripada rangkaian-rangkaian radio Melayu lain. Akhirnya THR telah diambil alih oleh Astro. Abby Fana telah ditukarkan ke Sinar dan terus bertapak kukuh di situ. Andi Hakim yang sebelumnya keluar daripada THR telah kembali semula. THR juga telah mengembangkan sayapnya ke Pantai Timur dengan menyiarkan rangkaian lagu-lagu Melayu khusus untuk orang Pantai Timur. THR di Pantai Timur dipanggil Gegar manakala di Pantai Barat yang masih menyiarkan lagu-lagu Tamil dipanggil Raaga. Percaturan THR menfokuskan pendengar Pantai Timur membuahkan hasil dan menaikkan kembali THR yang pernah berada di atas dulu. Kini, Gegar menjadi rangkaian nombor satu di Pantai Timur. Lagu-lagunya memang cocok dengan pendengar di sana seperti lagu dikir barat Kelantan, lagu-lagu rakyat Terengganu dan Pahang. Selain itu, lagu-lagu ‘tangkap leleh’ seperti Hajat oleh Haida dan Pelamin Anganku Musnah nyanyian Azie menjadi pilihan pendengar di sana.

Tatkala Hot FM mula menaburkan peluru terbarunya dengan gandingan Jawa Rangers, Era pula tidak mahu kalah dengan gandingan terbaru Din Beramboi dan Aznil. Kini, pendengar punya banyak pilihan – Din Beramboi/Aznil, Fafau/Faizal Ismail ataupun Abang Jem dengan rakan-rakannya...

Entri berkaitan:
Din Beramboi @ Din Highway

04 Februari 2009

Kembara Ke Vietnam Bhgn. IV

18 Jun 2008

Kali ini, ingin kubercerita tentang tempat penginapan kami iaitu Furama Resort.

Resort ini terletak di dalam perjalanan dari Da Nang ke Hoi An, salah sebuah tapak warisan dunia seperti yang telah diperolehi Pulau Pinang dan Melaka tempoh hari. Akan kubercerita dengan lebih lanjut tentang Hoi An di entri yang akan datang. Resort ini mengadap Laut China Selatan, sama seperti di Pantai Timur Semenanjung dan terletak berdekatan dengan Pantai China (China Beach) yang sangat terkenal sebagai tempat bersantai di kalangan tentera Amerika dan sekutunya semasa perang Vietnam dulu.

Rekabentuk resort ini sekali imbas seperti rekabentuk tradisional Melayu dan tropika namun masih berlandaskan budaya tempatan. Ia telah diilhamkan oleh arkitek Australia. Terdapat beberapa blok bangunan bilik-bilik resort yang bersambung dengan bangunan utama yang terdiri daripada lobi dan restoran. Apabila mula-mula sampai ke sini, pelawat yang diturunkan ke lobi dapat melihat dengan jelas kecantikan suasana di sini yang pantas menggamit sesiapa yang baru sampai.

From Vietnam Trip - Da Nang

Furama Resort, Da Nang.


Di sebelah kanan, terdapat kaunter daftar masuk yang berhadapan dengan sofa-sofa tempat istirehat. Pandang terus ke hadapan nun di luar bangunan, terdapat court yard yang menempatkan pasu-pasu besar yang tersusun di tepi sebuah kolam. Di dalamnya ada beberapa ekor ikan koi yang berenang-renang di celah-celah pokok teratai yang beberapa kuntum bunganya sedang mekar.

From Vietnam Trip - Da Nang

Courtyard di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Barisan pasu-pasu besar tersusun di tepi kolam kecil di courtyard Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Ikan-ikan koi berenang-renang di antara pokok-pokok teratai di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Courtyard di waktu malam.


Di sebelah kiri court yard, terdapat restoran tempat makan-makan yang terletak di bangunan yang teranjur dari bangunan lobi tadi. Di sebelah kanan pula terletak sebuah bar. Rekabentuk kedua-dua bangunan kiri dan kanan itu simetri dan sama. Berjalan terus ke depan, tampak sebuah kolam renang yang agak besar. Bentuknya berpetak yang sebenarnya mudah untuk berenang berbanding kolam renang yang agak pelik bentuknya. Di dasarnya diratakan dengan jubin biru, sesuai berlatarbelakangkan warna laut yang kebiruan.

Dipisahkan oleh barisan pokok-pokok kelapa renek dengan kolam renang tadi, terhampar pasiran putih pantai yang agak luas jaraknya dari daratan hijau ke gigi air. Terdapat pondok-pondok beratapkan daun nipah tempat berteduh bagi yang sukakan cahaya terik mentari. Di bawahnya, ada kerusi-kerusi berbelang biru putih tempat berbaring.

From Vietnam Trip - Da Nang

Kolam renang di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pondok-pondok tempat istirehat di pantai di Furama Resort, Da Nang.


