05 November 2010

Mabuhay Pilipinas Bhgn. V - Kembali ke Manila

1 April 2009

Pagi ini, tiada apa-apa aktiviti sebelum kupulang semula ke Manila. Sesudah Subuh yang seawal kurang 5 pagi, aku tidur semula selepas mengejutkan orang di rumah di Malaysia yang belum lagi Subuh.. Pada jam 11 pagi nanti, barulah ku akan berlepas ke Manila. Sementara itu, aku sambung merehatkan badan yang keletihan dek perjalanan tak henti-henti ini.

Jam 9 pagi, barulah kubangkit dari tidur. Apabila langsir di kamar tidurku diselak, terserlah pemandangan indah Bandaraya Cebu yang sudah pun lama disinari cahaya mentari terang. Di ufuk, tampak gunung-ganang yang menjadi latar belakang tempat ini. Langit pula kebiruan sambil ditompoki awan-awan putih yang memberikan sedikit kelegaan daripada terik mentari. Maka tak hairan Cebu dikatakan di antara tempat tercantik di Filipina. Amat malang bagiku kerana tidak dapat mengambil gambar dari kapal terbang semasa sampai dua malam lepas. Maklumlah, kameraku tidak terlalu canggih untuk mengambil gambar malam. Berdekatan dengan hotel pula, kelihatan pusat membeli-belah yang sangat tenang suasananya berbanding malam tadi yang penuh dengan hiruk-pikuk pengunjung yang datang menyaksikan sebuah konsert.

From Philippines Trip - Cebu
Pusat membeli-belah Ayala Center (di hadapan) yang malam tadi penuh dengan hiruk-pikuk orang ramai kini kembali tenang di pagi hari.


Aku bersiap-siap dulu sementara menunggu teksi sampai jam 10 nanti. Aku tidak turun makan di lobi kerana aku sudahpun membungkus nasi semasa makan di restoran Persian Palate malam tadi. Lagi pula, terjamin kehalalannya dibandingkan dengan yang di bawah.

Jam 10 pagi, teksi yang ditempah sampai tepat pada waktunya. Pemandu teksi itu bertanya padaku jam berapa penerbangan balik ke Manila. Kataku, jam 11. Nampak sedikit kebimbangan di raut wajahnya setelah aku menjawab soalannya. Rasaku, dia tidak berapa yakin untuk sampai awal. Namun, dia menjawab tak menjadi masalah. Aku pasrah saja. Harap pengalaman dan kepakarannya untuk ke lapangan terbang dapat membantuku.

Di sepanjang perjalanan, di sebalik sedikit keresahan, aku terasa perjalanan ke sini singkat pula. Apakan daya. Sebenarnya, ini adalah perjalananku ke luar negara yang terakhir untuk tugasanku. Pada Mei nanti, aku bakal bertukar kerja. Aku akan berpindah untuk bekerja di pejabat dan bakal tiada lagi tugasan di luar perjabat. Bukan saja ke luar negara, bahkan di dalam negeri pun tiada lagi tugasan di luar. Pun begitu, aku harus pulang segera kerana Alya juga bakal dilahirkan sebulan lagi. Tidak elok lama-lama berjauhan, takut-takut Alya terkeluar awal. Aku pula terpaksa menyiapkan tugasan ini sebelum aku bertukar kerja. Umpama minum air sambil menyelam, aku pula tidak mahu melepaskan perkelanaanku ke Filipina yang buat julung kalinya. Aku sudah lama diarahkan ke sini, namun aku yang asyik bertangguh memikirkan kepayahan di sini, terutamanya makanan..

Untuk melegakan perasaan, aku mengambil gambar buat kenang-kenangan. Perjalanan ke lapangan terbang menyerlahkan lagi keindahan bandaraya pesisir air ini. Apabila melalui sebuah jambatan yang kedudukannya tinggi daripada aras tanah, jelas kelihatan pemandangan keseluruhan Bandaraya Cebu di sebelah kiri. Bangunan pencakar-pencakar langit di sini tidaklah tinggi seperti di Manila. Maka saujana mata memandang sehingga ke gunung-ganang yang menghiasi latar belakang menghijau Bandaraya Cebu. Di sebelah kanan pula tampak laut membiru bertemu kebiruan langit di ufuk timur. Banyak bot-bot dan kapal-kapal bergerak di tengah laut sebagai rutin seharian mereka bekerja.

