27 April 2009

Alkisah Lauk Habis

Tengah hari tadi kupergi membeli lauk untuk makan tengah hari di Puchong Perdana. Semalam pergi ke sana juga dan kubeli pucuk manis masak lemak. Namun hanya sempat untuk makan tengah hari saja kerana selepas pukul 6, lauk itu sudah basi.

Jadi, hari ini pergi ke sana konon-konon untuk membalas dendam kempunan yang semalam. Waktu kusampai ke sana belumpun pukul satu tetapi banyak lauk yang dah habis. Tempe goreng dah habis, ayam bakar pun dah habis dan tempoyak pun juga habis! Nasib baik pucuk manis masak lemak tu tak habis lagi.

Kuambil beberapa plastik untuk membeli apa-apa saja yang ada namun yang lain itu nampak tidak kena dengan seleraku. Selepas kuambil pucuk manis masak lemak itu, kuterus bayar. Kedengaran makcik kedai sebelah yang mungkin mahu mengambil kesempatan berteriak mengatakan masih banyak lauk lagi di kedainya. Kuterfikir, pergi jenguklah ke kedainya kalau-kalau ada yang menarik.

Kakak yang mengira harga pelik melihatkan ku hanya mengambil satu lauk. Kukatakan padanya kumahu menambah dua bungkus nasi lagi. Itu saja. Pelik dia dan nampak macam muka tak sedap saja melihatkan telatahku. Macam bengang pun ada. Aku diam saja, malas nak layan. Customer is always right. Mungkin bengang dengan makcik sebelah agaknya. Tapi nak buat macam mana, bukankah lauk dah nak habis.

Selepas habis bayar, kupergi ke kedai makcik sebelah itu. Kuambil beberapa plastik untuk membungkus lauk namun lauk-pauknya macam tak menarik. Kuletak plastik balik. Berpusing-pusing. Akhirnya kulihat makcik itu meletakkan beberapa ketul ayam bakar yang baru siap ke dulang. Kuambil dua ketul. Tempe pula tak ada. Kuambil sambal belacan sajalah.

Demi tempe, kupergi ke kedai lain. Ada satu kedai tempenya berwarna kuning. Macam tak cukup sambal pula. Pergi ke kedai sebelah satu lagi. Hmm.. ini nampak menarik kerana ada hirisan kentang sekali. Di sebelah bekas tempe pula ada ikan bawal nipis goreng. Macam keropok, nipis dan rangup. Mulanya kuingat ikan kertas seperti yang kumakan di sebuah restoran Indonesia di Melaka dulu. Rupanya bukan. Yang menjual tersenyum berterima kasih. Senyum mungkin melihatkan beberapa plastik lauk yang sudah kubeli.

Siapa yang harus dipersalahkan? Aku yang memilih atau kedai kegemaranku yang lauknya dah habis? Semestinya pilihan di tanganku kerana tangankulah yang menyeluk dompetku.. (macam kerek ni..)

26 April 2009

Michael Wong - Tong Hua

Dah lama nak cari video ini tapi terlupa pula tajuk lagu dia. Dah beberapa kali dengar kawan-kawan Cina duk karaoke ataupun memasang MP3 lagu ini. OK, enjoy lagu Tong Hua ataupun Fairytale ataupun Kisah Dongeng daripada penyanyi berasal dari Malaysia ini, Micheal Wong aka Guang Liang:

24 April 2009

Pemandu Subang Kurang Kesopanan?

Lama juga kumengamati berkenaan ini, mungkin juga sedikit kontroversi. Kudapati pemandu-pemandu yang tinggal di Subang dan USJ agak kurang kesusilaan di jalan raya. Hari Sabtu biasanya selepas kelas, aku biasa memandu ke sana untuk berjumpa kawan ataupun membeli lauk tengah hari di sana, di samping mengelak tol LDP Sunway untuk ke Puchong.

Kalau memandu di sini, kenderaan semuanya agak laju. Kalau berlaku kesesakan, untuk menukar lorong pastinya agak sukar kerana para pemandu tidak mahu memberikan ruang. Masing-masing mementingkan diri sendiri.

