20 Ogos 2009

Bekalan

Maaf semua yang sering berkunjung ke sini, pasti ternanti-nanti entri yang terbaru. Bukan apa, terlalu sibuk dengan kerja sekarang. Sesudah kerja, mata terus saja mengantuk memaksa badan berehat daripada kepenatan. Maka, tidak banyak masa terluang untuk mengemaskini blog ini.

Akhir-akhir ini, ramai pula artis yang berhijrah alam. Maksudku, meninggalkan alam dunia ini ke alam barzah pula, yakni mati.

Bermula dengan Michael Jackson yang diselubungi tanda tanya adakah beliau seorang Muslim, selepas itu kita dikejutkan dengan kematian pengarah mengesankan, Yasmin Ahmad, dan kini pula disusuli kematian Ustaz Asri, penyanyi kumpulan nasyid Rabbani.

Sesudah mati, amalan kita terputus kecuali sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat buat orang lain dan doa anak yang soleh.

Di Astro, kedua-dua sumbangan artis Malaysia itu diabadikan. Sebuah rangkaian baru diadakan buat mengenang hasil kerja Allahyarhamah Yasmin Ahmad iaitu Yasmin Ahmad Dalam Kenangan (YADK). Filem-filem arahan beliau berulang kali disiarkan.

Di rangkaian Astro Oasis pula, seperti kebiasaan, kita mendengar azan dan zikir taubat oleh Allahyarham Ustaz Asri Rabbani. Sesudah kematian beliau, berterusan suara beliau kedengaran. Dan inilah yang kita mahukan. Amalan baik berterusan walaupun sesudah meninggal dunia.

Al-Fatihah.

10 Ogos 2009

Ba Alif Ba Ya

Tak tahulah kenapa ejaan dia atas terlalu sensitif. Sensitif sangat.

Bagi orang Melayu Islam, ejaan di atas adalah najis berat. Barangsiapa tersentuh, mestilah disamak. Apalagi memakan dagingnya yang pengharamannya jelas termaktub di dalam Al-Quran. Maka, itulah sensitif bagi orang Melayu.

Ejaan di atas juga seringkali dikaitkan dengan ejekan. Gila ’babas’ menjadi satu kreol kerana mengelak untuk menyebut ejaan di atas.

Masyarakat bukan Islam pula memakan dagingnya kerana kata mereka sedap. Tidak sah kalau tidak memakannya.

Baru-baru ini di negeri Merong Mahawangsa, terlalaklah ahli politik mempertahankan pusat penyembelihan ejaan di atas itu. Tidak tahu hujung pangkal kenapa dia berbuat begitu. Terlalu sensitif agaknya.

Dituduhnya kerajaan tidak adil, bersifat rasis dan tidak mempedulikan yang minoriti. Maka ditokok tambahnya cerita yang kuil dan tokong juga akan dirobohkan. Namun pihak kuil dengan pantas menafikannya. Yang dirobohkan hanyalah kawasan hidangan yang binaannya melebihi had sempadan melangkaui tanah Puteri Sultan di sebelah. Malah yang merobohkannya adalah pihak kuil sendiri. (Rujuk The Star)

Yang dipertahankan itu dibina secara haram di atas tanah yang tidak sah. Pelik juga kenapa hendak dipertahankan yang haram. Yang dipertahankan adalah hanyalah segelintir kelompok yang mendapat habuan. Kemaslahatan umum tidak diambil kira termasuklah pasar berdekatan yang terpaksa menghidu udara busuk dari pusat penyembelihan yang tidak terurus itu. Ini juga bahkan menganggu-gugat kegiatan seharian semua orang termasuklah yang bukan Islam.

Pusat ini telah diarahkan untuk dirobohkan sejak 1995 lagi (rujuk Harakah). Tiadalah sebarang alasan untuk menangguhkan lagi setelah sekian lama ’dibenarkan’ beroperasi. Kerajaan sekarang bertindak bijak kerana melengahkan lagi perobohan ini bakal mengundang persepsi negatif sepertimana kerajaan terdahulu yang membiarkannya terus beroperasi sedangkan pusat penyembelihan lembu dan kerbau telahpun ditutup sejak dulu lagi.

Mari kita lihat statistik menarik ini daripada Utusan Malaysia. Menurut hasil perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, bilangan ejaan di atas di Malaysia pada 2008 adalah seperti berikut berbanding dengan yang lain:

Ba Alif Ba Ya 1,733,466 ekor
lembu 847,757 ekor
kambing 437,805 ekor
kerbau 133,381 ekor
biri-biri 124,749 ekor

Menurut Utusan juga, khabarnya China juga berminat untuk mengimport ejaan di atas dari Malaysia kerana permintaan yang amat tinggi dari negara itu.

Bagiku, melihat ’hoo hah’ di sana sini, kadang-kadang kita tidak boleh terlalu ingin memenuhi permintaan setiap orang. Sampai bila kita hanya bermain-main atau dipermain-mainkan. Kita hendaklah tegas, ambil keputusan tidak popular dan lenyapkan isu ini selama-lamanya.

Bagiku, kalau penternakan ejaan di atas dikomersilkan secara besar-besaran, inilah adalah satu tindakan yang sememangnya melampau. Harus diingat majoriti penduduk Malaysia, terutamanya di Semenanjung, adalah orang Islam. Tolak ansur orang Islam ada batasnya. Menternak ejaan di atas sepatutnya hanyalah terbatas untuk kegunaan domestik buat memenuhi tuntutan hak orang bukan Islam di Malaysia yang boleh memakannya (bukan semua orang bukan Islam makan ejaan di atas). Mengeksport secara besar-besaran untuk memenuhi permintaan luar negara adalah satu tindakan biadap. Pastinya apabila permintaan tinggi, maka sudah pasti pusat penternakan bercambah di mana-mana dan alam sekitar dan makhluk yang duduk di atasnya menjadi mangsa. Orang Islam pastinya terganggu amal ibadat kerana kesucian diragui.

Nantinya Malaysia akan menjadi negara Islam pengeksport BABI utama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...