01 Februari 2010

Mabuhay Pilipinas Bhgn. IV - Di Cebu

31 Mac 2009

Hari ini, kami mahu ke sebuah kilang simen yang terletak di Selatan kota Cebu iaitu San Fernando. Ada slanga untuk menyebut San Fernando ini. Kita pastinya menyebut Sen Fernendo namun slanga Filipina menyebut San Fernando. E pada Fernando itu seperti sebutan e perkataan ekor.

Pagi ini aku tidak mengambil sarapan di hotel. Terlalu banyak syubahat, jadi kumakan saja muffin dan roti yang kuambil dari lounge dari KLIA semalam. Dah penyek setelah melalui perjalanan jauh. Namun masih boleh dimakan.

Seperti yang dijanjikan malam tadi, aku menunggu Jap datang menjemput di lobi. Namun Jap kelewatan. Jadi, sementara menunggu Jap sampai, aku berbual-bual dahulu dengan rakanku, Vic yang kebetulan juga menunggu di lobi. Dia bakal ada satu perbincangan lain manakala aku pula ke kilang simen itu. Setelah 15 minit menunggu, Jap akhirnya sampai.

Sebelum ke San Fernando, kami menjemput Edwin dahulu yang tinggal di hotel berasingan yang terletak tidak jauh dari hotel kumenginap. Sepanjang perjalanan ada saja jeepney bergerak ataupun berhenti sementara menurunkan atau mengambil para penumpang. Nampaknya jeepney seolah-olah nadi orang-orang di sini untuk bergerak dan berhubung dari satu tempat ke tempat yang lain. Menurut Jap, disebabkan jeepney ini tidak besar saiznya, ramai yang turun dan naik di muka pintu. Segenap jalan dan lorong semuanya dilalui jeepney. Mereka memanggil laluan-laluan jeepney sebagai satu hentian, dua hentian dan sebagainya.

From Philippines Trip - Cebu
Jeepney - nadi pengangkutan rakyat Filipina - ada di mana-mana saja di atas jalan.

From Philippines Trip - Cebu
Pemandangan sebatang jalan di Bandaraya Cebu.


Setelah sampai ke hotel tempat Edwin menginap dan menjemputnya, kami meneruskan perjalanan. Hari ini cuaca amat baik. Langit kelihatan kebiruan di samping tompokan-tompokan awan putih.

Pada permulaan perjalanan, Jap telah menunjukkan kepadaku salah satu keunikan Cebu iaitu pandu lalu nombor ekor! Ingatkan hanya makanan segera sahaja ada pandu lalu, malah berjudi juga ada pandu lalu di sini. Nampaknya tidak perlulah tahi-tahi judi meletak motosikal dan kereta di depan kedai nombor ekor sehingga mengganggu lalulintas seperti di tempat kita.. Aku tergelak besar apabila Jap menunjukkan tempat itu.

Bercakap pasal makanan segera, di sini bukanlah McDonald's atau KFC yang popular tetapi jenama tempatan yang dipanggil Jollibee. Di mana-mana saja ada Jollibee.

Belumpun jauh dari pusat bandaraya Cebu, telah nampak perkampungan penduduk setempat yang sangat daif. Pintu rumah mereka sangat dekat dengan jalan manakala jarak antara satu rumah ke rumah yang lain sangat rapat. Kelihatan kanak-kanak bermain di sekitar rumah mereka yang diperbuat daripada papan dan beratapkan zink. Menurut Jap, kalau di waktu malam harus lebih berhati-hati memandu supaya tidak melanggar orang yang lalu lalang di jalan raya. Kawasan sekitar juga sangat berdebu. Jarang sangat nampak pokok-pokok menghijau di sini.

Kami juga melalui kawasan bersejarah di sini iaitu tempat pertumpahan darah penduduk tempatan melawan penjajah Sepanyol. Sungguhpun mereka tidak menyukai Sepanyol, namun pengaruh Sepanyol sangat kuat di Filipina. Sepanyol bukan sahaja mengKristiankan penduduk Filipina bahkan nama-nama mereka juga menggunakan nama Sepanyol hingga ke hari ini.

Setelah Sepanyol iaitu sejak perang dunia kedua, Amerika bertapak di sini atas alasan memerangi komunisme. Amerika tidak pula diperangi seperti Sepanyol. Peninggalan Amerika yang paling menonjol ialah penduduk Filipina rata-ratanya fasih berbahasa Inggeris meski di dalam kreol Filipina, selain jeepney peninggalan tentera Amerika yang kini menjadi pengangkutan awam.

From Philippines Trip - Cebu
Sebuah
drive-thru nombor ekor yang merupakan satu keunikan di Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Salah sebuah tugu di kawasan bersejarah di Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Jollibee adalah makanan segera nasional bagi rakyat Filipina. Di mana-mana saja ada Jollibee.


Papan-papan tanda jalan di sini turut menggunakan bahasa Inggeris Amerika. Kalau kita biasa dengan reminder, di sini digunakan advisory. Pernah kusebut lorry atau lori kepada Jap namun dia tidak faham. Bila kusebut truck atau trak barulah dia faham.