Mungkin ada mengatakan ini adalah tidak benar. Namun aku ada pengalaman lain. Dulu, aku tinggal di Keramat. Sungguhpun tidak jauh dari pusat bandaraya, perjalanan ke sana di waktu puncak agak memakan masa juga. Pun begitu tidaklah terlalu teruk kerana trafik masih bergerak hasil tindakan efisyen pihak polis trafik di samping sikap para pemandu sendiri.

Di sekitar Ulu Kelang dan Ampang, pemandu tidak tergesa-gesa. Kalau yang mahu 'mencilok' di depan, masing-masing memberikan ruang. Tiada bunyi hon. Kalau dua lorong bercantum, satu demi satu kereta bersilih ganti bergerak ke depan. Masing-masing rileks kerana semua orang mahu ke tempat kerja.

Di Subang, gaya pemanduan sama seperti di JB. Kufikir ada satu teori untuk ini. Kalau yang tinggal jauh dari tempat kerja, mereka pastinya tergesa-gesa dan tidak langsung memberikan ruang untuk orang lain kerana bakal lambat. Di JB, ramai yang mahu ke Singapura dan terpaksa melalui kesesakan teruk di Tambak Johor. Yang dekat dengan tempat kerja pula lebih santai dan tidak perlu tergopoh-gapah. Namun yang tidak enaknya, tabiat tergesa-gesa ini terbawa-bawa ke hujung minggu. Hendak masuk ke simpang di depan saja namun memandu laju seolah-olah mahu ke JB!

Tempat lain bagaimana? Kunantikan komen anda semua..

22 April 2009

Alamak, Terpancut!


Kiranya aku adalah generasi zaman mengisi minyak layan diri. Setelah kumemiliki kereta, waktu itu dah bermula sistem layan diri ini. Kalau di pam minyak, semuanya secara automatik.

Namun hari itu, aku sedikit janggal. Sewaktu mahu pulang ke kampung sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuantan, kami singgah sebentar di sebuah stesen minyak di bandar Temerloh. Stesen ini terletak di tepi Sungai Pahang di bawah jambatan Sungai Pahang. Pertama kali kumengisi minyak di situ.

Yang kelakarnya, stesen minyak itu masih menggunakan pam minyak lama yang manual. Kalau diingati iklan semasa mula-mula sistem layan diri dulu, ada mengatakan setelah diangkat muncung pam, hendaklah diangkat satu tuil di pam.

Setelah dengan yakin menyuruh juruwang mengaktifkan pam di mana keretaku berhenti, aku mengangkat muncung pam dan memasukkan ke dalam lubang minyak di keretaku. Kutunggu-tunggu namun pam tak berjalan. Setelah agak lama, kelihatan juruwang berlari-lari ke arahku, dia mengangkat tuil itu. La.. begitu rupanya.. Barulah minyak dipam masuk ke tangki kereta.

Bising juga bunyi pamnya. Berderum bunyinya, merisaukanku. Setelah bersusah payah memastikan amaun yang aku pam menepati sen terdekat, aku mengangkat muncung pam itu untuk memasukkan semula ke tempat asalnya. Setelah diangkat, bunyi deruman tadi masih belum hilang.

Kulihat cangkuk untuk meneruskan pengepaman minyak masih lagi berada di takuknya. Seperti kebiasaannya, aku mengepam sedikit untuk melepaskan cangkuk tadi. Namun tanpa kusedari, akhirnya minyak terpancut! Nasib baik ke depan, kalau ke seluar dan kakiku, tak tahulah macam mana. Hisyk.. nasib baik tak ada orang nampak. Rupanya tuil tadi hendaklah diturunkan dulu barulah pam berhenti. Setelah diturunkan, tiada lagi bunyi deruman itu.

Oh, begitu rupanya.. Penat saja mengepam ke sen terdekat tadi. Yang tertumpah tadi adalah 16 sen.. Bayar sekali dengan yang tumpah..

18 April 2009

Berita RTM Kembali ke Pukul Lapan

Dek kejatuhan mendadak jumlah penonton siaran berita RTM pada jam 9 malam, RTM mengumumkan akan kembali ke jam 8 malam bermula Isnin ini. Jumlah penonton dikatakan menurun sehingga 400,000 orang. RTM akan kembali dengan berita selama satu jam berbanding setengah jam sekarang.