Jambatan yang kami lalui itu adalah jambatan gantung ala-ala Jambatan Pulau Pinang. Jambatan ini menghubungkan Pulau Cebu yang lebih besar dengan Pulau Mactan yang lebih kecil yang menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan Cebu. Jambatan ini dibina tinggi supaya kapal-kapal dapat melaluinya dari bawah. Cebu dan tempat-tempat lain di Filipina merupakan gugusan-gugusan pulau, maka kehidupannya berasaskan laut. Di merata-rata kawasan gigi air di Cebu ini, banyak terdapat jeti-jeti untuk bot-bot berlabuh.

From Philippines Trip - Cebu
Pasaraya SM merupakan pasaraya terulung Filipina yang ada di merata-rata kota besar di Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Teksi di sini menggunakan Toyota Vios. Namun Vios di sini berkapasiti 1.3L, sama seperti Honda City.

From Philippines Trip - Cebu
Jambatan gantung yang kami rentasi untuk ke Pulau Mactan, di mana letaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan Cebu.


Sedang aku sibuk melihat pemandangan di sekeliling, akhirnya kami sampai ke lapangan terbang. Kami sampai tatkala masih ada lagi waktu. Namun kelegaanku tidak lama. Kulihat ramai pula orang beratur untuk mendaftar masuk. Aku pun cepat-cepat beratur supaya tidak kelewatan. Pada mulanya aku agak resah. Aku pasrah saja sambil mengharapkan proses mendaftar masuk cepat. Akhirnya lega hatiku kerana proses mendaftar masuk sangat cepat walaupun ramai orang. Memang cekap para pekerja di sini. Tidak seperti di KLIA yang prosesnya agak lama. Semua kaunter dibuka. Sungguh prihatin pengurusan lapangan terbang di sini.

Sebelum meletakkan beg bagasiku ke corousel, aku perasan yang begku sudahpun rabak di pemegang atasnya. Beg ini rabak semasa aku ke Pulau Pinang atau ke Phuket tempoh hari, kalau tidak salahku. Aku hanya terperasan setelah pulang ke rumah. Ku masih menyimpan tag begku untuk diberitahu kepada pihak MAS, namun aku pula tidak punya masa. Lalu aku bawa saja beg itu untuk ke Filipina pula. Sebenarnya sedikit malang kalau membeli beg bagasi yang besar kalau tidak yang bermutu tinggi. Maklum saja, beg bersaiz ini sentiasa diletakkan di bawah beg-beg yang lain dan juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk dicampak semasa dipunggah. Begku itu pula tidaklah yang mahal, yang biasa-biasa saja. Maka, beg seperti aku inilah yang menjadi mangsa. Di sini, aku terperasan yang pemegang itu semakin koyak. Aku pun membiarkan saja supaya lebih koyak lagi dan apabila balik ke Malaysia nanti, bolehlah aku mengadu saja ke pihak MAS.

Selesai mendaftar masuk, aku berlegar-legar di sekitar terminal sementara menunggu untuk masuk ke dalam kapal terbang. Di Cebu, salah satu produk tempatan yang terkenal ialah mangga sira. Terdapat banyak kebun mangga di sini dan mangga-mangganya pula sedap dan terkenal di peringkat antarabangsa. Maka, banyak kedai di sini yang menjual produk berasaskan mangga seperti mangga sira ini. Deretan kedai-kedai yang kukira ada lebih kurang sepuluh ini terletak di sebelah kiri semasa mula-mula sampai ke terminal. Aku hanya membeli sedikit saja kerana mangga sira ini sudah ada di rumah. Semasa berkursus di KL dulu, Victor sudahpun membawa mangga sira ini. Yang diberinya masih ada lagi di rumah. Tidak teruja sangat untukku membelinya...