Penggunaan bahasa Inggeris pada papan-papan tanda jalanraya juga menyaksikan perkataan berasal daripada penggunaan salah bahasa Inggeris di China turut digunakan. Lintasan belang atau zebra crossing yang kita biasa guna di sini dipanggil Ped Xing. Ped Xing berasal daripada pedestrian crossing. Orang China mengkreolkan perkataan ini akhirnya menjadi Ped Xing.

Perjalanan ke San Fernando melalui satu lebuhraya di tepi pantai yang dibina hasil usahasama pemerintah Filipina dan Jepun. Pemandangan sepanjang perjalanan sangat cantik. Di sebelah kiri laut membiru manakala di sebelah kanan kelihatan bukit-bukit menghijau. Saujana mata memandang apabila menaiki jambatan yang lebih tinggi daripada tanah merentasi sungai dan laut. Dapat melihat laut, Terasa tenang suasana di sini

Kami akhirnya sampai ke San Fernando tatkala hampir tengah hari. Cuaca hari ini panas terik. Agak kurang selesa apalagi kami berada di kilang simen yang agak berdebu.

From Philippines Trip - Cebu
Sebatang lebuhraya di pinggir Bandaraya Cebu yang merentasi kawasan pantai. Perhatikan pemanduan di sini di sebelah kanan, hasil pengaruh Amerika Syarikat di sini.

From Philippines Trip - Cebu
Kawasan perkampungan di pinggir Bandaraya Cebu.

From Philippines Trip - Cebu
Jalanraya nasional ke San Fernando, Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Cuaca baik mengiringi perjalanan kami ke San Fernando.

From Philippines Trip - Cebu
Frasa kreol dari China,
Ped Xing yang merujuk kepada Pedestrian Crossing turut digunakan di sini.


Setelah sejam berada di kilang itu, kami pulang semula ke Cebu. Vic dan rakan-rakan lain sudah sedia menunggu di sebuah restoran untuk makan tengah hari. Apabila memilih menu di situ, kudapati banyak persamaan antara bahasa Cebu/Tagalog dengan bahasa Melayu. Tidak menghairankan kerana orang Melayu dan orang Filipina merupakan satu rumpun. Di sini turut dipanggil kangkung/kangkong dan mangga.

Setelah habis makan, kami pulang semula ke hotel yang aku menginap. Kami meneruskan perbincangan dan merumuskan hasil lawatan kami ke kilang simen tadi. Kami duduk di lounge dan memesan minuman sebelum memulakan perbincangan. Masa terasa amat suntuk sungguhpun sudah berjam kami duduk berbincang kerana jarang bersua muka. Sebelum ini hanya menelefon dan berbalasa emel sahaja. Sebelum hari menjelang senja, aku meminta diri untuk naik ke atas sebentar untuk hemat diri dan solat.

Setelah itu, mereka mengajak aku pergi makan malam. Kutanya pada Jap dan Edwin kalau-kalau ada restoran halal lain yang ada di sini. Namun tidak ada kecuali di Persian Palate yang kami makan malam tadi. Disebabkan tiada pilihan lain, aku mengajak mereka ke sana sahaja.

Sebelum makan, aku mengajak mereka bersiar-siar di kompleks membeli-belah di mana restoran Persian Palate terletak. Kompleks membeli-belah itu hanyalah terletak bersebelahan dengan hotel. Aku ingin membeli cenderahati dari Cebu untuk dibawa pulang seperti magnet peti sejuk dan rantai kunci.

Seusai makan malam, kami balik semula ke hotel. Jap pula menghantar Edwin ke hotel tempat Edwin menginap. Meskipun badanku tidak berasa penat namun tatkala melabuhkan badan ke katil, cepat pula lelapnya.

..bersambung..

From Philippines Trip - Cebu
Tempat kami makan tengah hari di Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Beca bermotor juga merupakan pengangkutan awam popular di Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Sebuah
jeepney melintasi sebuah lampu isyarat di Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Sebuah pusat membeli-belah bersebelahan dengan hotel yang kuinap.

From Philippines Trip - Cebu
Cebu memang kaya dengan hasil kraf. Maka tak hairan banyak cenderahati dijual di sini.

From Philippines Trip - Cebu
Restoran Persian Palate - satu-satunya restoran 'halal' yang ada di sini.

From Philippines Trip - Cebu
Pemandangan di dalam bilik di Hotel Marriott, Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Lampu unik di dalam bilik di Hotel Marriott, Cebu, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Lagi gambar dari bilik di Hotel Marriott, Filipina.

From Philippines Trip - Cebu
Terlalu banyak rangkaian TV di Hotel Marriott. Tak tertengok semuanya...


Entri terdahulu:
Mabuhay Pilipinas Bhgn. I - Permulaan Perjalanan
Mabuhay Pilipinas Bhgn. II - Sampai di Manila
Mabuhay Pilipinas Bhgn. III - Perjalanan dari Manila ke Cebu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...