Idea untuk menarik jumlah penonton yang ke surau atau masjid bersembahyang Isyak pada jam sekitar 8.30 malam di Semenanjung supaya menonton setelah balik pada jam 9 malam rupanya tidak menjadi. Jelas, berdasarkan jumlah penonton yang sedia ada, mungkin peratusan yang ke surau atau masjid tidaklah banyak. Mungkin juga yang ke surau bukanlah penonton berita yang ingin menonton kesemuanya, sekadar mengambil tahu serba sedikit berita yang disiarkan.

RTM juga mempunyai ramai penonton di Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan tempat hanya siaran RTM boleh didapati di sana (melainkan kalau melangaan Astro). Jam 9 malam di sana umpama jam 10 malam di sini. Di sana, matahari naik dan jatuh lebih kurang sejam lebih awal. Waktu Isyak di sana lebih kurang sama dengan waktu Maghrib di Semenanjung. Kalau yang dah balik dari surau atau masjid, terlalu lama untuk menunggu. Sambil makan nasi, tentunya siaran berita rangkaian lain dipilih.

Ataupun, sememangnya sukar untuk penonton setia RTM berubah ke jam 9 malam setelah sekian lama bermula jam 8 malam...

15 April 2009

Astro Ria di Singapura

Tertanya-tanya juga aku kenapa Astro membenarkan rakyat Singapura masuk ke temuduga Akademi Fantasia. Adakah Astro sudah mengembangkan sayap ke sana? Sebenarnya tidak namun hanya Astro Ria dan Astro Aruna yang telah ke udara di sana.

Rupa-rupanya syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel telah memasukkan Astro Ria dan Astro Aruna ke dalam rangkaian IPTVnya iaitu mio TV. IPTV merupakan rangkaian TV yang dipancarkan melalui Internet jalur lebar. Ini adalah rangkaian berbayar.

mio TV memberikan satu alternatif baru kepada rangkaian TV berbayar Singapura, di samping memberi saingan kepada rangkaian TV kabel, StarHub. mio TV telah mendapat hak eksklusif penyiaran UEFA Champions League dan UEFA Cup di Singapura.

11 April 2009

Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. VI

11 Feb 2009

Selepas berehat dan hemat diri, kami dibawa ke Pantai Kamala untuk makan malam dan seterusnya menyaksikan acara kemuncak kami iaitu pertunjukan Phuket Fantasea. Seperti diperkatakan sebelum ini, jarak antara resort yang kami inap adalah jauh dari tempat-tempat tarikan utama. Jarak dari tempat kami iaitu Pantai Karon ke Pantai Kamala, di mana pertunjukan Phuket Fantasea berlangsung memakan masa hampir 45 minit. Kepenatan aktiviti-aktiviti luar petang tadi masing belum hilang, sampai aku tertidur di dalam van.

Namun, apabila sampai ke sana, keterujaan untuk menyaksikan pertunjukan yang dikatakan terbaik di Phuket ini membuatkan rasa penat hilang. (Inilah satu-satunya pertunjukan sebegitu di sini, maka terbaiklah itu..) Kami diberikan tiket oleh ejen. Di dalam tiket itu ada beberapa tempat di dalam kawasan Phuket Fantasea yang boleh kami pergi. Kami masuk dan tiket kami ditebuk lubang tanda sudah melalui satu titik pemeriksaan. Pada tiket itu, terdapat juga sehelai pelekat yang perlu ditampal di dada untuk memudahkan pengecaman tempat duduk semasa pertunjukan nanti.

Tiket masuk terdapat dua jenis iaitu untuk pertunjukan Phuket Fantasea sahaja dan satu lagi yang termasuk dengan buffet makan malam. Kami diberikan tiket yang ada buffet. Di sini, buffet diadakan di sebuah restoran yang besar, yang dapat memuatkan 4000 tempat duduk, dipanggil Restoran Golden Kinnaree. Walau bagaimanapun, kami disediakan tempat lain untuk makan malam kerana kami ada acara persendirian iaitu majlis penyampaian hadiah untuk pemenang team building petang tadi dan juga untuk pemenang pertandingan golf. Sambil makan, kami ketawa terbahak-bahak melihat aksi-aksi sendiri yang lucu semasa pertandingan team building petang tadi.