Aku berjalan mundar-mundir dulu sambil mencari kedai yang menjual air mineral. Dahaga pula kerana kurang minum air di hotel tadi. Setelah membeli air buat penghilang haus, aku berjalan ke kawasan menunggu yang terletak di depan kedai-kedai tadi. Semua kerusinya menghadap ke landasan yang jelas kelihatan nun di hadapan melalui dinding kaca. Sambil duduk di bangku, di depanku ada sekeluarga orang Korea yang juga mahu mengambil pesawat yang sama ke Manila. Semasa sampai dulu, ada satu kawasan yang dihuni oleh orang-korang Korea. Menurut Jap dan Victor, ramai juga orang Korea yang menetap di sini. Di samping belajar, mereka menginap terus di sini kerana kos sara hidup yang lebih murah daripada di Korea, terutamanya di Seoul.

Kebosanan menunggu, aku ke tandas dulu. Selepas itu, sedang aku keluar dari tandas, kedengaran pembesar suara memanggil namaku. Ah, ada apa pula? Bimbang juga aku kerana mereka memanggilku. Ada masalahkah dengan tiket aku atau pasportku? Pasportku ada padaku. Kenapa pula? Aku lantas bergegas ke kaunter daftar masuk untuk mengetahui puncanya. Setelah bertanya, rupa-rupanya mereka bertanyakan berkenaan beg bagasiku tadi. Mereka berkata begku sudah koyak dan aku mesti menandatangani satu pengesahan yang begku sudah pun koyak dan aku tidak boleh mengklaim kerosakan pada begku itu lagi.

Mmm, begini pula jadinya. Perancanganku lain pula jadinya. Sambil mengenangkan begku yang sudah dihidu anjing semasa sambil tempoh hari, aku terfikir untuk melupuskan saja beg ini. Aku bercadang untuk membeli yang baru di Manila nanti. Sekurang-kurangnya ada juga yang dibawa balik dari Filipina nanti.

Tidak lama menunggu selepas itu, pesawat kami sampai. Tidak sangka pula pesawat yang aku bakal naiki adalah pesawat Boeing 747 walaupun perjalanan kami hanyalah ke Manila. Telahan awalku tidak tepat. Tidak seperti di Malaysia yang rata-ratanya pesawat kecil membawa penumpang untuk destinasi-destinasi domestik, di sini penerbangan tempatan mempunyai kapasiti yang besar. Jaringan pengangkutan udara merupakan perhubungan terpenting kerana geografi di sini yang terdiri daripada pulau-pulau dan pengangkutan udara adalah mod pengangkutan terpantas dan paling efisyen. Umpama menaiki bas pula untuk ke Manila. Gaya-gaya orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menambahkan lagi suasana di dalam pesawat. Ada yang membawa banyak beg kecil, beg besar, plastik pakaian, kotak dan sebagainya. Umpama melihat penerbangan ke Sabah dan Sarawak pula. Yang penting mereka semua seronok dapat pergi ke destinasi masing-masing.

Di dalam pesawat, suasana riuh kerana masing-masing riang bercerita antara satu sama lain. Semua tempat duduk yang terdiri daripada tiga barisan yang setiap barisannya ada tiga kerusi penuh dengan para penumpang. Para anak kapal pula nampak sudah biasa dengan pesawat yang sarat dengan penumpang ini dan tidak pula cerewet. Mereka juga kelihatan agak tidak terlalu formal.

Aku pula tidak risaukan sangat dengan makanan di dalam pesawat kerana hanya makanan dan minuman ringan disediakan untuk perjalanan singkat. Mereka memberi biskut dan air jus. Tanpa disangka, biskut itu pula ada tanda halal daripada Majlis Dakwah Islam Filipina (IDCP). Mmm sedap pula biskut ini. (Nota: setelah balik ke Malaysia, aku sering membeli biskut ini yang ada di Jaya33, Petaling Jaya.)

bersambung...

Entri terdahulu:
Mabuhay Pilipinas Bhgn. I - Permulaan Perjalanan
Mabuhay Pilipinas Bhgn. II - Sampai di Manila
Mabuhay Pilipinas Bhgn. III - Perjalanan dari Manila ke Cebu
Mabuhay Pilipinas Bhgn. IV - Di Cebu

2 ulasan:

  1. strozze ada fb? nak borak2 ngan ko sket pasal manila ni. hehe :) email aku ok.

    kalau ada twitter pun ok. aku nyer knizam94

    BalasPadam
  2. knizam, kita dah friends dah.. nanti aku pm..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...