Lautnya pula kebiruan. Keadaan amatlah tenang. Seolah-olah lupa segala kekusutan bila di sini. Di sini, ombaknya tidak besar, sekadar alunan kecil air laut menghempas pantai dan amat sesuai untuk bermandi-manda. Di ufuk, tidak nampak apa-apa kecuali sebuah pulau kecil yang tidak kuketahui namanya. Terdapat juga beberapa bot nelayan sedang menjala ikan. Nun jauh di sebelah kiri, terdapat barisan gunung yang dipanggil Banjaran Monyet (Monkey Mountains) yang di pesisir pantainya amat terkenal dengan batu karang yang cantik dan aktiviti menyelam. Nampak juga kampung-kampung tradisional nelayan yang menambahkan warna-warni panorama di sini.

Di sebelah kanan pula, terdapat sebuah resort baru sedang dinaikkan. Beberapa pokok telah pun ditanam untuk mencantikkan lanskap.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pantai yang cantik di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Tenang. Saujana mata memandang di pantai Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Beca air di Furama Resort, Da Nang. Di belakang kelihatan Pergunungan Monyet.

From Vietnam Trip - Da Nang

Sebuah resort masih dalam pembinaan di Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Panorama pantai di Furama Resort, Vietnam.


Balik semula ke resort, di sini pelbagai kemudahan disediakan. Bagi yang mahukan wang tunai, terdapat sebuah ATM disediakan. Bagi yang tidak tahu, kebanyakan hotel atau resort utama Vietnam menyediakan mini kasino buat tahi judi. Seorang uncle yang selalu turun naik Genting pun tidak melepaskan peluang..

Setelah daftar masuk, aku dibawa ke bilik. Dengan keluasan resort yang agak besar, terpaksalah berjalan kaki dengan jarak yang agak jauh. Pun begitu, hilang rasa penat melihat kehijauan lanskap di sini. Banyak pokok ditanam di tepi-tepi koridor. Di satu sisi koridor, bilik-bilik resort terletak manakala di sisi yang lain pula terbuka menghadap ke sebuah taman. Di taman itu, pelbagai jenis pokok ditanam memberikan suasana hijau dan tenang. Paling menyerlah ialah pohon-pohon kepala yang jauh meninggi berbanding yang lain. Terdapat juga sebuah lagun yang terletak di tengah-tengah taman yang sesuai untuk kanak-kanak. Pengunjung boleh berjalan-jalan di dalam taman kerana ada disediakan laluan siar kaki. Bukan hanya menjamu mata melihat kehijauan di sini, pengunjung juga dapat meghidu bau harum aromaterapi yang dipasang di lokasi-lokasi tertentu taman.

From Vietnam Trip - Da Nang

Bangunan yang menempatkan bilik-bilik resort.

From Vietnam Trip - Da Nang

Koridor di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pohon-pohon kelapa di taman di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Laluan siar kaki di taman di di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Lagun di taman di di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Aromaterapi di taman di di Furama Resort, Da Nang.


Di dalam bilik pula, tidak kalah tarikannya. Konsep 'terbuka' bilik airnya di mana ada tingkap yang boleh dibuka dan ditutup menghadap katil memberikan rasa ruang yang luas. Setiap bilik ada balkoni untuk bersantai-santai. Beberapa kerusi dan meja disediakan. Tempat menyidai pakaian basah setelah ke pantai juga ada di balkoni. Bilikku walau bagaimanapun tidaklah mengadap ke pantai, hanya melihat lanskap pokok-pokok di situ. Namun tidak mengapa.

..bersambung..

Lawati laman web Furama Resort.

Entri-entri terdahulu:
Kembara Ke Vietnam Bhgn. I
Kembara Ke Vietnam Bhgn. II
Kembara Ke Vietnam Bhgn. III

From Vietnam Trip - Da Nang

Katil di bilik di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Konsep terbuka di bilik di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Lagi pemandangan di dalam bilik di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Pemandangan dari luar di Furama Resort, Da Nang.

From Vietnam Trip - Da Nang

Kerusi dan meja di balkoni di Furama Resort, Da Nang.

01 Februari 2009

Picasa Web Albums

Secara kebetulan sedang kumencari laman foto alternatif, kebertemu salah satu aplikasi/laman Google yang sebelum ini aku tidak berapa ambil peduli iaitu Picasa Web Albums. Laman yang lama yang selalu kumuat naik gambar-gambar itu, untuk pengetahuan, sebenarnya dimiliki oleh orang-orang yang sebangsa dengan yang melakukan keganasan demi keganasan di Gaza (tak pasti pula jika mereka menyokong rejim pengganas tersebut).

Beberapa ciri baru telah diadakan di Picasa Web Albums ini. Selain gambar-gambar boleh dimuat naik dengan perisian khas mereka iaitu Picasa 3 (versi terbaru), teradapat juga ciri tentukan kedudukan gambar di dalam peta (map your photos). Ciri ini amat menarik kerana kita dapat menentukan di mana kita telah mengambil gambar dan semua kedudukan gambar-gambar itu boleh dilihat dengan mengklik Papar Peta (View Map). Berikut adalah snapshots daripada lawatanku ke Vietnam tempoh hari:



Jalan lupa lawati untuk Picasa Web Albumsku di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...