Selepas makan, kami bergerak ke Teater Istana Gajah, iaitu tempat di mana pertunjukan Phuket Fantasea diadakan. Pintu ke dewan pertunjukan dibuka jam 8.30 malam manakala pertunjukan yang memakan masa lebih kurang 1 jam setengah bermula pada jam 9.00 malam. Kami masuk awal kerana tidak mahu terlepas menyaksikan pertunjukan yang pernah memenangi banyak anugerah pelancongan ini.

Sebelum masuk, kami dikehendaki menyerahkan kamera dan telefon bimbit berkamera kerana pengambilan gambar atau video tidak dibenarkan di dalam dewan pertunjukan. Sistem yang diadakan untuk menyerahkan kamera atau telefon bimbit sungguh teratur. Pekerja mereka begitu teliti memegang barang-barang yang ditinggalkan dan sekeping tag berwarna diberikan kepada pengunjung untuk memudahkan pengambilan semula barang-barang yang ditinggalkan nanti. Fikirku bagus juga mereka tidak membenarkan mengambil gambar. Nanti flash yang berkelipan pastinya mengganggu keseronokan menyaksikan pertunjukan.

Berdasarkan pelekat yang ada di dada kami, para pekerja di sini membantu mencari tempat duduk kami di dewan besar yang boleh memuatkan 3000 penonton. Apabila masuk, terasa betul keterujaan kerana rekabentuk dewan ini yang membolehkan para penonton merasa mereka berada di tengah-tengah persembahan, bukannnya persembahan tipikal yang penonton duduk di bawah menyaksikan persembahan di atas pentas.

Tidak jauh dari tempat kududuk, ada satu laluan untuk gajah semasa persembahan nanti. Tidak sabar rasanya melihat gajah yang besar berjalan di tengah-tengah para penonton yang duduk. Di situ ditulis satu peringatan supaya penonton tidak menyentuh gajah kerana bakal mengganggu gajah tersebut. Iskh.. takut juga kalau-kalau gajah itu mengamuk..

Tidak lama menunggu, persembahan pun bermula. Gajah-gajah beserta juruiring gajah dan para pelakon mula masuk ke pentas. Kumpulan gajah-gajah itu berpecah dua. Satu kumpulan terus ke tepi pentas di sebelah kiri manakala yang satu lagi bergerak ke laluan di tengah-tengah penonton tadi. Wah, sungguh teruja aku melihat gajah-gajah yang besar yang membawa buah-buahan persembahan olok-olok lalu di hadapan kami. Gadingnya memang panjang dan di atas kepalanya duduk pengemudi gajah yang sememangnya mahir.



Persembahan lebih kepada lagenda Putera Kamala dengan gajah saktinya. Di samping persembahan di atas pentas, persembahan juga banyak yang melibatkan aksi terbang oleh para pelakon yang mahir dalam akrobatik. Misalnya watak Putera Kamala yang boleh boleh duduk bersila 'terapung' di atas gajah. Aksi berkelahi antara Putera Kamala dengan watak jahat juga banyak yang terbang dan berpusing di udara. Watak pari-pari yang terbang meninggalkan pentas mengujakan penonton kerana 'terbang' di atas para penonton, betul-betul di atas kepala kami sambil melambai-lambaikan tangannya.



Selain daripada cerita legenda Putera Kamala, ada juga persembahan tarian tradisional rakyat Thai yang menceritakan pelbagai etnik yang ada di Thailand. Di samping itu, ada juga persembahan silap mata yang mengagumkan. Kucuba untuk mencari helah mereka tetapi sudah ditutup dengan baik.



Namun awas bagi yang duduk dekat dengan pentas kerana anda bakal ditarik ke atas untuk membantu persembahan mereka. Mereka mencari dua orang penonton. Seorang boleh turun semula ke bawah setelah beberapa persembahan ringan manakala seorang lagi akan ditarik semula ke atas untuk satu aksi ngeri iaitu memotong badan menjadi dua kerat dengan gergaji gersasi yang ligat berpusing. Kulihat seorang gadis yang menjadi 'mangsa' hampir menangis. Beberapa kali dia diacah boleh turun ke bawah namun ditarik semula ke pentas. Pun begitu, bukankah ini satu pengalaman mengujakan? Dia juga diberikan beberapa cenderahati buat kenang-kenangan.



Untuk memberikan lebih kesan kepada penonton, segenap ruang di dalam dewan digunakan untuk persembahan. Ini adalah satu keunikan Phuket Fantasea berbanding pertunjukan teater klise yang lain. Para pelakonnya sememangnya ramai. Apabila babak bergaduh, segenap pentas digunakan untuk bertarung antara watak baik dengan watak yang jahat. Ini termasuklah pentas di sisi kiri dan kanan dewan yang dilalui gajah ke pentas. Begitu juga dengan persembahan tarian yang menggunakan pentas di sisi dewan tersebut.



Di bumbung dewan betul-betul di atas kepala para penonton juga tidak disia-siakan. Di situ diadakan persembahan akrobatik yang menggunakan tali sambil melompat di atas udara. Kostum pelakon akrobatik tersebut bersinar ungu di dalam gelap dan mereka memakai topeng yang matanya bercahaya merah. Nampak spooky atau menyeramkan namun tampak jelas aksi-aksi lincah mereka di udara.



Selain gajah, beberapa haiwan lain juga terlibat dalam persembahan. Antaranya di dalam babak penceritaan tentang kehidupan rakyat Thai, wanita dari Selatan Thai mengejar beberapa ekor ayam dengan jaring. Yang menariknya ayam-ayam tersebut sudah dilatih dengan baik dan mereka berlari ke satu arah sahaja iaitu ke tangga di sebelah kiri pentas, tidak seperti ayam-ayam di kampung yang akan berlari ke segenap arah kalau dihambat.



Begitu juga dengan kambing-kambing yang berlarian dikejar. Kambing-kambing tersebut berlari sambil melompat comel melepasi halangan daripada prop lakonan ke satu arah secara beramai-ramai. Sungguh unik kerana mereka mampu melatih haiwan yang dikategorikan sebagai kurang daya intelektual. Ada juga sekumpulan kerbau yang montok berkilat kulitnya dipancari cahaya dibawa ke atas pentas. Tanduknya yang tajam turut bersinar kesan pantulan cahaya pentas. Di samping itu, ada juga burung-burung merpati terbang di atas para penonton. Mereka kesemuanya terbang ke satu ruang di bumbung pentas. Suatu pengalaman menarik!

Untuk memberikan lebih impak kepada lakonan, ada juga prop yang langsung kita tidak fikirkan. Apabila babak hujan dan ribut, air pancut keluar dari bumbung turun ke pentas seperti hujan. Tempat air jatuh ke pentas terbuka untuk mengalirkan air ke bawah. Beberapa letupan turut digunakan. Aku kagum melihat gajah yang sudah terlatih masih tetap tenang walaupun letupan kuat berlaku dekat dengan telinganya.

Pun begitu, ada juga adegan yang tidak sanggup kita lihat. Seekor gajah besar sudah tidak tertahan lagi telah kencing di atas pentas semasa persembahan aksi pintar gajah. Air kencingnya umpama pili bomba pecah telah membasahi pentas. Malang kerana gajah tersebut sedang membuat bulatan dan air kencingnya membasahi pentas mengikut jejaknya. Pekerja pentas lantas mengelap dan menolak air kencing tersebut ke tepi namun tetap basah kerana terlalu banyak dan berceceran di beberapa tempat. Apakan daya, binatang tetap binatang sekalipun terlatih. Persembahan sedikit terganggu kerana pentas basah dan licin. Namun mereka tetap profesional dalam menjayakan lakonan mereka.

Setelah habis persembahan, aku puas kerana dapat melihat satu persembahan unik dan menarik. Sesetengah rakan-rakan mengatakan ini persembahan membosankan dan terlalu lama. Mereka tidak sukakan banyak persembahan kebudayaan. Bagiku, letak persembahan kebudayaan ke tepi, fokuskan kepada keunikan-keunikan lain.

Kami mengambil semula kamera dan telefon bimbit kami. Sungguh efisyen mereka bekerja kerana ada satu sistem yang membolehkan penonton mengambil semula barang-barang mereka dengan cepat walaupun ramai orang. Mereka membuka banyak kaunter dan membahagi-bahagikan barisan penonton mengikut warna tag yang diberikan semasa masuk tadi. Aku juga berkesempatan mengambil gambar dengan seekor gajah daripada persembahan tadi. Agak risau aku kalau-kalau gajah itu bertindak di luar kawalan namun ada penjaganya tetap di sisi.

Di kawasan Phuket Fantasea ini, ada beberapa tarikan lain. Antaranya Pengembaraan Hutan Harimau, Sarang Hanuman (Pusat Hiburan Similan), Persembahan Fatasi Kerajaan dan Lorong Membeli-Belah Kampung Karnival. Namun masa kami terlalu suntuk. Tidak sempat untuk pergi ke semua tempat itu. Barang-barang cenderahati juga banyak dijual di sini. Fikirku harganya pasti mahal di tempat-tempat begini, lalu aku tidak meninjau sangat. Namun menurut rakan yang telah membeli sesuatu, harganya memang berpatutan. Hmm.. rugi pula tidak pergi melihat dulu..

Malam pun sudah larut, aku pulang dudu ke hotel. Sudah penat.

Tamat sudah perjalanan ke Phuket atau Bukit..

Nota: Disebabkan kamera tidak boleh dibawa masuk, tiada gambar-gambar persembahan diambil. Gambar-gambar di atas diambil dari archives.scene4.com. Berikut adalah gambar-gambar diambil sendiri di luar:

From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


From Phuket Trip - Around Phuket


Entri-entri terdahulu:
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. I
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. II
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. III
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. IV
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. V

04 April 2009

Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. V

Salah satu aktiviti kami ialah team building. Rasanya aktiviti-aktiviti tahun ini tidaklah mencabar seperti tahun lepas. Di samping acara-acara bina semangat yang biasa kita buat, namun yang menariknya tahun ini ialah kami akan bertukar-tukar lokasi aktiviti kami.

Kami dibawa ke tempat-tempat menarik sekitar Phuket dengan kenderaan tempatan yang dipanggil song taew, yang menyerupai jeepney di Filipina. Menurut penganjur, kalau yang dulu-dulu, peserta menaiki van berhawa dingin. Jadinya, banyak yang tidur dan tidak berkenalan antara satu sama lain. Kalau naik song taew, suasana lebih ceria dan peserta akan lebih banyak bercakap semasa duduk di dalam song taew yang terbuka dan dihembus angin.

Aktiviti kami bermula di halaman Movernpick Resort. Setelah aktiviti 'pusing helikopter' di situ, kami pergi pula ke Wat Chalong. Wat Chalong adalah salah satu wat yang ada di Phuket, khusus untuk majoriti penganut Buddha di sini. Aku kurang suka tempat ini kerana agak kotor kerana banyak anjing liar. Di sini, pasukan kami diberi tali dan disuruh membuat segi empat tepat. Akibat kurang koordinasi dan kami bukannya kenal sangat dengan ahli-ahli yang lain, segi empat kami menjadi terapezium. Lagipun kami tidak langsung melantik salah seorang menjadi ketua!

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Wat Chalong.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Lagi gambar di Wat Chalong.


Setelah berada di Wat Chalong, kami bergerak pula ke Tanjung Phromthep (Phromthep Cape / Laem Phromthep). Di sini merupakan tempat untuk melihat mentari jatuh. Pun begitu, kami ke sana di waktu petang, jadi tiadalah peluang untuk melihat matahari jatuh. Sebelum memulakan aktiviti, kami dibenarkan melihat pemandangan di sini dan mengambil gambar. Selepas itu, aktiviti kami ialah berjalan dengan terompah gergasi. Di antara kami banyak yang dah biasa. Di sekolah rendah dulu, pernah pasukanku mendapat tempat pertama. Dan di sini juga kami mendapat tempat pertama!

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Pemandangan di Tanjung Phromthep.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Pemandangan cantik di Tanjung Phromthep.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Tempat melihat mentari terbenam di Tanjung Phromthep.


Selepas itu, kami ke tempat meninjau yang terletak di atas bukit (View Point). Dari sini, kami dapat melihat pemandangan indah Pantai Kata dan Pantai Karon yang cantik. Ada seorang lelaki dengan seekor burung helang menunggu di sini. Kalau yang mahu mengambil gambar dengannya, boleh dengan syarat membayar dulu. Kami hanya memerhatikan para pelancong lain bergambar dengannya.

Aktiviti kami di sini ialah menggerakkan gelung rotan melalui badan kami. Kami disuruh berpegangan tangan dan membuat satu bulatan besar, kemudian menggerakkan gelung rotan tersebut tanpa melepaskan tangan dan tanpa menjatuhkan gelung rotan itu ke tanah. Selepas itu, ada aktiviti kedua iaitu kami semua disuruh memijak sehelai kain kanvas kecil dan kemudian menerbalikkan kain kanvas itu tanpa seorang pun memijak tanah. Namun kami kalah.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Pemandangan Pantai Kata dan Pantai Karon dari
View Point.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Memang cantik kelihatan pantai-pantai Phuket dari
View Point.


Selepas itu, kami bergerak pula ke Pantai Kata. Banyak Mat Salleh tua kelihatan berjemur di sini. Ada beberapa aktiviti yang kami lakukan di sini. Pertama kami disuruh meniup belon. Kemudian kami beratur di dalam satu barisan dan setiap satu belon tadi diletakkan berselang-seli di antara kami. Kami diarahkan bergerak dari satu titik permulaan sehingga ke titik habis. Memang sukar dan melucukan di dalam keadaan begini. Di samping kami yang tidak rapat antara satu sama lain, belon yang terlucut juga berterbangan jauh ditiup angin pantai. Jadinya kami terkejar-kejar belon sedang pasukan lain menuju ke garisan penamat. Kami kalah dalam pertandingan ini.

Setelah habis perlumbaan tersebut, kami diarahkan memecahkan belon-belon tersebut dengan menggunakan perut. Aku memilih pasangan seorang rakan dari Thai yang buncit perutnya. Fikirku, perut buncit yang besar akan mudah memecahkan belon tersebut tetapi tidak! Perutnya seperti "absorber bumper" yang menyerap semua tekanan. Setelah mencuba beberapa kali namun tetap tidak pecah. Akhirnya ianya pecah juga, bukan kerana perut kami tetapi kerana kepala tali pinggang kami..

Aktiviti kedua di sini ialah menyerahkan belon yang berisi air berselang-seli melalui atas kepala dan bawah kangkang tanpa jatuh ke tanah. Seperti biasa, kami kalah lagi.. Yang menarik pastinya selepas acara kerana masing-masing membaling belon yang berisi air itu ke arah peserta lain. Yang terkena pastinya basah.

Kemuncak aktiviti kami ialah di Pantai Karon yang terletak berdekatan dengan resort kami. Kami akan membina rakit dan menaiki rakit itu di pantai nanti. Kami diberikan sehelai kain putih untuk membuat bendera tang bakal digantung di rakit kami. Kami menamakan pasukan kami Tsunami. Kami diberikan beberapa batang buluh, beberapa tiub lori sebagai pelampung dan segelung tali rafia untuk mengikat rakit.

Setelah berbincang, kami dapat menyiapkan sebuah rakit yang tampak kukuh, seperti yang telah dirancang. Kami membawa rakit itu ke pantai dan memulakan perlumbaan. Setiap pasukan dikehendaki memilih empat orang untuk mendayung rakit itu. Rakan-rakanku menyuruhku menyertai namun aku menolak kerana tak mahu basah!

Pertandingan bermula sengit dan setiap pasukan nampak berkedudukan sama di antara satu sama lain. Namun malang menimpa pasukanku. Sebatang buluh telah patah dan rakit pasukanku senget. Terpaksalah seorang rakan turun ke laut untuk menolak rakit tersebut sedang yang lain terus mendayung. Kami kalah lagi. Pun begitu, kami tetap gembira kerana dapat berseronok dan bersorak riang.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Kami membawa rakit ke pantai untuk memulakan perlumbaan.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Masuk ke dalam air.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Pasukan-pasukan lain dah mendayung, pasukan kami masih lagi menolak rakit..

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Di tengah-tengah pelumbaan, menghampiri titik pusingan U.

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Akhirnya habis patah rakit kami.. :(

From Phuket Trip - Sight Seeing & Team Building
Mentari petang di Pantai Karon.


Setelah habis aktiviti, kami sememangnya penat. Kami berjalan lesu kembali ke resort yang terletak berdekatan. Malam nanti aktiviti lebih hebat bakal dilakukan iaitu pergi menonton Phuket Fantasea!

..bersambung dengan Phuket Fantasea..

Entri-entri terdahulu:
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. I
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. II
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. III
Lawatan ke Phuket @ Bukit Bhgn. IV
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...